PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan pendekatan dan konsep baharu kerajaan perpaduan, iaitu membangun Malaysia untuk memetakan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan, dirangkul peradaban dicitakan dan ditakrifkan dengan sebuah konsep mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati, punyai keyakinan dan bersifat ihsan.
Jika dilihat pendekatan Perdana Menteri sebelum ini, masing-masing memperkenalkan konsep pentadbiran mereka tersendiri seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi (Islam Hadhari), Datuk Seri Najib Tun Razak (1Malaysia), Tun Dr. Mahathir Mohamad (Malaysia Baharu), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Kerajaan Prihatin) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Keluarga Malaysia).
Lebih dua dekad lalu, Perdana Menteri pernah mengilhamkan sebuah pengisytiharan dikenali sebagai Deklarasi Permatang Pauh pada 1998 yang asasnya berteraskan gesaan al-Quran bermaksud: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nya aku kembali.” (Surah Hud: 88)
Di samping konsep Malaysia Madani yang baharu diperkenalkan, kerajaan perpaduan yang sedang dibina hari ini perlu mengembalikan roh dan semangat Deklarasi Permatang Pauh tersebut berteraskan tradisi budaya dan nilai murni yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat dalam pembinaan sesebuah negara kompetitif serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Realitinya, Malaysia kini berdepan kemelut yang memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula dalam semua aspek terutama ekonomi, sosial, pendidikan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan.Rakyat telah melalui proses demokrasi setiap lima tahun untuk memilih sebuah kerajaan baharu bagi memimpin negara ke arah landasan yang betul dan berdaulat di persada politik dunia.
Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil untuk memastikan landskap politik berdaya maju serta mampu bersaing dengan negara dunia lain.Kerajaan perpaduan diterajui Anwar dengan barisan kepimpinan beliau yang mewakili segenap masyarakat dilihat mampu mencipta sejarah baharu dalam pentadbiran negara.
Tanpa kita nafikan, Malaysia yang berbilang bangsa dan agama hendaklah bertekad dan beriltizam untuk menyemarak gerakan serta semangat reformasi menyeluruh bagi memastikan perpaduan negara tanpa dipengaruhi naratif perkauman dan fahaman agama sempit bertujuan merealisasikan sebuah negara rahmah mencakupi semua aspek.
Kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Anwar perlu meletak batu asas reformasi yang kukuh berasaskan perjuangan hati nurani, kesedaran sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram dibelenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang adil.
HOLISTIK
Gerakan reformasi bersandarkan Deklarasi Permatang Pauh dan pendekatan Malaysia Madani hendaklah diterapkan dengan adunan yang holistik bagi menegakkan keadilan kepada semua sama ada mereka dari golongan kuat atau lemah, yang kaya atau miskin agar tidak ada tercicir atau dizalimi secara sedar atau tidak sedar oleh kerajaan.
Oleh itu, kerajaan perpaduan ini mestilah mempunyai iltizam yang tinggi untuk membersihkan dan memperbetulkan semula institusi serta proses undang-undang daripada dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah serta memastikan semua pihak mematuhi dan menghormati institusi mulia ini.
Kerajaan baharu dengan pendekatan negara rahmah ini juga perlu mengangkat inspirasi gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi utuh serta semangat keadilan yang ada dalam diri setiap rakyat bagi membolehkan sistem demokrasi dilaksana tanpa menzalimi mana-mana pihak.
Melalui gagasan Deklarasi Permatang Pauh juga, maka kerajaan madani ini perlu memperjuangkan keadilan ekonomi, menjana pertumbuhan dan pengagihan saksama antara kaum kerana dibimbangi yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana, yang mana sekiranya berlaku akan memberi imej negatif kepada kerajaan.
Kerajaan perpaduan ini yang dibina berteraskan konsep negara rahmah dan Malaysia Madani juga perlu memastikan semua agenda rakyat adalah untuk keperluan bersama dan bukannya bagi memenuhi kerakusan individu tertentu sahaja agar negara ini bebas daripada belenggu penindasan serta diskriminasi kaum dan agama serta menamatkan doktrin politik toksid dan naratif perkauman yang merosakkan.
Untuk memastikan agenda rakyat bagi membasmi kemiskinan, maka kerajaan perlu membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan yang rakus dan maha kaya agar rakyat dapat menikmati kemakmuran secara saksama dan rahmah.
Di samping itu, kerajaan juga hendaklah menitikberatkan usaha memperkukuhkan jaya diri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik daripada semua budaya sejajar pdengan embentukan Malaysia Madani sebagai sebuah negara rahmah.
Aspirasi Deklarasi Permatang Pauh dan pembangunan Malaysia Madani juga adalah untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.
Hakikatnya, konsep negara rahmah, gagasan Deklarasi Permatang Pauh dan Malaysia Madani adalah resepi terbaik untuk kerajaan perpaduan ini merealisasikan semangat perlembagaan, mengangkat agenda rakyat dan prinsip pemerintahan yang adil serta bertanggung jawab membela nasib rakyat sejajar dengan kemuliaan kemanusiaan itu sendiri. – UTUSAN
DR. Mohamad Sofee Razak ialah peguam bela & peguam cara.










