SANGAT mengujakan sekali melihat pendekatan diambil oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar yang tidak membuat apa-apa perubahan kontroversi semenjak mengambil alih tampuk kepimpinan Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada 3 Disember lalu. Satu-satunya isu berbangkit sejak beliau menerajui KSM adalah pengumuman pada 26 Disember lalu mengenai penangguhan penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja sehingga 1 Julai 2023.
Ekoran itu, Sivakumar diserang oleh pihak tertentu seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), malah S. Arutchelvan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendakwa beliau membuat keputusan sendiri setelah dipengaruhi oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF). Begitupun, isu ini reda setelah Sivakumar menjelaskan keputusan itu dibuat oleh mesyuarat Kabinet selain menegaskan bahawa kerajaan cuba mengimbangi beban ditanggung perniagaan yang sedang dalam pemulihan selepas wabak Covid-19.
Terbaru, pada 17 Januari lalu, Sivakumar merasmikan majlis Anugerah Pembangunan Sumber Manusia (HRD) 2022 yang memberi pengiktirafan ke atas pencapaian cemerlang dan sumbangan 31 pemain industri dalam pembangunan modal insan. Anugerah HRD ini asalnya diperkenalkan oleh HRD Corp di bawah naungan KSM pada 2001 lagi di mana ia adalah pengiktirafan tertinggi negara kepada pemain industri yang telah menerajui inovasi dan transformasi modal insan.
Dalam majlis itu, Sivakumar mengucapkan tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood kerana anugerah itu cara terbaik untuk menilai prestasi majikan dan pemain industri dalam memperkukuhkan usaha pembangunan sumber manusia mereka. Menurut Sivakumar, pembangunan ekonomi pascapandemik hanya akan mampu berlangsung dengan modal insan yang gagah, dinamik, tangkas dan berkemampuan. Maka dengan itu membangun dan meningkatkan modal insan perlu menjadi keutamaan terbesar negara.
Ujar beliau lagi, Randstad Malaysia’s 2022 Workmonitor Report menunjukkan 97 peratrus tenaga kerja Malaysia berminat memajukan diri tetapi hanya 36 peratus daripada mereka yang menerima peluang untuk membangun dan meningkatkan kemahiran daripada majikan masing-masing.
Dalam konteks inilah peranan HRD Corp untuk melatih tenaga kerja melalui levi pembangunan sumber manusia sejak 30 tahun lalu, terutama setelah ekonomi negara dan rakyat dibelenggu permasalahan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara dilihat amat penting, Paling mutakhir, data menunjukkan HRD Corp telah mengumpulkan levi sebanyak RM1.811 bilion, mengeluarkan RM728 juta geran latihan, mempunyai 81,706 majikan berdaftar meliputi 4,383,150 tenaga kerja, 1,530,774 tempat latihan dan 879,165 pelatih.
Sebab itulah dengan impak sebesar ini, Sivakumar menyatakan keyakinan lebih ramai majikan dan pemain industri akan memainkan peranan mengembangkan tenaga kerja bagi memenuhi wawasan jangka panjang untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Dalam konteks inilah kesediaan Sivakumar mengetepikan apa-apa pertimbangan politik dalam urusan pentadbiran, termasuk dengan terus menyokong segala usaha baik dilakukan oleh HRD Corp selama ini tanpa mahu mengambil kredit berlebihan ke atasnya amat dihargai.
PRU15
Majlis Anugerah HRD 2022 itu sendiri asalnya adalah acara kemuncak kepada Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2022 yang mulanya dirancang dari 8 hingga 9 November lalu tetapi ditangguhkan ke 29 hingga 30 November ekoran Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Penerusan NHCCE 2022 ini menyaksikan kehadiran lebih 200 pempamer dari pelbagai industri, menarik sehingga 5,000 pengunjung dan lebih 2,300 delegasi menghadiri enam trek sesi perbincangan yang dikendalikan 30 penceramah tempatan dan antarabangsa terkemuka.
Bertemakan HR 5.0 Evolusi dalam Pembangunan Sumber Manusia, penganjuran NHCCE 2022 ini adalah sejajar dengan nilai teras yang diamalkan untuk menyokong pengamal sumber manusia untuk memperkasakan bidang teknologi di tempat kerja. Sambutan ke atas program yang bertepatan sebagai platform untuk mengukuhkan modal insan selain mempercepatkan pertumbuhan serta produktiviti negara ini sangat menggalakkan dengan topik-topik lebih memfokus kepada cara menghadapi situasi pascapandemik.
Turut termeterai ialah perjanjian persefahaman (MoU) antara HRD Corp dan LinkedIn untuk menyediakan lebih 18,000 kursus di platform e-latih HRD Corp selain menggalakkan penggunaan levi yang lebih besar dalam kalangan majikan berdaftar melalui satu siri bengkel kemahiran. Ini adalah kesinambungan kepada pelbagai program yang telah dilaksanakan oleh HRD Corp sejak Shahul menerajuinya pada April 2020 bagi memenuhi visi HRD Corp memperbaiki kehidupan melalui pembelajaran sepanjang hayat dan pemerolehan kemahiran kerja pada masa depan.
Sepanjang dua tahun lalu, HRD Corp secara profesional mengembangkan komitmennya untuk membantu lebih ramai pekerja dan industri dalam negara menerusi penganjuran pelbagai program latihan semula untuk memulihkan sosioekonomi negara yang terkesan akibat pandemik. Antara program berimpak besar adalah Penjana HRDF yang diperkenalkan pada Jun 2020 dengan pembiayaan lebih RM500 juta, platform pembelajaran dalam talian percuma e-LATiH yang menerima sebanyak 370,000 penyertaan dan HRD Corp Placement Centre.
Antara inisiatif lain ialah program Second Chances & Opportunities for People to Excel (SCOPE) untuk membantu bekas banduan dengan menyediakan latihan pembangunan kemahiran serta peluang menjana pendapatan dan pekerjaan setelah pulang ke pangkuan masyarakat.
Penjenamaan baharu HRD Corp pada 2 Disember 2021 pula disertai oleh pelancaran platform sehenti nasional pertama negara, UpskillMalaysia yang menampilkan senarai komprehensif program latihan dan pembangunan kemahiran ditawarkan oleh kerajaan.
Adalah diharapkan agar profesionalisme sebegini akan berterusan di HRD Corp dan KSM sekali gus membolehkan Sivakumar dan kerajaan perpaduan memulihkan negara lebih cepat. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Rusdi Omar ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).











