MEMASUKI jendela tahun baharu, sudah tentu antara harapan dan impian sebahagian besar daripada kita yang belum memiliki rumah ialah membeli sebuah rumah sendiri mengikut kemampuan untuk seisi keluarga. Namun dalam senario ekonomi semasa, rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) semakin bergelut apabila rumah yang dibina bukan lagi berstatus mampu milik, sebaliknya sekadar mampu lihat sahaja. Inilah nasib malang dan tragedi yang sedang menimpa majoriti rakyat negara ini.
Ironinya, isu pembinaan rumah mampu milik serta rumah siap dibina dan tidak terjual sentiasa menjadi polemik dan tidak pernah ada jalan penyelesaian konkrit. Misalnya, sebelum ini data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) mendedahkan 35,592 rumah siap dibina dan tidak terjual membabitkan nilai RM22.45 bilion. Hasil tinjauan mendapati daripada jumlah ini, 20,680 (58.1 peratus) rumah siap dibina dan tidak terjual terdiri daripada kategori kondominium atau pangsapuri. Daripada jumlah itu, didapati rumah tidak terjual adalah pada julat harga RM200,000 hingga RM500,000 iaitu sebanyak 9,977 unit (48.2 peratus) yang kebanyakannya di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.
Hakikatnya, isu pemilikan rumah terus menjadi mimpi ngeri dalam kalangan rakyat dan bagi golongan rentan, impian tersebut semakin kabur, umpama jauh panggang dari api. Hal ini kerana majoriti rumah yang ada dan sedang dibina bukan lagi rumah mampu milik sebaliknya hanya mampu lihat.
Pelbagai kajian dilaksanakan selama ini tentang perkara ini, namun masalahnya masih belum menemui titik noktah. Ironinya, hampir semua kajian dibuat membuktikan rakyat semakin sukar dan bergelut untuk membeli sebuah rumah. Misalnya, penjawat awam dari kategori kelompok pelaksana adalah golongan yang sangat sukar membeli rumah sendiri mengikut kemampuan mereka.
Memandangkan rumah adalah keperluan asas, kita memohon kerajaan sebagai pihak berkuasa dan penggubal dasar masuk campur untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri. Kita akui kerajaan juga sedang berusaha untuk membina sebanyak mungkin rumah mampu milik termasuk memperkenalkan pelbagai pakej pinjaman dan pemilikan rumah. Namun, hakikatnya masalah ini kelihatan cukup kompleks dan masih terus berlaku di mana rakyat terus merungut dan semakin tertekan.
Perkara pokok di sini ialah harga rumah terlalu mahal. Para pemaju jelas kelihatan lebih suka dan mengutamakan projek rumah mewah yang mendatangkan keuntungan berlipat ganda berbanding rumah mampu milik pada harga rendah dan sederhana. Nampaknya ketamakan dan kedegilan para pemaju terus menzalimi rakyat yang kurang berkemampuan.
MISKIN BANDAR
Oleh kerana ia membabitkan kepentingan rakyat serta melibatkan banyak pihak terutama para pemaju yang tamak dan degil, kita sangat memerlukan campur tangan kerajaan supaya dapat menangani masalah ini.
Kerajaan di samping membina lebih banyak lagi rumah mampu milik melalui pelbagai agensinya, perlu juga memberi perhatian serius kepada usaha dan strategi bagi mendesak para pemaju untuk turut membina rumah mampu milik sebanyak mungkin serta mengawal harga rumah yang ditetapkan oleh pemaju.
Tuntasnya, kita tidak mahu pemaju hanya fokus kepada projek pembinaan rumah mewah dengan harga yang cukup tinggi sehingga menyebabkan golongan kurang berkemampuan terus terpinggir dan tertutup rapat peluang untuk memiliki rumah tersebut.
Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah tindakan pemaju perumahan umpama melepaskan batuk di tangga, iaitu membina rumah kononnya dengan harga mampu milik tetapi di lokasi sangat jauh dari bandar serta tiada kemudahan dan infrastruktur asas lain seperti akses lebuh raya, sekolah dan lebih penting, tiada peluang pekerjaan di situ. Sudah tentu perumahan seperti ini tidak akan mendapat sambutan walaupun dijual pada harga mampu milik.
Di samping itu, kita juga memohon kerajaan mewujudkan skim pinjaman khas untuk golongan B40 dan M40 sebagai tambahan kepada skim pinjaman perumahan penjawat awam sedia ada. Harus diingat, golongan B40 dan M40 bukan terdiri dalam kalangan penjawat awam semata-mata sebaliknya merangkumi pelbagai lapisan masyarakat terutama yang hidup di bandar dan lebih sinonim dikenali sebagai miskin bandar. Dalam keadaan kadar gaji baik dalam perkhidmatan awam mahupun swasta yang secara relatifnya masih rendah dan ditambah pula dengan peningkatan harga barangan dan kos sara hidup yang cukup mendadak, mana mungkin golongan ini mampu layak untuk memperoleh pinjaman perumahan dari institusi kewangan.
Pendapatan isi rumah umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dengan perbelanjaan sara hidup cukup tinggi terutama untuk menanggung anak-anak dan hutang sedia ada menyebabkan golongan ini sukar mendapatkan pinjaman kerana dikhuatiri tidak mampu membayar balik. Jadi, di sinilah kita memerlukan skim pinjaman khas tersebut yang lebih fleksibel dan bersandarkan kepada konsep ihsan serta kebajikan dan bukannya keuntungan dengan hasrat untuk membantu rakyat memiliki rumah.
Pada masa sama, kerajaan juga wajar mempertimbangkan beberapa cadangan daripada pakar untuk merungkai masalah pemilikan rumah ini. Antara cadangan yang dilihat mampu membantu ialah kerajaan diminta bertindak sebagai orang tengah dengan memperkenalkan inisiatif pembelian rumah secara pukal yang boleh mengurangkan harga rumah serta memperkenalkan peraturan cukai baharu ke atas rumah tidak didiami dalam tempoh dua tahun yang boleh membantu mengurangkan permainan harga rumah dalam kalangan pihak ketiga.
Semoga kerajaan tampil dengan lebih banyak lagi tindakan proaktif serta memperkenalkan pelbagai inisiatif dan strategi yang efisien untuk tempoh jangka pendek dan jangka panjang bagi membantu lebih ramai lagi golongan B40 dan M40 memiliki rumah. Tiada gunanya kita berbangga dan megah dengan status negara maju mahupun Harimau Asia andai sebilangan besar rakyat marhaen masih hidup merempat. – UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.











