MENGINGATI peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku kepada baginda SAW adalah suatu perkara yang baik dalam agama. Tidak perlu diragui, bahkan jangan sesekali menganggap ia sebagai satu bidaah yang keji.
Israk adalah perjalanan Baginda Rasul dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, Palestin. Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat pertama: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Mikraj adalah perjalanan baginda Rasul ke Sidratul Muntaha. Perkara ini Allah sebutkan dalam surah al-Najm bermula dari ayat 1 hingga 18 bererti: “Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibrail dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, di sisi Sidratul Muntaha, yang di sisinya terletak syurga Jannatul Makwa.”
Peristiwa Israk Mikraj merupakan suatu mukjizat istimewa yang dikurniakan kepada Nabi SAW, khususnya apabila baginda menerima ujian berat. Sebelum berlakunya peristiwa Israk Mikraj, baginda diuji dengan kehilangan orang-orang tersayang yang juga penyokong kuat perjuangan dakwah, iaitu isterinya, Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib. Kehilangan mereka ini disaat baginda SAW sedang menghadapi penentangan hebat oleh puak musyrikin. Tahun tersebut digelar sebagai tahun kesedihan yang dilalui oleh Rasul SAW.
Penghayatan untuk kita pada hari ini yang pertamanya adalah berkaitan ujian dalam kehidupan. Ujian adalah perkara sunnatullah. Tidak dapat tidak, kita akan diuji dalam kehidupan ini. Hidup kita adalah satu medan atau pentas ujian yang besar. Jadi, kita mesti sedar dan menerima hakikat ini. Ujian ini bukan saja-saja dikenakan kepada kita tetapi untuk diberikan atau dibalas ganjaran istimewa. Yang penting, kita sabar dan reda.
Sabar adalah satu sifat yang sangat luar biasa. Dengan sifat sabar, kita akan menjadi hamba yang taat dan tunduk kepada Allah. Tanpa sabar pastinya kita hanyut dengan arus keseronokan dunia. Oleh sebab itu, dalam al Quran Allah nyatakan ganjaran bagi orang yang sabar tiada had. Firman Allah Salam Az Zumar ayat 10 yang bererti: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”
IMAN
Peristiwa Israk Mikraj juga membawa mesej agung, iaitu iman. Cuba kita perhatikan bagaimana seorang sahabat yang sangat luar biasa keimanannya kepada Allah dan Rasul, iaitu Saidina Abu Bakar r.a. Tatkala situasi di mana Abu Jahal menghimpunkan kaumnya lalu mendengar kisah yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad SAW berkaitan perjalanan baginda ke Baitulmuqaddis dalam tempoh satu malam, mereka semua mentertawa, mengejek dan mendustai khabar itu kerana ia tidak masuk akal sama sekali. Perjalanan dengan unta mengambil masa selama sebulan untuk pergi dan sebulan untuk balik semula ke Mekah, masakan boleh berlaku hanya dalam satu malam. Pada mereka yang tidak beriman, perkara ini mengarut sama sekali. Tetapi Saidina Abu Bakar r.a. yang teguh imannya percaya dan yakin, benar apa dikhabarkan Nabi Muhammad SAW sehinggalah beliau diberikan julukan as siddiq.
Iman kita di tahap mana pada hari ini? Adakah peristiwa Israk Mikraj hanya kekal sebagai satu cerita yang diulang sebut saban tahun? Tidakkah kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa mukjizat ini?
Tidakkah kita berasa gerun dan takut apabila baginda diperlihatkan dengan azab-azab yang sangat dahsyat untuk para pendosa? Apakah yakin bahawa kita ini suci daripada dosa?
Melalui peristiwa Israk Mikraj, kita diberi peringatan akan azab-azab yang benar dan pasti berlaku untuk pendosa. Di sinilah iman hakiki kita teruji. Kalau betul kita benar-benar beriman, kenapa masih selesa dengan perlakuan dosa? Contohnya, mengumpat. Sangat sukar untuk melepaskan diri daripada dosa mengumpat kerana kita sangat seronok apabila dapat bercakap-cakap, mengata, memburukkan dan menyebarkan aib orang lain. Cuba kita perhatikan firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 12 bererti: “Janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
Dan yang terakhirnya dalam peristiwa mukjizat Israk Mikraj ini adalah untuk kita renungkan mesej berkaitan betapa besar dan agungnya ibadah solat fardu lima waktu. Solat adalah sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang menjaga solat dan melaksanakannya dengan sebaik-baik maka dia akan memperoleh kebahagiaan dan keuntungan. Sebaliknya, barang siapa yang meninggalkan solat, maka hidupnya jauh dari kesenangan dan kejayaan.
Solat adalah untuk mengingatI Allah, solat adalah untuk membesarkan Allah dan solat adalah untuk mengagungkan Allah. Satu hadis baginda Rasulullah SAW diriwayatkan Imam al Tabarani: “Amalan pertama yang akan dihisab bagi hamba pada hari kiamat kelak ialah solat. Sekiranya solat itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak maka rosaklah segala amalan yang lain.” Cuba kita buat pemerhatian, dengar dan perhati daripada kisah-kisah hidup suka duka manusia yang ada di sekeliling kita. Pastinya kita akan temukan punca porak peranda dan tidak tenteram hidup manusia adalah kerana mereka mengabaikan Allah, khususnya mengabaikan solat fardu lima waktu. Yakinlah, apabila kita mengabaikan Allah, maka pasti hidup kita akan terabai.
Kesimpulannya, pada hidup Rasul itulah panduan untuk hidup kita semua. Jika hidup kita di dunia pada hari ini berada di atas landasan yang telah digariskan oleh baginda Rasul SAW maka pastinya kita akan kembali kepada Allah dalam keadaan Allah kasih dan reda kepada kita semua. – UTUSAN
PENULIS ialah Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.











