ADAKAH Kerajaan Persekutuan telah membayar pemberian khas baharu yang dinaikkan sebanyak RM125.6 juta kepada Sabah bagi 2022? Ini selaras dengan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan terdahulu pada 14 April 2022, menyaksikan amaun pemberian khas kepada Sabah dinaikkan sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta, setelah kajian semula dibuat di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 112D (1) perlembagaan menyatakan, sebarang pemberian gantian atau tambahan hendaklah dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan dan Sabah dalam tempoh lima tahun bermula 1969 hingga 1974 dan selepasnya. Namun, hendaklah mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan negeri.
Di dalam Bahagian IV Jadual Ke-10 perlembagaan, Sabah berhak menerima pemberian khas bersamaan dua perlima atau 40 peratus daripada hasil bersih negeri dikutip Kerajaan Persekutuan. Pun begitu, hingga kini, Sabah tidaklah mendapat 40 peratus hasil bersih negeri, namun digantikan dengan pemberian khas lain dalam tempoh setiap lima tahun, menyaksikan jumlahnya masing-masing RM20 juta (1969), RM21.5 juta (1970), RM23.1 juta (1971), RM24.8 juta (1972) dan RM26.7 juta (1973).
Persoalan ini timbul kerana tiada perkara jelas antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengenai bayaran itu yang dikhuatiri tidak pun ditunaikan sedangkan amaun tersebut amat penting untuk urusan pembangunan dan pentadbiran Sabah.
Pada 14 Februari tahun lalu, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri Sabah telah mencapai kata sepakat berhubung kajian semula pemberian khas. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan Perdana Menteri ketika itu turut berkata, amaun berkenaan akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023 hingga 2026 mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui secara bersama.
Bagi tahun ini dan seterusnya, kerajaan dijangka hanya menetapkan formula jumlah kenaikan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching, Sarawak, bulan depan.
Timbul persoalan, apakah pendirian kerajaan bagi formula pemberian khas 2023 yang ditentukan nanti akan dikira bermula 1973 (RM26.7 juta) dan bukannya 2022 (RM125.6 juta) – ketika pembayaran bagi 2022 belum masih belum diketahui?
Saya menghubungi Ismail Sabri bagi menjelaskan jika kerajaan ditadbirnya ketika itu – sebelum peralihan jawatan Perdana Menteri bertukar kepada Anwar telah membuat bayaran kepada Sabah. Bagaimanapun, Ismail Sabri mengambil langkah berdiam diri dan tidak memberi sebarang jawapan.
Perkara 112D (3) perlembagaan menyatakan, perintah untuk melakukan kajian semula mengenai pemberian khas hendaklah terus berkuat kuasa selepas berakhir 1973 (semakan pertama dijalankan) melainkan digantikan dengan suatu perintah yang baharu selepasnya.
Perkara 112C perlembagaan menyatakan, tertakluk kepada Perkara 112D dan apa-apa batasan dalam seksyen di dalam Jadual Ke-10, Persekutuan hendaklah membuat (bayaran hasil negeri) kepada Sabah dan Sarawak dengan setiap tahun kewangan pemberian dinyatakan. Ketika pemimpin-pemimpin Sabah menyambut baik kenaikan pemberian khas selaras dengan yang telah diumumkan sebelum ini, Kerajaan Persekutuan perlu lebih jelas sama ada bayaran itu benar-benar telah dibuat supaya rakyat negeri itu tidak mengharap sesuatu yang belum pasti. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










