Lombong bijih dan warga pertiwi - Utusan Malaysia

Lombong bijih dan warga pertiwi

BUKU Mining in Malaya menyatakan buruh Cina sanggup upah dipotong sekiranya tauke mereka yang mengusahakan lombong bijih timah mengalami kerugian. – IHSAN PENULIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA membaca buku teks sekolah tentang sejarah perlombongan bijih timah di Tanah Melayu, kita mungkin belajar tentang Long Jaafar dan Perang Larut (1861-1873) di Perak. Sebenarnya, ada banyak lagi maklumat menarik yang mungkin tidak termuat dalam buku teks.

Tidak hairanlah Laporan Cadangan Penambahbaikan Buku Teks Sejarah Tingkatan 1-5 (2022) berpendapat, sumbangan kaum Cina yang bertungkus lumus membuka lombong bijih timah harus turut didokumentasi.

Bagi memenuhi lompang ini, saya membaca buku Mining in Malaya (1940) yang memperincikan perlombongan bijih timah di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Johor dan Melaka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada masa sama, buku ini turut menyentuh bahan galian lain seperti emas, arang batu, besi, mangan, plumbum, aluminium dan tungsten yang menyumbang kepada ekonomi Tanah Melayu (Malaya) pada masa lalu, khususnya semasa negara ini dijajah oleh penjajah British.

Tentu sahaja segala usaha perlombongan ini bermula jauh sebelum kedatangan penjajah Portugis, Belanda dan British. Malah, orang Cina sudah menjadi pelombong di sini sebelum British mengambil alih kebanyakan lombong bijih timah untuk diusahakan secara komersial dan besar-besaran.

Ekskavasi di Sungai Batu, Kedah oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM) membuktikan wujud tapak industri peleburan besi dan orang Melayu-Hindu di Lembah Bujang terlibat dalam industri pertukangan besi seawal abad kelima Sebelum Masihi.

Pada awal abad ke-20, perlombongan besi diusahakan secara kecil-kecilan oleh orang Melayu untuk kegunaan tempatan. Menjelang 1920, lombong besi di Johor, Terengganu dan Kelantan dimiliki syarikat Jepun dan logam berkenaan dieksport ke negara mereka bagi mengembangkan industri besi dan keluli.

Bauksit dari Johor turut dieksport ke Jepun. Maka, Jepun sebagai sebuah negara industri yang tiada sumber asli, amat bergantung kepada bahan mentah dari Asia Tenggara. Tentera Jepun menjajah Korea (1910), Manchuria (1932), China (1937) dan Indochina (1941). Akibatnya Amerika Syarikat, Britain dan Belanda mengenakan sekatan ekonomi terhadap Jepun.

Oleh kerana tidak mahu bergantung kepada Barat, Jepun menggunakan slogan Asia untuk Asia bagi menjajah beberapa wilayah di Asia Tenggara secara penuh licik. Tujuan utama adalah mendapatkan bahan mentah bagi industri dan kemudian rantau Asia Tenggara turut dijadikan pasaran bagi barangan yang dihasilkan.

Berbalik kepada perlombongan bijih timah, kaedah perlombongan yang digunakan pada 1930-an termasuk mendulang, lombong dedah/terbuka, pam kelikir, kapal korek dan palung. Pada 1921, ada 30 kapal korek milik British dan jumlah itu meningkat kepada 105 (1929) serta 126 (1938).

Teknik pam kelikir dan lombong terbuka pula popular dalam kalangan pelombong Cina. Sementara itu, wanita Melayu dan Cina membuat kerja sambilan mendulang bijih timah.

GAJAH

Syarikat Ishihara Sangyo Koshi terlibat dalam perlombongan besi di Batu Pahat, Johor sejak 1921 dan di Kemaman, Terengganu sejak 1928. Nippon Mining Company pula beroperasi di Dungun, Terengganu sejak 1930.

Agak menarik untuk diperhatikan, majoriti pekerja lombong besi terdiri daripada buruh India. Banyak juga lokasi yang menggabungkan perlombongan besi dan bijih timah. Jumlah buruh Melayu, Cina dan India juga agak seimbang.

Bagi memudahkan pengangkutan hasil perlombongan dan pertanian (khususnya getah) ke pelabuhan, jaringan jalan raya dan kereta api dibangunkan. Bagi kawasan yang sukar dilalui, khidmat gajah dan lembu digunakan untuk mengangkut barang. Ramai juga lelaki dan wanita Cina menjadi tukang angkut barang.

Buruh Cina mendominasi perlombongan bijih timah. Dalam buku Mining in Malaya dinyatakan mereka sangat rajin, patuh dan sanggup bekerja keras bagi memastikan kerja yang diberi dapat diselesaikan dengan baik.

Jika tauke Cina yang mengusahakan lombong bijih timah mengalami kerugian, para pekerja sanggup upah mereka dipotong sehingga 80 peratus. Orang Cina berasal dari China terdiri daripada beberapa kelompok seperti Kantonis, Hakka, Hokkien, Teochew dan Hailam.

Orang Hailam biasanya menjadi pembantu rumah tetapi turut bekerja sebagai pelombong dan penoreh getah jika timbul keperluan. Orang Hokkien selalu menjadi pekedai runcit manakala perlombongan dimonopoli oleh orang Hakka.

Pada 1938, terdapat 45,704 orang Cina menjadi pekerja lombong bijih timah. Mereka tinggal di rumah kongsi yang amat sederhana dengan atap nipah. Buruh lombong biasanya lelaki sementara isteri mereka masih di negara asal (China).

Ada juga orang Melayu bekerja di lombong bijih timah tetapi mereka tinggal di rumah sendiri bersama keluarga. Sebelum Enakmen Rizab Melayu (ERM) dikuatkuasakan penjajah British pada 1913, ramai orang Melayu memajak tanah pusaka mereka kepada tauke Cina yang mengusahakan perlombongan.

Kepakaran anak muda Melayu masih diperlukan dalam kerja elektrikal, pemandu enjin dan menjaga paip hidraulik. Pada 1932, ada 1,745 pekerja Melayu di lombong dan angka itu meningkat kepada 3,943 orang pada 1938. Wanita Melayu pula gemar menjadi tukang dulang bijih timah.

Walaupun majoriti kaum India, khususnya orang Tamil dan Telugu menjadi penoreh getah, ada juga yang bekerja di lombong bijih timah. Pada 1932, terdapat 3,775 buruh India dan meningkat kepada 11,803 orang (1937).

Bagaimanapun jumlah itu menurun kepada 7,425 orang (1938). Buku setebal 108 halaman ini turut memperincikan undang- undang pemerolehan tanah bagi tujuan perlombongan di bawah Enakmen Melombong (1928).

Industri perlombongan dikawal selia Jabatan Perlombongan secara profesional memandangkan Malaya menjadi pengeluar utama bijih timah dunia.

Bagaimanapun, harga pasaran dunia yang naik sehingga 1927, mula menurun mulai 1930. Maka, negara pengeluar bijih timah seperti Malaya, Bolivia, Nigeria dan Thailand diminta mengurangkan perlombongan bagi mengatasi masalah lambakan stok dunia.

Segala maklumat bersifat inklusif ini wajar diketahui generasi muda yang berminat mempelajari sejarah negara kita. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×