GELAGAT Yang Dipertua atau Speaker Dewan Rakyat sentiasa menggamit perhatian ramai tiap kali mengendalikan persidangan. Untuk tarikh penting 19 Disember ini, akan ada belaka cabaran Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan dugaan dihadapinya.
Kalau ditolak usul undi percaya yang dibangkitkan ahli dewan, pasti ada pihak menuding jari mengatakan Speaker ‘tak berwibawa’. Sebaliknya jika dibenarkan, manfaatnya dikatakan lebih luas dan akan dihormati sebagai penentu keadilan di Parlimen.
Isu kolum kali ini membawakan pakar Perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang mengulas peranan dan cabaran dihadapi Speaker Dewan Rakyat khususnya 19 Disember ini.

SPEAKER PALING BERKUASA
Jawatan kedua-dua Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara diperuntukkan di bawah Perlembagaan – dalam prosedur atau aturcara permesyuaratan parlimen iaitu Peraturan Mesyuarat.
Sesiapa yang dipilih di bawah Peraturan Mesyuarat 4 Dewan Rakyat, maka dia paling berkuasa semasa sidang berjalan.
Iaitu mempunyai kuasa luas tentang hak bercakap, penempatan duduk wakil rakyat, isu hendak dibangkit dan di atas semua jawatankuasa khas yang dibentuk di bawah Parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Justeru perkara pertama perlu dibawa pada 19 Disember ini adalah harus dipilih Speaker. Speaker hidup tali hayatnya hanya semasa berlangsung kuasa sesuatu Parlimen.
KUASA SPEAKER
Apabila bermula sahaja sesi Dewan Rakyat, maka pegawai paling berkuasa ialah Setiausaha Dewan Rakyat yang dilantik di bawah Perkara 65.
Beliaulah yang mula-mula nanti mengumumkan bahawa “sekarang hendaklah dijalankan pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan 4”. Selepas itu pihak kerajaan boleh kemuka calon manakala pihak lain juga boleh kemukakan calon pilihan mereka.
SPEAKER CENDERUNG KERAJAAN?
Kalau ikut amalan demokrasi sejagat, seseorang Speaker tampak bukan aktif kepartaian. Menjadi ahli sahaja tak mengapa. Misalnya sebagai setiausaha agung satu parti, itu tidak dibenarkan dari segi konvensyen.
Soal sama ada Speaker cenderung memihak kerajaan, ia dalam pengertian boleh ditakrif seperti itu. Jadi, katakanlah Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim atau dua timbalan perdana menteri kemukakan calon dan dipilih, maka itu satu kaedah menunjukkan kepercayaan kepada Anwar sebagai PM dan parti pemerintahnya.
JIKA CALON SPEAKER KERAJAAN TEWAS?
Kalau kalah, itu satu pukulan teruk. Ia boleh ditakrif sebagai beliau tidak mendapat kepercayaan di Dewan Rakyat. Sekali gus itu boleh dibalikkan kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menyatakan bahawa Perkara 43(2)(a) telah tercabul.
Pelantikan Speaker adalah petunjuk awal kepada konfiden atau tidak konfiden kepada PM dan kerajaannya.
NEUTRALKAH SPEAKER?
Kerusi Speaker itu berkuasa besar. Itu sebabnya seseorang Speaker mesti neutral dan teruji kewibawaannya.
Cuma, biasanya ia tidak berlaku. Memang ada tanda-tanda kelakuan seperti itu. Satu lagi beliau tidak benarkan usul. Usul itu biasa diberi kepada menteri sahaja sedangkan kuasa Speaker itu ada untuk benarkan usul dibangkitkan.
Misalnya Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 14 dan di Dewan Negara pula Peraturan Mesyuarat 13, ada peraturan dihalang seseorang buat usul. Itu kuasanya sebab itu seseorang Speaker seharusnya bukan orang parti yang taksub pada politik untuk duduk di kerusi itu.
TUGAS PERTAMA SPEAKER
Setelah Speaker dipilih, katalah majoriti pada B. Jadi, setiausaha dewan umumkan B menang. B dipersilakan mengambil tempat sebagai Yang Dipertua. B ambil pentas, duduk kerusi dan mulakan sidang.
Yang penting Speaker boleh buat kenyataan atau ruling (perintah) dan tentukan perkara-perkara kewibawaan dalam Dewan Rakyat seperti kelakuan dan bahasa.
Di bawah undang-undang keistimewaan majlis parlimen 1952, Yang Dipertua Dewan Rakyat mempunyai kuasa legislatif paling tinggi yang boleh arahkan polis ambil tindakan sekiranya ahli dewan menghina atau gagal patuhi arahan Speaker atau menggantung serta hal yang ada kuatkuasa undang-undang tidak boleh dicabar di mahkamah.
SEKAT USUL UNDI PERCAYA?
Speaker tidak boleh menggunakan nama Agong sewenang-wenangnya atas alasan untuk sekat usul undi percaya. Tetapi memadai baginya menyatakan pada keputusannya “tidak perlu diadakan undi usul tak percaya sebab ungkapan itu tiada dalam Peraturan Mesyuarat”.
Sebaliknya pula beliau perlu beri alasan kerana akan dibangkitkan ahli bertanyakan kenapa Speaker tidak benarkan sebab ini penting dari segi Perkara 43.
TIDAK SALAH TOLAK USUL
Tapi bukan satu kesalahan dia menolak usul. Namun akan diberi pengadilan demokratik bahawa itu suatu langkah yang mudarat bagi demokrasi sebab yakin atau tak yakin, percaya atau tak percaya, menyokong atau tak menyokong memang ada di bawah Perkara 43 dalam pengertiannya. Tapi tidaklah sebut secara spesifik undi tak percaya.
SD ATAU USUL PERCAYA?
Dalan soal undi percaya atau tak percaya, dalam kes Stephen Kalong Ningkan 1966 diputuskan bahawa ujian yang terbaik adalah di lantai legislatif atau di lantai Parlimen.
Jadi, sekarang pihak diraja suka menggunakan akuan bersumpah (SD). Ini satu kaedah yang terbit semasa krisis politik di Perak pada 2009 yang saya melihat tidak adil sebab SD boleh ditarik dan dikemukakan bila-bila masa.
Sedangkan cara terbaik ialah memilih di lantai Parlimen. Ia akan memuktamadkan istilah “pada pendapat baginda yang mendapat majoriti di Dewan Rakyat”, bukannya secara SD.
Jadi, ini besar implikasinya dan implikasi ini tak sihat kepada demokrasi sebuah negara seperti Malaysia. Ia patut berbalik pada keputusan 1966 yang betul-betul benar.
Jadi di Dewan Rakyat atau Dewan Negeri, kalau usul tak percaya terus dibuat undi, itu muktamad. Kalau dibuat SD, sifat muktamadnya tidak ada. Dengan ini akan menghindarkan pihak istana terlibat dalam politik. – UTUSAN











