MENGIKUT Kamus Dewan, ‘perpaduan’ mempunyai maksud selari dengan gabungan, ikatan dan pakatan. Ia penting diterapkan bermula dari bangku sekolah sebagai agenda utama pendidikan negara. Politik pula lebih terkenal dengan taktik songsangnya – pecah dan perintah, dalam usaha untuk terus menagih kuasa sepertimana amalan penjajah.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak kurang juga licik dalam hal ini. Oleh demikian, umumnya politik lebih sering memusnahkan pendidikan dan serentak perpaduan. Inilah akar umbi masalah Malaysia. Kalau ini tidak diakui dan tidak diperbetulkan, perpaduan akan terus terencat lagi rapuh. Perpaduan hanya khayalan serta dongengan tersisih daripada sasaran memupuk kerukunan hidup bukan sahaja untuk sesuatu kelompok atau masyarakat tetapi bagi semua peringkat merentas setiap individu. Tambahan pula anak muda sudah menjadi pengundi.
Pada setiap individu itu ada juga kepelbagaian yang perlu disepadukan melalui pendidikan. Maka terpanggillah Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang diilhamkan oleh Menteri Pendidikan pada 1988. Empat perkara utama yang wajar disepadukan meliputi aspek manusiawi menyentuh hal-hal jasmani, emosi, rohani dan akal atau intelek (JERI) untuk kemenjadian insan ciptaan Ilahi supaya seimbang lagi harmonis dalam mengecapi kesejahteraan diri.
Ini merupakan perpaduan peringkat paling asas dalam membentuk kesepaduan diri melalui fitrahnya. Semoga mampu melebar lebih besar dan luas ke pelosok alam, baik dalam kalangan keluarga, masyarakat mahupun negara apatah lagi dunia sepertimana diungkapkan dalam FPK sejak lebih 30 tahun lalu, tetapi hanya mendapat sambutan ala kadar berdekad lamanya.
Justeru, pendidikan perpaduan terabai dan terpaksa dibantu pula dengan pelbagai langkah tambahan melalui jabatan atau agensi perpaduan bertujuan menampal kelompangan pendidikan yang tidak selari dengan hasrat FPK. Juga program lain seperti Rukun Tetangga, Khidmat Masyarakat dan lain-lain.
Hakikatnya, apabila asas perpaduan tidak mantap, agak sukar dibayangkan bagaimana ia boleh terkesan pada peringkat yang lebih tinggi dan majmuk. Misalnya, dari segi politik telah terwujud awal-awal lagi gabungan perpaduan tertentu seperti Parti Perikatan bersimbolkan kapal layar. Ia menggambarkan impian positif apabila menggabungkan tiga rumpun bangsa yang ada di Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.
Mereka diwakili oleh parti berasaskan identiti kaum masing-masing.
Namun, ia masih bukan perpaduan dalam erti kata sebenarnya. Walaupun sama-sama berlayar dalam satu kapal bergelar Perikatan, ia mempunyai tiga kelas berbeza dan terasing. Maka perpaduan bahasa, budaya, cara hidup serta agama terus terhambat. Ketegangan antara kaum terus wujud walaupun masih terkawal agar tidak mengancam.
Begitu juga ketegangan dalaman sama ada dari segi kasta, kongsi, mazhab serta puak-puak kecil lain yang agak lumrah. Maknanya, perpaduan yang wujud belum cukup matang mengikut laras pendidikan.
GOYAH
Apabila tertubuh pula Barisan Nasional (BN) empat tahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969, ini sederap menunjukkan tahap perpaduan masih goyah selepas lebih 15 tahun merdeka di bawah kerajaan Perikatan sungguhpun pada masa itu kerajaan mempunyai majoriti yang secukupnya. Seketika ia menampakkan peningkatan perpaduan ekoran perikatan beberapa buah parti lain terutama dari Sabah dan Sarawak mewakili Malaysia timur.
Penambahan hampir lima kali ganda keahlian daripada hanya tiga buah parti dalam Perikatan kepada 14 dalam BN pada 1973 membawa satu pengertian baharu pada istilah perpaduan. Tetapi ia tidak kekal. Kestabilan mula tergugat apabila wujudnya ketegangan antara Malaysia barat dan timur yang berasa dianaktirikan. Lantas membuat beberapa tuntutan yang belum lagi dikotakan seperti tercatat dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Perpaduan turut terpalit dan mula terkesan dengan jelas tatkala kedengaran laungan berbaur kewilayahan pula. Pun begitu, kemuncak semua ini tidak lain tidak bukan ternyata pada 2018 apabila BN tewas selepas enam dekad menguasai kerajaan berasaskan perpaduan pelbagai parti dari Perlis hinggalah ke Sabah. Lebih teruk lagi, BN terus lumpuh dalam PRU15 empat tahun kemudian, mencatat prestasi terburuk dalam sejarahnya mewakili hanya empat buah parti berbaki daripada 14 pada asalnya. Sekadar menjadi kingmaker, bukannya king!
Satu petanda bahawa konsep perpaduan perlu pembaharuan dan tidak lagi sesuai untuk diteladani. Apa lagi diakhiri pelbagai skandal luar biasa seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menyimpulkan betapa rapuh ‘perpaduan’ yang dijual beli kerana tidak berakar pada pendidikan. Inilah soal pokok yang wajar dititikberatkan sebelum melangkah ke hadapan buat jangka panjang.
Tegasnya, perpaduan tulen sebagai matlamat negara wajib didahului agenda dan matlamat pendidikan yang kental, baharulah politik mampu menjelmakannya dengan pasti. Kini, tiada masa yang lebih sesuai untuk merujuk balik kepada FPK seperti diakui Menteri Pendidikan ketika itu. Apatah lagi kini bertindak selaku Perdana Menteri ke-10. Sekali gus menghargai hikmah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dalam mengusulkan penyelesaian secara terhormat untuk rakyat. Asalkan sahaja agenda pendidikan diperkasa mengatasi politik! – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










