Bapak Anwar, selamat datang ke Jakarta, kabare?

Bapak Anwar, selamat datang ke Jakarta, kabare?

KEHADIRAN Anwar Ibrahim ke Jakarta esok dengan pertemuan empat mata bersama Jokowi bakal membuka lembaran baharu kepada kedua-dua negara. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BHINNEKA Tunggal Ika atau ‘berbeza-beza tetapi tetap satu juga’ menjadi pegangan yang utuh bagi Indonesia mendepani kemajmukan bangsa yang merentasi dari Sabang sampai Merauke.

Berjajar pulau-pulau,
Sambung-menyambung menjadi satu,
Itulah Indonesia.

Itu antara bait-bait lagu kanak-kanak berjudul Dari Sabang Sampai Merauke yang begitu popular sebagai lagu nasional. Membentang luas sejauh ribuan kilometer jaraknya, Indonesia ‘negara gergasi’ Asia Tenggara kini boleh dianggap begitu penting dalam sektor ekonomi di sebalik cabaran menunggu bahtera negara sepanjang 2023 ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dengan pelbagai projek mega sedang diusahakan, dari kereta cepat (tren berkelajuan tinggi) Jakarta-Bandung sehingga Nusantara (pembangunan ibu kota baharu), Indonesia bagaikan berlari kencang, tidak menoleh lagi ke belakang dalam memetakan Indonesia di mata dunia.

Sekalung tahniah diucapkan kepada Bapak Jokowi (Joko Widodo), pemikir Indonesia Maju yang mahu memastikan Indonesia sentiasa berada di depan menerajui bukan sahaja kepada aspek materi (kebendaan) malah pembangunan bangsanya. Melihat kepada keseriusan yang tinggi ditunjukkan Jokowi dalam memimpin kemajuan negara, ini juga peluang bagi negara tetangga menjalin satu bentuk kerjasama strategik, membangun bersama, maju bersama seiring semangat ASEAN.

Mengambil kira semuanya itu, lebih-lebih lagi begitu pentingnya negara serumpun ini terus memperkukuh hubungan, kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta esok dengan pertemuan empat mata bersama Jokowi bakal membuka lembaran baharu antara Bhinneka Tunggal Ika dan Bersekutu Bertambah Mutu ini saling mencari ruang, apakah perbezaan-perbezaan yang ada dapat disekutukan bagi membangkitkan mutu serumpun yang utuh.

Selamat datang ke Jakarta, Bapak Anwar. Sosok tubuh bernama Anwar ini diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 dalam satu musyawarah penuh harmoni antara raja-raja Melayu mencari penyelesaian kemelut pelantikan Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), baru-baru ini. Pemimpin reformasi ini cukup dikenali dan disegani di Indonesia. Pemimpin-pemimpinnya juga amat mengenali Anwar malah sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Jokowi antara pemimpin terawal menghubunginya mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut.

Menurut Jokowi, seperti dipetik laporan Tempo, Anwar adalah sosok yang dikenal luas dan dihormati rakyat Indonesia.

“Saya berharap kita dapat berjumpa segera untuk membahas upaya memperkukuh hubungan bilateral kita, baik ekonomi, masalah perbatasan, mengenai perlindungan warga negara kita,” tegas Jokowi dalam perbualan menerusi telefon.

Faktanya, ini merupakan Perdana Menteri Malaysia keempat yang ‘menghadap’ Jokowi di Jakarta dalam tempoh beberapa tahun ini, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad (selepas Pakatan Harapan berjaya menguasai Putrajaya dalam PRU14); Tan Sri Muhyiddin Yassin (selepas ‘Langkah Sheraton’) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (selepas Muhyiddin dikatakan tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen).

Berakhirnya PRU15 dengan pelantikan Anwar selaku Perdana Menteri, ramai pihak menaruh harapan cukup tinggi, jangan ada lagi ‘ganggu kacau’ dalaman yang seterusnya membawa kepada kelelahan rakyat menonton ketidakstabilan politik negara.

Biarlah pertemuan bersama Jokowi ini menjadi titik penting memberikan mesej seriusnya juga Anwar memimpin negara ke arah Malaysia yang maju.

Tempo melaporkan, jumlah perdagangan antara Indonesia-Malaysia meningkat 45 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Malaysia merupakan mitra (rakan kongsi) perdagangan terbesar kedua Indonesia dan pelabur terbesar kelapan pada 2021.

Dalam ruangan Opinion – Editorial pada 27 November lalu, tiga hari selepas Anwar sah diumum sebagai Perdana Menteri ke-10, Jakarta Post dengan tajuk Best of luck, Dato’ Anwar mengakhiri tulisan dengan kenyataan: We wish Datuk Anwar success in leading Malaysia (Semoga Datuk Anwar berjaya memimpin Malaysia).

Jakarta Post juga menulis: We look forward to a new special relationship with Malaysia under Prime Minister Anwar (Kami menantikan hubungan istimewa baharu dengan Malaysia di bawah Perdana Menteri Anwar).

Begitu harapan Jakarta Post, begitulah jua harapan Malaysia kepada Anwar. Membawa kembali Malaysia ke jalan ekonomi yang terbaik, sambil tidak melupakan pentingnya peranan kerjasama negara tetangga serumpun, Indonesia.

Memetik kembali kata-kata tegas pada 2019 oleh bekas Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Bapak Rusdi Kirana (jutawan terkenal yang memiliki syarikat penerbangan Lion Air Group), beliau sendiri mengajak Malaysia-Indonesia, “Mari bicara hal lebih besar.”

Tuturnya, “Kalau kita serius membangunkan kesejahteraan rakyat, waktunya kita memasuki era kerjasama perdagangan. Kita ini hanya bicara masalah nelayan, TKI (tenaga kerja Indonesia). Tetapi mari kita bicara yang lebih besar, yang mendatangkan kesejahteraan kepada rakyat. Masalah kita ini masalah tradisional. Kita bicara masalah sempadan sejak sekian lama, soal perikanan tak selesai. Bila kita mahu move on yang benar-benar menghasilkan kesejahteraan kepada rakyat.”

Utamanya, beliau menegaskan, jangan ada lagi perkelahian antara Malaysia dan Indonesia hanya kerana hal-hal kecil dan remeh, sebaliknya sudah sampai masanya kedua-dua negara ini sederap maju bersama.

Selamat maju jaya Bapak Anwar, Bapak Jokowi. Mari bersama berbicara hal lebih besar, mendepani ketidaktentuan ekonomi 2023 dengan keupayaan serantau, senusantara, seterusnya mengangkat dua bangsa serumpun ini ke arah lebih sukses, matang dan ‘luar biasa.’  – UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×