Mutu yang bagus itulah yang perlu kita kedepankan - Ajai - Utusan Malaysia

Mutu yang bagus itulah yang perlu kita kedepankan – Ajai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kemenangan album [RE.HAB] nyanyian Aisha Retno sebagai Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh, termasuk kekuatan lagu, susunan muzik dan lirik.

Ketua Juri AIM 25, Ajai berkata, barisan juri turut mengambil kira pelbagai aspek dalam sesebuah album, merangkumi proses rakaman, mixing dan mastering sebelum keputusan dibuat.

“Bagi kemenangan album [RE.HAB], penilaian dibuat secara keseluruhan. Ia bukan hanya berdasarkan lagu semata-mata, sebaliknya melihat keseluruhan karya berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada proses rakaman, mixing, mastering dan apa sahaja yang berkaitan dengan pencalonan, semuanya diambil kira sebelum penilaian terhadap sesebuah karya dibuat,” katanya pada sidang media AIM 25 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di sini kelmarin.

Mengulas keputusan keseluruhan AIM 25, Ajai berkata, setiap kategori dinilai secara teliti oleh barisan juri yang dilantik, dengan mutu karya menjadi antara aspek utama yang diberikan perhatian.

“Keputusan ini adalah daripada barisan juri yang kita lantik untuk AIM 25 dan saya rasa ia satu keputusan yang baik. Mutu yang bagus itulah yang perlu kita kedepankan.

“Sebenarnya, semua kategori mencabar kerana proses penelitian terhadap setiap pencalonan dilakukan dengan sangat terperinci.

“Penilaian bukan sahaja melihat mutu vokal atau lagu, tetapi merangkumi pelbagai aspek,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 25, Rosmin Hashim berkata, jumlah serta jurang markah antara calon tidak dapat didedahkan kerana proses pemarkahan dikendalikan pihak auditor.

“Mengenai jumlah markah atau jarak antara pencalonan pula, perkara itu tidak dapat kita ketahui kerana pemarkahan dikira oleh pihak auditor.

“Kita hanya mengetahui lima pencalonan terbaik dan perbezaan markah berkenaan kerana selebihnya adalah rahsia yang disimpan oleh auditor,” katanya.

Menurut Rosmin, persaingan paling sengit berlaku dalam kategori Lagu Pop Terbaik yang menerima jumlah pencalonan tinggi, sekali gus menjadikan usaha untuk menembusi kelompok lima terbaik bukan sesuatu yang mudah.

“Kategori paling sengit ialah Lagu Pop Terbaik kerana mempunyai jumlah pencalonan yang tinggi. Jadi, untuk mendapat tempat dalam lima terbaik pun memang cukup mencabar.

“Kalau mahu memenangi kategori itu, sudah tentu karya berkenaan perlu benar-benar istimewa.

“Bagi saya, mereka yang berjaya berada dalam lima terbaik sebenarnya sudah menang kerana berjaya melepasi persaingan yang begitu sengit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×