PENDIDIKAN adalah satu ruang yang penting dalam membangunkan identiti bangsa dan negara. Pendidikan tidak lagi dilihat sebagai ruang untuk mendapat kerja, tetapi ia adalah peluang pembebasan terutama kepada rakyat Palestin. Agenda pengyahudian (judaisation) yang sedang dilakukan bakal memberi impak yang besar kepada rakyat Palestin yang majoritinya berbangsa Arab.
Agenda pengyahudian adalah satu strategi yang telah digerakkan oleh Zionis sejak penubuhan negara haram Israel pada 1948. Zionis menggunakan strategi ini untuk memastikan demografi dan topografi Palestin dapat diubah kepada sebuah negara yang hanya diduduki oleh orang Yahudi atau bukan Yahudi yang mengamalkan cara hidup dan budaya orang Yahudi.
Agenda ini telah ditentang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana telah melanggar Artikel 49 pada Konvensyen Geneva Keempat yang menyatakan, “Kuasa yang menduduki tidak boleh mengusir atau memindahkan sebahagian daripada penduduk awamnya sendiri ke dalam wilayah yang didudukinya.”
Pihak berkuasa Israel sekarang sedang cuba untuk mengadaptasi satu polisi yang sangat bahaya iaitu berkaitan dengan silibus pendidikan di sekolah-sekolah Arab yang berada di Tebing Barat. Israel sedang menggerakkan agenda mereka untuk melemahkan jati diri serta identiti rakyat Palestin dengan mengenakan satu kurikulum Israel yang sememangnya berniat untuk mengyahudikan penduduk di Tebing Barat.
Tindakan Israel lebih agresif apabila cubaan mereka membawa masuk kurikulum yang mereka gubal tidak berjaya dan Kementerian Pendidikan Israel telah membatalkan lesen enam sekolah di Baitulmaqdis Timur yang mana ia telah mengganggu bidang kuasa Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Tebing Barat.
Institusi pendidikan Israel telah berjaya menguasai sektor pendidikan Arab sebanyak 66 peratus di sebahagian besar kawasan di Tebing Barat terutama di Baitulmaqdis sejak 1968. Dikatakan usaha mereka bermula dengan menukarkan nama Palestin kepada Israel dan Jerusalem kepada Urshalim.
Silibus Israel cuba untuk memberi gambaran yang salah tentang sejarah dan geografi Palestin di dalam kurikulum yang diajar di sekolah-sekolah Arab di Baitulmaqdis. Israel juga menganjurkan seminar pendidikan di Baitulmaqdis untuk menggambarkan bahawa Islam di situ dibina di atas rampasan daripada orang Yahudi, di mana ini juga adalah penyelewengan fakta sejarah yang dilakukan oleh Israel untuk mengubah fakta yang benar.
Rakyat Palestin di Baitulmaqdis menghadapi cabaran yang sangat besar sejak 1967, apabila Israel menutup sekolah-sekolah yang dikelola oleh Agensi Kerja dan Bantuan untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) dan pihak berkuasa Israel menyatakan bahawa sekolah Arab yang ada di Baitulmaqdis tidak akan mendapat bantuan kewangan dari kerajaan Israel selagi mana mereka tidak menggunakan kurikulum yang disediakan oleh Israel.
PROVOKASI
Ini jelas menunjukkan Israel cuba untuk memprovokasi orang Arab di Baitulmaqdis untuk memaksa mereka keluar dari kota tersebut dan mencari pilihan pendidikan yang lain. Dengan pengurangan populasi orang Arab di situ, usaha Israel menjadi lebih mudah untuk menghancurkan Masjid Al-Aqsa dan mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai hak milik Israel secara rasmi.
Menurut sebuah kajian yang dilakukan oleh kumpulan hak asasi Israel, B’Tselem, kadar keciciran pelajar Arab di sekolah menengah di Baitulmaqdis telah mencapai hampir 50 peratus sejak sedekad yang lalu. Perancangan yang rasis ini bukanlah sesuatu yang baharu. Israel telah beberapa kali melakukan percubaan ini setiap tahun, tapi mereka tidak akan mampu untuk menukar cara fikir rakyat Palestin kepada naratif yang dibawa Israel.
Usaha Israel ini pasti akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan warisan yang dimiliki oleh rakyat Palestin akan hilang ditelan zaman dan kemudian ia menjadikan perancangan Israel lebih mudah untuk menjadikan Palestin sebagai sebuah negara tunggal Yahudi di dunia. Namun, kita juga tidak boleh memandang ringan kepada rakyat Palestin yang cekal dalam menghadapi tekanan yang diberikan oleh Israel walaupun ia melibatkan nyawa mereka.
Usaha mencipta kecemerlangan harus bermula dengan mengenal potensi diri dengan menemukan nilai-nilai dasar yang berteraskan watak dan budayanya. Dalam konteks umat dan budaya Palestin, antara nilai-nilai tradisinya yang terpenting adalah nilai ilmu.
Meminjam ungkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan, bahawa masyarakat Islam asasnya adalah merupakan a knowledge based society par excellence (masyarakat ilmu yang sebaik-baiknya), kita harus berusaha menyubur dan menyegarkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat di Palestin.
Kita percaya bahawa pendidikan mampu melahirkan kepimpinan mereka yang seharusnya mempunyai wawasan kebudayaan yang selaras dengan cita-cita tersebut dan mampu menterjemahkannya dalam bentuk perancangan budaya yang tersusun. Usaha penyegaran nilai ilmu ini tidak seharusnya digerakkan oleh gerakan kemanusiaan semata-mata, tetapi perlu digerakkan oleh parti-parti politik dan badan-badan kerajaan.
Apabila usaha ini dapat dibawa bersama, maka agenda normalisasi dan penghapusan etnik serta budaya oleh Zionis dapat dibendung dari terus mengakar dalam silibus pendidikan rakyat Palestin yang sekian lama menunggu masa untuk dibebaskan dari penjajahan yang masih tiada penghujungnya.
Persoalannya, adakah kita bersedia untuk duduk semeja bersama semua pemegang taruh di Malaysia untuk memastikan Baitulmaqdis terbebas dari penjajahan? Tepuk dada, tanya perjuangan. – UTUSAN
PENULIS ialah Eksekutif Penyelidikan dan Advokasi, Persatuan Cinta Gaza Malaysia.











