Tindakan, kenyataan biarlah melegakan perasaan rakyat

Tindakan, kenyataan biarlah melegakan perasaan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNGKAPAN ‘Selamat menyambut tahun baharu dengan azam dan semangat baharu’ mungkin sudah dianggap klise pada setiap tahun berganti. Namun, jika ungkapan itu disuburkan di sanubari dengan rasa penuh insaf dan sedia berubah ke arah kebaikan, tentu berkat dan manfaatnya menunggu di hujung kehidupan.

Sudah banyak calar dan terluka dalam melewati hari-hari berlalu. Saban waktu rakyat dihidang dengan polemik politik yang semacam tiada berkesudahan. Kecenderungannya lebih kepada sengketa dan perbalahan. Banyak unsur kata-mengata, tuduh-menuduh sama ada berbaur kenyataan atau sekadar fitnah, tohmahan dan provokasi tercatat dan terluah di sana sini. Media sosial menjadi gelanggang utama.

Akibatnya rakyat semakin muak dan bosan dengan politik. Sehinggakan sebahagian daripada gangguan perasaan itu telah diterjemahkan rakyat melalui kadar peratusan keluar mengundi begitu rendah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, terutama dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu. Tidak mustahil, jika pun keluar mengundi, ada dalam kalangan mereka hanya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berdaftar tetapi mungkin tidak menunaikan amanah demi kelangsungan survival agama, bangsa dan tanah air pada erti kata sebenar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dibimbangi suasana dan perasaan menjeruk kalbu itu terus berlaku terutama menjelang pilihan raya negeri (PRN) di beberapa negeri tidak lama lagi. Sementara UMNO akan mengadakan pemilihan parti, juga dalam tempoh sama. Barangkali sukar mencari istilah ‘harmoni’ dalam berpolitik. Tetapi jika berpolitik disulami dengan tujuan yang benar-benar ikhlas dan murni demi menghimpun sepakat dan membina kekuatan ummah dan negara, tentu masih banyak jalan yang boleh diterokai.

Malang jika ada yang masih sanggup meluah kata-kata, “Dalam berpolitik mana mahu cari istilah nilai murni?” Jadi, berpolitik itu untuk apa? Bukankah berpolitik itu untuk memurnikan kehidupan semua? Carilah jawapan tepat kepada persoalan-persoalan yang menyentuh ehwal kehidupan rakyat.

Tidak adil untuk semata-mata menyalahkan sikap rakyat. Kenyataannya, kalangan pemimpin politik kerap mempamerkan pertelagahan sama ada di antara kelompok parti berbeza atau dari dalaman parti sama.

Jangan berharapkan lagi tentang nilai budi dan peradaban. Dunia komunikasi moden kini menjadi medan melemparkan kata-kata tanpa ada lagi batas sopan dan susila. Semacam tiada lagi had dan sempadan.

Segala-galanya hanya terletak pada nilai keperibadian seseorang.

Rakyat hanya menjadi pemerhati. Mereka tidak dapat mengelak daripada membaca hantaran-hantaran berunsur kata-kata kesat dan luahan hodoh dalam kalangan pemimpin politik pada setiap kali membuka gajet di tangan. Lalu pada masa sama, jangan salahkan rakyat jika mereka memuat pentafsiran mudah, “Semuanya seumpama dua kali lima.”

Rakyat dapat mengukur kejujuran sebenar dalam kalangan pemimpin sama ada benar-benar sedia menyumbang demi memperjuangkan kepentingan dan kedaulatan agama bangsa dan tanah air atau terselit agenda mencari kepentingan peribadi atau keselesaan puak.

KAMPUNG

Jika benar-benar ikhlas, berada di mana pun boleh menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara. Tidak perlu pun menubuh apa-apa badan berasingan. Masyarakat di kampung mudah memahami benar tentang sindir sinis dalam kehidupan harian. Kata mereka, “Kalau benar mencari damai, untuk apa kerap dipamer mengasah parang?”

Banyak insiden dan kejadian melangkaui kebiasaan. Pertukaran tiga perdana menteri dalam tempoh satu penggal pemerintahan cukup menggambarkan sesuatu yang luar biasa bagi dunia politik di Malaysia.

Malah tercatat suatu sejarah baharu bagi Malaysia di mata dunia. Elak Malaysia dilihat janggal dan longgar dari segi urus tadbirnya. Jika angka pemilikan kerusi di Parlimen tidak jauh berbeza, maka ada-ada sahaja ungutan dan ancaman mahu menumbangkan kerajaan. Kini gabungan parti yang menubuhkan kerajaan sudah memiliki majoriti lebih dua pertiga, apa lagi mahu digugat?

Yang pasti, rakyat mahu melihat dan menikmati kestabilan. Mereka mahu ekonomi negara dapat dilonjak dan dipersegarkan supaya kos sara hidup dapat ditangani dan mutu kehidupan dapat ditingkatkan. Rakyat mengharap kerajaan yang diberi mandat lebih fokus mengatur gerak perancangan dan pelaksanaan berkesan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara.

Setiap langkah diambil kerajaan diharap dapat menjawab persoalan sebenar apa yang dikeluhi rakyat. Bukan sekadar umpamanya, “Kurangkan makan ayam kalau bekalan ayam tidak mencukupi atau harganya tinggi” atau “Kurangkan makan telur jika bekalan telur kurang di pasaran.”

Tegasnya, apa jua kenyataan dan tindakan kerajaan melalui kementerian tertentu diharap dapat melegakan perasaan rakyat, bukan semudah mencari alasan atau memberi jawapan yang kurang menepati aspirasi.

Sempena kedatangan tahun baharu 2023, tidak salah kalau disimpan impian mahu merubah kecelaruan menjadi ketenangan, sengketa menjadi sekata, bermusuh tidak berpanjangan, berseteru tidak keterlaluan dan semoga bertelagah menemui jalan penyudah. Masing-masing berperanan mengatur langkah berhemah, menutur kata-kata berharga.

Hidup tidak selalu indah, tetapi keindahan biarlah sentiasa menjadi mutiara impian bersama. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×