TAHUN 2022 akan melabuhkan tirainya dan esok kita bakal menyambut tahun baharu 2023. Segala suka duka yang ditempuhi akan terukir dalam lipatan sejarah hidup kita. Yang manis menjadi kenangan indah, yang pahit pula dijadikan pembakar semangat agar berusaha dengan lebih gigih lagi.
Sebagai umat Islam, saya percaya sepahit manapun pengalaman ditempuhi, sudah tentu ada hikmah di sebaliknya dan akan menjadikan kita insan yang lebih matang dan dewasa.
Setiap tahun sebelum melangkah ke tahun baharu, saya suka mengimbau peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang tahun itu, juga tahun-tahun sebelumnya. Peristiwa paling pahit berlaku pada 2018, apabila ayah saya kembali ke rahmatullah secara tiba-tiba. Ketika itu saya berumur 15 tahun dan sudah faham erti kematian.
Kehilangan tempat bergantung menjadikan hidup saya dan keluarga berubah 180 darjah dalam sekelip mata. Menjadi anak yatim pada usia muda, peritnya tidak terkata, namun peristiwa-peristiwa pahit yang berlaku selepas kematian ayah mengajar saya mengenali apa itu kehidupan sebenar.
2022 membawa sinar baharu kerana kita akhirnya melangkah kembali kepada kehidupan normal setelah dunia dilanda pandemik Covid-19. Corak kehidupan manusia di seluruh dunia berubah secara tiba-tiba dan kita dihimpit ketakutan pada setiap waktu. Walaupun masih perlu berhati-hati, namun kita tidak lagi terpaksa berkurung seperti ketika pandemik sedang mengganas sedikit masa dahulu. Semoga keadaan menjadi bertambah baik dan kita dapat membina semula kehidupan seperti sebelumnya.
Dengan bermulanya pembelajaran secara fizikal, para pelajar mula kembali ke sekolah dan pusat pengajian masing-masing, begitu juga saya. Pengalaman belajar di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gambang, Kuantan, Pahang mengajar saya banyak perkara baharu. Apatah lagi, ini merupakan pengalaman pertama saya tinggal di asrama.
Walaupun saya melalui sedikit kejutan budaya pada mulanya, tetapi ia bukanlah satu masalah besar. Saya bersyukur kerana tidak menghadapi kesukaran untuk mengadaptasikan diri ke dalam persekitaran yang belum pernah dialami sebelumnya. Suasana pembelajaran yang menyeronokkan membuatkan saya berasa amat selesa.
Meskipun begitu, satu perkara yang tidak saya jangkakan adalah bagaimana sukarnya mencari bantuan kewangan untuk menampung pembelajaran peringkat pengajian asasi universiti, khususnya sara hidup di asrama. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Pengalaman naik turun pejabat di sekitar universiti serta pejabat-pejabat kerajaan bagi menyelesaikan urusan permohonan menjadi sebahagian daripada kenangan yang mewarnai kehidupan saya di Gambang.
Pelbagai kesusahan ditempuhi setelah pemergian ayah, menjadikan saya semakin tabah dan berdikari. Walaupun ada kalanya hampir berputus asa, namun keazaman untuk meringankan beban keluarga menjadi motivasi yang mendorong saya agar terus berusaha.
Di sebalik apa yang terpaksa dilakukan, secara tidak langsung saya mempelajari seni berunding dan cara bertegas dalam menuntut hak.
Sungguhpun telah berusaha bersungguh-sungguh, ada kalanya nasib tidak menyebelahi kita. Saya dan beberapa rakan gagal mendapatkan PerantiSiswa sedangkan kami layak dan memenuhi semua syarat ditetapkan.
Kami telah dipanggil ke pusat pengedaran di Kuantan tetapi apabila tiba, lain pula jadinya kerana nama kami tiada dalam senarai penerima peranti. Memang amat mengecewakan kerana masa selama lima jam terbuang begitu sahaja, sedangkan kami akan menduduki peperiksaan akhir semester pada tengah hari itu. Kami pula amat memerlukan peranti tersebut untuk memudahkan proses pembelajaran.
Melihat kekecewaaan di wajah kami, Encik Zul Hanif yang memandu kenderaan universiti memberi kata-kata semangat dan memainkan lagu-lagu patriotik semasa perjalanan pulang ke kampus. Bayangkan kesedihan kami, apatah lagi apabila melihat kawan-kawan lain seronok menerima peranti yang dijanjikan.
Encik Zul tidak mahu kami menghadapi peperiksaan dengan perasaan sedih dan kecewa. Budi baik beliau membantu saya membuang perasaan kecewa. Saya bersyukur kerana ada insan-insan yang begitu mengambil berat tentang kami.
Biarpun terasa perit ketika menghadapi dugaan, jangan sekali-kali kita lupa mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan selama ini. Alhamdulillah, selain berjaya menyambung pelajaran, saya juga dikelilingi para pensyarah dan rakan-rakan yang baik hati serta prihatin.
Kejayaan memenangi anugerah pembentang terbaik serta pingat emas dalam Conference on Future & Sustainable Education 2022 amat besar maknanya bagi saya. Saya juga berjaya memenangi anugerah delegasi terbaik dalam Mock Parliament, Pusat Asasi UIAM; finalis dan tempat kedua bagi pertandingan debat Rector’s Cup UIAM serta banyak lagi.
Kadang kala kita terlalu bersikap pesimis dan hanya melihat perkara negatif yang melanda hidup sehingga lupa melihat aspek positif. Sering kali juga kita terlepas pandang dan tidak menghargai rezeki yang Allah kurniakan di sebalik dugaan ditempuhi. Walhal masih ramai tidak berpeluang menikmati apa yang kita sendiri tidak hargai. Malah, bukan segala perkara yang kita sifatkan tidak baik itu adalah buruk sepenuhnya dan apa yang kita idamkan itu adalah terbaik untuk kita.
Saya sering menasihati diri sendiri untuk belajar mencari dan menghargai kebaikan di sebalik segala kesukaran yang dihadapi dan tidak mudah berputus asa ketika menghadapi rintangan. Hidup ini pasti ada pasang dan surutnya. Semoga ini akan sentiasa menjadi satu peringatan buat diri saya.
Selamat menyambut tahun baharu 2023. Mudah-mudahan tahun ini akan membawa kejayaan dan kebahagiaan kepada kita semua. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










