Perlu intervensi tangani kes muflis - Utusan Malaysia

Perlu intervensi tangani kes muflis

PEMINJAM yang terdesak disyorkan mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa yang bertauliah seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK serangan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membawa kepada penutupan pelbagai sektor ekonomi serta ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi domestik dan global, kadar keterhutangan serta kemampuan membayar balik hutang rakyat semakin terjejas malah boleh dikatakan cukup serius.

Memandangkan keadaan ekonomi masih tidak menentu selain peningkatan kos sara hidup yang cukup mendadak terutamanya disebabkan kenaikan harga barang maka sudah tiba masanya kerajaan memandang serius keperluan untuk membantu rakyat mengurus keterhutangan serius yang sedang dihadapi.

Hal ini dilihat sangat penting kerana menurut para penganalisis ekonomi, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada bulan ini bagi mengekang inflasi dan menstabilkan pasaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kenaikan tersebut akan menjadi kali kelima berturut-turut kepada paras 3.0 peratus setelah berada pada paras terendah pada 1.75 peratus sebelum dinaikkan pada 11 Mei tahun ini.

Keadaan ekonomi dunia yang dijangka terus melemah pada tahun ini menyebabkan BNM mungkin tiada pilihan dan ini ditambah pula dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa BNM mempunyai hak dan kuasa dalam membuat keputusan berkaitan dengan kadar OPR tanpa perlu membabitkan campur tangan kerajaan bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.

Kenaikan OPR ini bakal memberi kesan langsung kepada para peminjam kerana berhadapan dengan kesukaran untuk membayar balik ansuran bulanan yang akan bertambah. Situasi ini boleh menyebabkan lebih ramai lagi rakyat khususnya golongan belia bakal muflis kerana tidak dapat membayar balik hutang.

Dijangkakan jumlah individu bankrap boleh mencecah 30,000 kes tahun ini jika kadar OPR dinaikkan. Jumlah ini berdasarkan jangkaan pertambahan sebanyak 10,000 lagi kes individu muflis pada tahun ini selepas 20,258 kes dicatatkan sepanjang tempoh pandemik antara 2020 hingga November 2022.

Apa yang lebih membimbangkan ialah bilangan golongan belia yang muflis juga dijangka terus naik. Berdasarkan data sebelum ini, individu muflis berusia 35 hingga 44 tahun mencatat kes bankrap tertinggi sejak 2018 dengan 18,296 kes (37.50 peratus) diikuti kategori umur 45 hingga 54 tahun (25.94 peratus).

Kes bankrap rakyat kita ini banyak melibatkan pinjaman peribadi, sewa beli kenderaan, pinjaman perniagaan, pinjaman perumahan dan juga hutang kad kredit. Kategori ini sangat signifikan dengan golongan muda yang baru memulakan alam pekerjaan mahupun membina keluarga.

Justeru, kerajaan perlu pantau kes peningkatan muflis ini selain terus membantu rakyat untuk mengurus pembayaran balik hutang dengan lebih baik.

Misalnya, kalau boleh bincanglah dengan BNM untuk tangguhkan buat sementara waktu cadangan kenaikan OPR dan jika terpaksa dinaikkan juga biarlah kadar yang bakal ditetapkan itu adalah paling minimum dan tidak terlalu membebankan rakyat.

Kita yakin perbincangan kerajaan dan BNM dengan mengambil kira keadaan ekonomi negara dan kos sara hidup rakyat mampu menterjemahkan hasil yang lebih baik dalam situasi menang-menang.

TEKANAN

Selain itu, kerajaan juga wajar mengadakan perbincangan dengan pihak bank dan institusi kewangan yang terlibat untuk mendapatkan komitmen agar tidak mendesak dan memberi tekanan yang melampau kepada peminjam.

Dalam konteks ini, kita berharap pihak bank boleh mewujudkan pelbagai pelan pembayaran balik pinjaman yang fleksibel dan lebih mesra peminjam. Janganlah membebankan peminjam secara mengejut dan ketara dengan arahan pembayaran ansuran mengikut jadual sedia ada.

Selama ini bank tetap meraih keuntungan yang berganda, jadi eloklah bertimbang rasa dan memahami desakan hidup peminjam. Ingat, jika peminjam muflis kemungkinan besar pihak bank tidak mendapat sebarang manfaat langsung.

Tetapi jika bertolak ansur dan diselesaikan dengan baik sekurang-kurangnya peminjam akan berusaha untuk membayar walaupun dalam amaun yang kecil tetapi secara konsisten sehingga habis sekali gus tidak merugikan bank.

Dalam hal ini, para peminjam tidak boleh tunggu dan lihat sahaja sebaliknya wajar bertindak proaktif dengan segera mengadakan sesi perbincangan dengan pihak bank supaya dapat mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Pada masa yang sama, kementerian yang terlibat seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) juga turut boleh membantu para belia dan usahawan keluar dari ancaman muflis.

Kedua-dua kementerian ini boleh ambil langkah proaktif dan intervensi yang sewajarnya untuk menyelamatkan golongan belia dan usahawan termasuklah melalui kerjasama dengan pihak bank selain membantu aspek pengukuhan elemen kesedaran pengurusan kewangan yang lebih berhemat.

Ironinya, belia dan usahawan perlu terus dibimbing dan dididik supaya bijak mengurus kewangan dan teliti dalam proses pembuatan keputusan.

Di samping itu, kita juga berharap agar para peminjam tidak mengambil tindakan terburu-buru atau pilih jalan pintas seperti membuat pinjaman baharu dengan sindiket ceti haram untuk membayar bank.

Tindakan umpama gali lubang menutup lubang seperti ini tidak akan menyelesaikan masalah hutang tersebut sebaliknya akan lebih memburukkan keadaan kerana berhutang dengan ceti haram jauh lebih bahaya daripada pihak bank atau institusi kewangan yang berdaftar. Ini termasuklah boleh memudaratkan dan memberi ancaman keselamatan kepada diri dan keluarga peminjam.

Para peminjam yang terdesak juga disyorkan untuk mendapatkan nasihat, bantuan dan bimbingan daripada pihak berkuasa yang bertauliah seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Lazimnya, AKPK membantu individu untuk mengawal kewangan dan penggunaan kredit mereka secara bijak melalui beberapa perkhidmatan seperti kaunseling dan nasihat mengenai pengurusan kewangan serta program pengurusan hutang untuk membantu pengguna mendapatkan semula kawalan kewangan.

Tuntasnya, rakyat tidak boleh dibiarkan dibebani dengan situasi seperti ini. Justeru, kerajaan perlu campur tangan segera dengan langkah intervensi yang sewajarnya untuk menyelamatkan rakyat dari jatuh muflis dan pada masa yang sama terus memacu pertumbuhan ekonomi negara. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×