AIGA hargai pembudayaan integriti

AIGA hargai pembudayaan integriti

Mohd. Zuki Ali (kiri) melancarkan Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2022 di Putrajaya, tahun lalu. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2022 yang julung kalinya diadakan di negara ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

AIGA merupakan salah satu pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) selaras dengan peranannya sebagai peneraju utama pembudayaan dan penerapan nilai-nilai integriti serta tata kelola di segenap lapisan masyarakat di negara ini. Usaha ini juga adalah selari dengan mandat baharu yang diberikan kepada IIM oleh kerajaan untuk memantapkan kualiti dan prestasi tata kelola sektor awam serta swasta di Malaysia.

Selain itu, AIGA merupakan satu anugerah yang memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam serta swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti serta tata kelola terbaik dalam organisasi masing-masing.

Di samping itu, ia mewujudkan ruang untuk mencungkil keupayaan, kemampuan, komitmen dan kesungguhan sektor awam serta swasta dalam usaha pelaksanaan sistem kawalan dalaman pengurusan integriti.
Sejarah AIGA bermula sejak 2020. Pada tahun tersebut, penganjuran AIGA secara rintis oleh IIM dengan kerjasama Yayasan Pahang (YP) telah diadakan di peringkat negeri Pahang sahaja. Penganjuran AIGA peringkat negeri Pahang telah meraih penyertaan sebanyak 41 organisasi kerajaan dan swasta di seluruh negeri tersebut.

Susulan kejayaan projek rintis AIGA 2020 peringkat negeri Pahang, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Zuki Ali yang juga Pengerusi IIM telah mengusulkan supaya AIGA dikembangkan penganjurannya ke peringkat kebangsaan.

Sejumlah 143 pendaftaran penyertaan AIGA 2022 telah diterima daripada pelbagai organisasi oleh IIM. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 115 organisasi yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat multinasional (MNC), syarikat awam berhad (PLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah berjaya meneruskan penyertaan sehingga ke peringkat penilaian.

NGO
Penilaian AIGA 2022 adalah berdasarkan:
– MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System;
– MS ISO 9001:2015 Quality Management System;
– ISO 37000:2021 Governance of Organizations-Guidance;
– ISO 37002:2022 Whistleblowing Management System;
– Garis Panduan Tatacara Mencukupi (Di bawah Subseksyen (5) Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009); dan
– Malaysian Code on Corporate Governance (2017).

Justeru, AIGA merupakan platform terbaik di negara ini bagi organisasi awam dan swasta untuk menilai tahap pelaksanaan serta keberkesanan sistem pengurusan integriti dan program-program integriti serta antirasuah dalam organisasi masing-masing, dan seterusnya dapat memantapkan tata kelola terbaik. Tambahan pula, proses penilaian dibuat oleh pihak ketiga yang merupakan individu-individu berpengalaman dan berpengetahuan berkaitan integriti, tata kelola baik serta antirasuah yang mewakili sektor awam, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selari dengan konsep penambahbaikan berterusan terhadap penganjuran AIGA yang akan dilaksanakan secara tahunan, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) telah menzahirkan komitmen dan hasrat kepada IIM untuk turut bekerjasama dalam penganjuran AIGA 2023 yang bakal dibuka pendaftarannya hari ini.

Adalah diharapkan agar penyertaan bagi AIGA 2023 dapat menarik minat lebih banyak lagi organisasi dari sektor awam dan swasta dalam usaha memantapkan tata kelola terbaik serta integriti organisasi masing-masing, dan seterusnya dapat mencegah jenayah rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa daripada berleluasa, seperti yang ditekankan oleh kerajaan perpaduan di bawah Perdana Menteri demi kebajikan rakyat dan negara.-UTUSAN

DATUK Wan Suraya Wan Mohd. Radzi ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN