SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Itu situasi saban tahun yang berlaku di beberapa pantai di Terengganu berikutan kejadian hakisan terutamanya pada musim tengkujuh.
Hakisan pantai semakin buruk ketika berlaku fenomena luruan monsun yang mengakibatkan air laut pasang besar dan ombak ganas setinggi hampir empat meter.
Keadaan tersebut mengakibatkan penduduk yang tinggal di pesisir pantai Terengganu tidak dapat tidur dengan lena apabila memasuki musim tengkujuh.
Dalam tempoh lima tahun ini, kejadian hakisan pantai di negeri ini dilaporkan semakin serius sehingga beberapa rumah penduduk runtuh dan ditelan ombak ganas. Sementara itu, banyak lagi rumah penduduk menunggu masa untuk runtuh berikutan kesan hakisan semakin serius.
Malah, terdapat kawasan pantai yang sebelum ini mempunyai pemandangan cantik dan menarik telah hilang dalam tempoh yang singkat sahaja. Laporan sebelum ini menyatakan bahawa dalam tempoh setiap tiga tahun, dianggarkan kira-kira dua hingga 20 meter kawasan pantai tenggelam ke dalam laut.
Pada masa ini, kejadian hakisan pantai di Terengganu ibarat barah apabila masalah tersebut sentiasa merebak dan tiada berkesudahan apabila kawasan yang terjejas sentiasa wujud.
Walaupun sebelum ini Kerajaan Pusat mengumumkan peruntukan yang besar untuk membina benteng pemecah ombak bagi mengurangkan kesan hakisan, namun hakisan tetap berlarutan. Kejadian hakisan pantai dikesan sentiasa berlaku di kawasan yang tidak terlibat dengan pembinaan benteng pemecah ombak.
Jarak keseluruhan pesisir pantai di Terengganu sepanjang 244 kilometer (km) bermula dari Besut hingga Kemaman. Bagaimanapun, kira-kira 48.7 km kawasan pantai di negeri ini dikatakan berisiko terhakis ke laut terutama pada musim tengkujuh.
POKOK BAKAU
Berdasarkan Laporan Hakisan Pantai Negara (NCES), lapan lokasi dikategorikan sebagai kritikal akibat hakisan sejak beberapa tahun lalu, iaitu Pantai Kampung Teluk Budu di Besut dan Pantai Taman Geliga serta Pantai Kemasik di Kemaman.
Pantai-pantai lain pula ialah Pantai Seberang Takir dan Pantai Kampung Pak Tuyu di Kuala Nerus, Pantai Kampung Aur di Kuala Terengganu serta Pantai Teluk Lipat dan Pantai Paka di Dungun. Malah, pantai di Terengganu mengalami hakisan yang kritikal diikuti Pahang dan Kelantan.
Selain itu, kawasan pantai di Terengganu juga tidak mempunyai banyak pokok bakau sehingga terdedah kepada ancaman hakisan. Ini kerana peranan pokok bakau begitu penting sebagai benteng perlindungan pesisir pantai dan membantu mengurangkan kadar hakisan pantai.
Kerajaan negeri dan Pusat perlu meningkatkan tanaman pokok bakau di pesisir pantai yang bersesuaian dalam usaha untuk mengawal hakisan pada masa hadapan.
Pada masa sama, projek pembinaan benteng pemecah ombak yang diluluskan sebelum ini perlu disegerakan untuk menyelamatkan lebih luas tanah di Terengganu menjadi sebahagian daripada lautan.
Difahamkan sebanyak 21 projek pemulihan muara sungai dan pengawalan hakisan pantai bernilai keseluruhan RM1.55 bilion telah diluluskan di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Kebanyakan projek tersebut dalam proses pembinaan dan dijangka dapat disiapkan mengikut jadual.
Selain itu, sebanyak 20 lagi projek baharu untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Boleh Pinda Ketiga RMK12 bagi seluruh negeri ini. Langkah pencegahan hakisan pantai perlu dilaksanakan memandangkan sejak seabad lalu, paras air laut global meningkat dan dijangka terus meningkat pada kadar lebih cepat sepanjang abad ke-21.
Para saintis menyatakan, paras air laut dijangka meningkat sehingga 1.3 meter menjelang 2100 sekiranya permukaan bumi lebih panas daripada 3.5 darjah Celsius.
Begitu juga dengan kawasan pesisiran pantai Malaysia yang akan ditenggelami sehingga 0.2 hingga 1.06 meter menjelang 2100. Perkara ini tidak mustahil dengan peningkatan kadar kenaikan paras air laut di kawasan Pantai Timur Semenanjung dan menenggelamkan kawasan-kawasan rendah. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Terengganu.











