Perlu garis panduan jelas, lindungi orang ramai - Utusan Malaysia

Perlu garis panduan jelas, lindungi orang ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Malang tidak berbau, kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highland ketika orang awam meluangkan masa sempena cuti sekolah sehingga memusnahkan tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor, menyaksikan puluhan nyawa terkorban – amat menyayat hati.
Benarkah alam sudah bersuara setelah satu demi satu pembangunan dilakukan manusia sejak berdekad lamanya? Ia dipercayai akibat kegagalan struktur kaki cerun menyebabkan runtuhan dengan keluasan keseluruhan 225,000 meter padu dengan anggaran 500,000 tan, ketinggian 30 meter (m) manakala jarak sejauh 150m dan lebar 100m.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN membawa pandangan daripada Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), PROF. EMERITUS DATUK DR. IBRAHIM KOMOO bagi mengulas insiden tanah runtuh kelmarin.

Mingguan: Apa pe­mer­hatian Prof. selepas melihat tragedi tanah runtuh dekat jalan Batang Kali – Genting Highland kelmarin?
IBRAHIM: Tanah runtuh boleh berlaku pada cerun semula jadi atau tidak pernah diusik manusia dan juga cerun buatan dengan cara memotong atau menambak cerun untuk membuat jalan di kawasan bukit atau gunung. Apabila memotong cerun yang semula jadi, ia menjadi lebih curam.
Berhubung tragedi kelmarin, saya sudah berkomunikasi dengan pasukan pengkaji daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), dan daripada maklumat saya peroleh, kejadian ini kerana kegagalan cerun akibat tambakan pada bahagian jalan raya.

Kejadian ini seriuskah?
Ini hanyalah kejadian biasa berlaku pada cerun-cerun tambakan atau jalan. Sejak 10 tahun terakhir ini, beribu jenis kejadian sama berlaku. Cuma, bencana kali ini amat malang kerana ‘kebetulan’ terdapat kawasan perkhemahan sekitar 100m di bawah tanah runtuh (30m di bawah paras jalan).

Anggaran saiz kegagalan cerun?
Kegagalan cerun yang berlaku adalah bersaiz besar. Jika lihat anatomi tanah, daripada bahu jalan di mana tanah runtuh itu berlaku dengan isi padu yang saya sebut selain mengandungi jumlah air yang sangat tinggi, menyebabkan struktur tanah menjadi tepu.
Ini menyebabkan runtuhan tanah bergerak kerana air di dalamnya telah mengubah sifat tanah menjadi lemah atau separa cecair . Ia kemudian bergerak pada cerun yang agak landai pada satu jarak jauh sehingga menimbuskan kawasan perkhemahan yang berada di bawah.
Semasa tanah bergerak dan terdampar di kawasan perkhemahan, air dalam tanah mengalir dan berkurangan. Sebab itu, ia terdampar.
Secara umumnya, saiz jatuhan tanah terdiri daripada kecil (bawah 1,000 meter padu tanah); sederhana (antara 1,000 sehingga 10,000 meter padu tanah) dan saiz besar (lebih daripada 10,000 meter padu tanah). Dalam kes ini, tanah yang tergelincir adalah bersaiz besar dengan impak yang besar.

Jika kandungan air dalam tanah kurang, adakah kejadian sama boleh berlaku?
Benar. Tanah runtuh berlaku sebab tekanan air yang banyak menyebabkan kestabilan cerun menjadi rendah. Kalau isi padu air di dalam tanah kurang, ia mungkin hanya jatuh di bawah sahaja dan tidak bergerak jauh. Maknanya, jarak longgokan tanah mungkin hanya 50 sehingga 60 meter daripada tepi jalan yang runtuh.

Benarkah terdapat aliran air di bawah tanah?
Begini, memang semua tempat mempunyai aliran air di bawah tanah. Cuma, dalam kes ini, hujan telah pun melanda sejak satu minggu lalu dan memasuki struktur tanah.
Oleh kerana tanahnya berpasir dan berlodak yang boleh mengumpul air hujan dengan jumlah banyak, menyebabkan sifat tanah berubah dan menjadi lemah. Ini yang menyebabkan tanah bergerak dalam beberapa minit dalam bentuk ‘aliran’ dan kemudian terdampar pada satu titik.
Selain itu, setiap kejadian tanah runtuh mempunyai permukaan bawah tanah menyebabkan bahagian atasnya bergerak. Apabila kestabilan tanah itu terganggu kerana kandungan air yang tinggi, maka, tanah bergerak bermula daripada permukaan bawah tanah. Hanya dengan pergerakan yang kecil sahaja pun akan menyebabkan runtuhan.

Cengkaman akar pada pokok-pokok di kawasan sekitar tidak mampu menghalang tanah runtuh?
Akar pokok yang mungkin hanya berukuran antara satu hingga dua meter sahaja, jadi, ia tidak mampu mencengkam struktur tanah sepenuhnya. Biasanya, ia hanya boleh mengawal hakisan tanah atau kes berskala kecil sahaja.
Sedangkan, kedalaman lingkaran di bawah tanah mungkin berukuran 10 meter yang menyebabkan jatuhan. Jadi, jika kegagalan cerun melebihi daripada dua meter, pokok-pokok yang ada pun tidak dapat menghalang daripada runtuhan tanah berlaku.

Adakah kejadian kelmarin juga disebabkan kegagalan kontraktor tidak mengikut spesifikasi ditetapkan semasa membuat cerun dan jalan raya?
Kena ingat bahawa jalan ini telah lama dibuat sejak puluhan tahun. Jadi, reka bentuk kejuruteraan dan pembinaan jalan-jalan lama tidak seperti yang ada sekarang.
Mungkin tumpuan diberi ketika itu hanya untuk membina jalan dan menghubungkan antara satu tempat dengan tempat yang lain. Peraturannya tidak terlalu rigid. Oleh itu, apabila tambakan cerun dan jalan raya sudah lama, ia akan mengalami proses kelemahan (deteroriation) mengikut peredaran masa.
Namun, disebabkan sekarang banyak kes yang berlaku, maka, garis panduan untuk membina jalan lebih ketat dari segi reka bentuk, pemampatan tanah dan sebagainya.

Apa cadangan Prof. bagi mengelakkan kejadian sama berlaku?
Isu kegagalan cerun tambakan khususnya pada jalan-jalan lama tidak dapat dielakkan, melainkan pemantauan dilakukan dengan mengenal pasti tanda-tanda awal kegagalan cerun yang boleh membawa kepada bahaya.
Untuk membina cerun baharu, kita boleh belajar daripada apa yang berlaku. Maknanya, kerja-kerja penambakan itu perlu dilakukan dengan lebih serius, teliti dan mengikut spesifikasi kejuruteraan yang dibenarkan.
Persoalannya, apa perlu kita lakukan pada industri pelancongan, rekreasi dan perkhemahan selepas ini? Hal ini memerlukan garis-garis panduan dalam menentukan tempat perkhemahan yang sesuai untuk orang awam, kerana keselamatan mereka paling mustahak berbanding keindahan alam semula jadi.
Garis panduan penyediaan atau kelulusan menjalankan sesuatu perniagaan outdoor oleh pemain industri boleh dikemaskan lagi.
Contohnya, pemain industri tidak lagi digalakkan membuat tapak perkhemahan di kawasan berhampiran cerun buatan khususnya di sepanjang jalan atau lebuh raya. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya