BILA kayu bongkok atau pokok condong kura-kura pun boleh memanjat. Itulah perumpamaan yang menerangkan kedudukan UMNO terkini.
Disebabkan hanya menang 26 kerusi sahaja dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu maka ia dikira lemah, kalah dan tidak lagi berkuasa. Lebih teruk lagi, ia kini hanya dianggap sebagai penumpang atau pak turut kepada parti-parti lain yang lebih kuat kedudukannya dalam kerajaan.
Bila jawatan Presiden dan Timbalan Presiden diputuskan tidak dipertandingkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, ia terus dilabel tidak demokratik. UMNO dikatakan terkial-kial dengan kerangka pemikiran lama dan semakin jauh ditinggalkan lawan yang beranjak progresif menerusi kepemimpinan kreatif dan dinamik.
UMNO disebut parti eksklusif dan pasif serta menghadapi masalah berterusan disebabkan mekanisme pemilihannya didakwa membekukan percambahan idea dan semangat perjuangan. Kebersamaan UMNO dengan kerajaan perpaduan ketika ini pula didakwa belum memberikan pulangan apa-apa dan kalaupun memberikan keuntungan ia dikatakan bersifat sementara.
Begitulah lumrahnya dunia, bila seseorang itu sudah kalah atau didapati bersalah maka ada sahaja orang lain yang akan menambah-nambah kekalahan atau kesalahannya. Perlu diingat bahawa UMNO yang menjadi bahan kritikan pihak-pihak tertentu ini telah melakukan banyak pengorbanan sehingga kerajaan boleh berfungsi seperti sekarang.
Jika kepimpinan UMNO tidak membuat keputusan untuk menyertai kerajaan perpaduan maka besar kemungkinan deadlock akan terus wujud sehingga negara tidak stabil.Mungkin juga satu kerajaan minoriti terpaksa dibentuk yang tidak menjanjikan apa-apa kerana ia boleh tumbang bila-bila masa jika apa-apa usul atau rang undang-undangnya kalah.
Atau boleh jadi juga satu PRU baharu yang akan memakan masa dan belanja yang besar terpaksa dilangsungkan sekali lagi bagi mencari gabungan politik yang menang mutlak.
Syukurlah atas pertimbangan rasional pemimpin UMNO semua ini tidak berlaku kerana kesediaan mereka mengenepikan perbezaan ideologi demi kepentingan negara.
Dakwaan bahawa UMNO kini lemah, kalah dan tidak lagi berkuasa adalah tidak betul kerana UMNO kini sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang memerintah.
Benar UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh memerintah secara bersendirian selepas PRU15 dahulu tetapi sekurang-kurangnya UMNO ada peranan signifikan dalam kerajaan. Adalah sesuatu yang tidak betul untuk menurunkan taraf UMNO dan BN sebagai penumpang atau pak turut kepada parti-parti lain yang lebih kuat kedudukannya dalam kerajaan.
Malah, apa sahaja keputusan dasar yang dibuat oleh Kabinet kerajaan perpaduan tidak dapat tidak akan terpaksa mengambil kira pandangan daripada pemimpin UMNO dan BN. Ini kerana jika UMNO dan BN diketepikan suaranya dan ia menarik diri daripada kerajaan perpaduan maka sudah pastilah jangka hayat kerajaan sekarang boleh terancam.
Melalui kerajaan perpaduan juga UMNO dan BN masih mempunyai ruang untuk melaksanakan dasar perjuangan yang ada dalam perlembagaan mahupun manifestonya.
ANGKUH
Ini jauh berbeza daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) yang dengan ‘angkuhnya’ menolak titah Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong supaya membentuk kerajaan perpaduan.
Kini kedua-dua parti itu terkial-kial mahu memastikan negeri-negeri yang diperintah oleh mereka mahupun para penyokong mereka supaya tidak diketepikan oleh kerajaan.
Pas contohnya, walaupun menang kerusi terbanyak secara solo dalam Parlimen, tetapi tanpa kuasa di tangan, apa sahaja yang boleh mereka lakukan untuk meneruskan perjuangan mereka?
Tidakkah mereka terpaksa meminta dan merayu belas ihsan daripada pemimpin kerajaan perpaduan, termasuk daripada pemimpin UMNO, demi kelangsungan perjuangan mereka?
Sekarang ini pemimpin UMNO dikatakan tercemar imej mereka setelah dipalitkan dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan apabila dihadapkan ke mahkamah dengan pertuduhan.
Tetapi perlu diingati bahawa ini berlaku setelah mereka kalah dalam PRU14 menyebabkan pelbagai aktiviti semasa menerajui kerajaan sebelum ini disiasat dan dibongkar.Kini setelah Bersatu dan Pas pula kalah dalam PRU15, tidak adakah kemungkinan bahawa pelbagai aktiviti mereka semasa menerajui kerajaan sebelum ini pula disiasat dan dibongkar?
Pertikaian kecil ke atas keputusan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden hanyalah berbentuk prosedur sahaja dan tidak sesekali berbentuk substantif. Dalam PAU 2022, tidak ada sebarang suara yang mempertikaikan penjelasan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO ke atas penyertaan parti itu dalam kerajaan perpaduan.
Ini menjadi bukti bahawa ahli akar umbi UMNO sudah menerima dengan baik keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ke atas keberadaan UMNO dalam kerajaan perpaduan. Apabila keberadaan UMNO dalam kerajaan perpaduan diterima maka logiknya pemimpin utama yang menerajuinya, khasnya Presiden dan Timbalan Presiden juga diterima.
Apatah lagi apabila usul tambahan mengenai ketiadaan pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO ini telah mendapat sokongan lebih daripada 90 peratus. Adalah diyakini bahawa persoalan ini akan diputuskan secara muktamad mengikut prinsip undang-undang yang betul oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Soal UMNO terkial-kial dengan kerangka pemikiran lama juga tidak berbangkit kerana penyertaan UMNO dalam kerajaan perpaduan itu sudah merupakan satu anjakan paradigma. Walaupun Presiden dan Timbalan Presiden UMNO akan masih dipegang oleh orang lama, perlu diingat bahawa mereka sebenarnya baru sepenggal sahaja memegang jawatan itu.
Dalam tempoh sepenggal yang lalu sudah banyak idea baharu dan segar yang telah mereka kemukakan kepada parti dan rakyat selaras dengan dinamik politik dalam negara.Antaranya ialah anjakan paradigma dalam Manifesto BN pada PRU15 lalu yang menekankan mengenai peralihan daripada dasar berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan.
Kebersamaan UMNO dengan kerajaan perpaduan juga diyakini akan memberikan pulangan yang setimpal bukan sahaja kepada parti itu tetapi kepada seluruh rakyat khasnya. Tegasnya, tindakan merendah-rendahkan UMNO bukanlah satu tindakan yang bijaksana. – UTUSAN
DR. Hussain Yusri Zawawi ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).










