Bahasa, sastera Tamil di Malaysia tidak dipinggir - Utusan Malaysia

Bahasa, sastera Tamil di Malaysia tidak dipinggir

BERLAKU kontroversi ketika Festival Sastera Tamil di Universiti Malaya pada 5 April 2015 apabila ada ucapan mendakwa terdapat usaha terancang pihak tertentu untuk menafikan bahasa, sastera, budaya dan sejarah orang Tamil di Malaysia. – IHSAN PENULIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHADIRAN akhbar Tamil seperti Singai Varthamani (1875), Tankai Nesan (1876), Vidya Vicharini (1883), Vijaya Kedanan (1887), Singai Nesan (1887) dan Tamil Olaga Nesan (1887) membuktikan bahasa Tamil tetap mendapat tempat dan pengiktirafan di negara ini sejak dahulu.

Akhbar Tamil Nesan yang memperjuangkan bahasa, sastera, budaya dan komuniti Tamil pula terbit mulai 1924. Namun begitu, hasil karya penulis Tamil tempatan hanya mendapat tempat di akhbar mulai 1950.

Hakikat ini dinyatakan Murugu Subramaniam, Ketua Pengarang Tamil Nesan merangkap Presiden Persatuan Penulis Tamil Malaysia sewaktu membentangkan kertas kerja mengenai perkembangan sastera Tamil di Malaysia pada Persidangan Antarabangsa Pengajian Tamil di Universiti Malaya (UM) pada 16-23 April 1966.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, menjelang 1965, sudah ada sekitar 300 penulis Tamil tempatan yang menghasilkan cerpen, novel, puisi, rencana dan skrip drama radio. Dalam kalangan mereka, sekitar 50 orang dikatakan mampu menulis karya setaraf pengarang dari Tamil Nadu, India.

Pada peringkat awal, hampir 80 peratus penulis merupakan guru sekolah Tamil dan tinggal di ladang getah. Sebahagian lagi terdiri daripada wartawan akhbar, radio dan televisyen. Ada juga kerani, kakitangan majlis perbandaran dan pekerja stesen kereta api yang menulis karya kreatif.

Demografi latar belakang kelompok penulis Tamil di Malaysia tentu sudah banyak berubah sekarang. Dari segi jumlah, laporan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 29 April 2013 menyebut, terdapat sekurang-kurangnya 1,000 penulis Tamil sepenuh masa, manakala ribuan lagi menulis secara sambilan.

Maka, kedudukan bahasa dan sastera Tamil di negara ini memang amat kukuh dan tidak mampu digugat. Tambahan pula, hak menggunakan dan mempertahankan bahasa ibunda dijamin Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Selain Persatuan Penulis Tamil Malaysia yang diasaskan bekas Presiden MIC, Tun V.T. Sambanthan pada 1963, sudah wujud pula Persatuan Penulis Tamil Pulau Pinang yang ditubuhkan pada 1960 dengan nama asal, Persatuan Penulis Tamil Malaya Utara.

Terdapat juga Gabungan Persatuan Penulis Tamil Malaysia (Gapetam) serta persatuan penulis Tamil peringkat negeri dan daerah di seluruh negara.

Turut membantu mengukuhkan kedudukan identiti komuniti Tamil menerusi bahasa, sastera dan budaya ialah Dewan Bahasa Tamil Berhad yang ditubuhkan pada 2006, Pertubuhan Tamil Kapagam Malaysia yang didaftar pada 2011 serta Majlis Pembakuan Bahasa Tamil Malaysia (MPBTM) yang dilancarkan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2019.

Presiden Persatuan Penulis Tamil Malaysia, P. Rajendran dan timbalannya, R. Karthigesu, mengetuai rombongan 34 wakil persatuan itu ke Tamil Nadu pada Disember 2007.

Beliau dengan bangga memberitahu media di sana bahawa orang Tamil dan bahasa Tamil tidak menghadapi sebarang ancaman di Malaysia.

Malah, beliau memaklumkan kepada wartawan tentang hakikat wujud peluang mempelajari bahasa Tamil dari sekolah rendah hingga peringkat doktor falsafah (PhD).

CUTI BERGAJI

Kepesatan perkembangan sastera Tamil di negara ini juga terbukti menerusi pelbagai kajian, tesis dan disertasi yang dibuat di beberapa universiti tempatan. Malah, The Hindu (27 November 2012) memetik kenyataan Rajendran bahawa sekitar 15 hingga 20 mahasiswa Universiti Tamil di Tamil Nadu sedang mengkaji karya sastera Tamil oleh pengarang Malaysia.

Kerajaan turut mengiktiraf kegiatan sastera Tamil tempatan dengan pelbagai cara. Misalnya, apabila 87 ahli Persatuan Penulis Tamil Malaysia menghadiri Persidangan Tamil Sedunia di Tamil Nadu pada Jun 2010, peserta yang merupakan kakitangan awam diberi cuti bergaji. Malah, setiap peserta yang mewakili Malaysia ke persidangan itu menerima elaun khas daripada kerajaan.

Tidak setakat itu, Bernama (29 April 2013) melaporkan berita tentang peruntukan khas RM450,000 daripada kerajaan untuk membantu ahli persatuan berkenaan menghasilkan karya-karya bermutu.

Beberapa tahun lalu, saya mendengar tentang projek terjemahan cerpen Tamil oleh MPBTM di bawah KPM. Pasti ada banyak lagi usaha seperti ini yang membuktikan bahasa dan sastera Tamil terpelihara, dipupuk dan diperkasakan dengan bantuan dan sokongan kerajaan.

Maka, tidak hairanlah kata-kata Rajendran pada majlis penutupan Festival Sastera Tamil di UM pada 5 April 2015 menimbulkan tanda tanya dalam kalangan hadirin.

“Dalam masa 20 atau 30 tahun lagi, apakah kedudukan orang Tamil di Malaysia akan menjadi seperti orang Chetti Melaka yang tidak tahu bahasa Tamil?” katanya dalam ucapan itu.

Rajendran melahirkan kebimbangan kerana menurutnya, tanpa sokongan dan perhatian kerajaan, maka dalam masa 50 tahun lagi, bahasa dan budaya orang Tamil mungkin terhapus di bumi Malaysia.

“Walau apa pun yang kami orang Tamil lakukan di sini (Malaysia), kami masih perlu bergantung dan merujuk kepada perkembangan di Tamil Nadu. Saya merayu supaya anda (India) terus memberikan peluang dan tunjuk ajar kepada kami,” katanya di hadapan wakil Sahitya Akademi dan Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia.

Menurut Rajendran, terdapat usaha terancang oleh pihak tertentu untuk menafikan bahasa, sastera, budaya dan sejarah orang Tamil di Malaysia.

Untuk rekod, Persatuan Penulis Tamil Malaysia menerima anugerah Tamizh Thaai (Ibu Tamil) daripada kerajaan Tamil Nadu pada 2020 dan 2022 kerana berjaya menyemarakkan bahasa dan sastera Tamil di Malaysia.

Sama-sama kita berharap kebimbangan Rajendran sudah hilang dan keyakinan kepada ibu pertiwi sudah pulih. Bak kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Kerajaan terbukti sentiasa memberi galakan dan bantuan dana bagi menyemarakkan bahasa, sastera dan budaya Tamil di negara ini.

Tentulah tidak adil dan tidak wajar jika kita masih merayu bantuan kerajaan Tamil Nadu, seolah-olah hak penulis dan pencinta bahasa Tamil dinafikan di sini. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×