Saya menerima banyak pertanyaan daripada rakan-rakan tentang kecelaruan politik yang melanda tanah air selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Ada yang bertanya, kenapa parti yang memenangi undi terbanyak tidak boleh terus menubuhkan kerajaan? Ada pula yang berhujah tentang undi popular yang sebenarnya tidak terpakai dalam sistem pemilihan kita.
Pendek kata, dalam menghadapi keadaan yang mengelirukan, pelbagai andaian timbul tentang apa sebenarnya sedang berlaku.
Untuk kali pertama dalam sejarah negara, kita berhadapan situasi Parlimen tergantung di mana tiada gabungan parti berjaya mendapat sekurang-kurangnya 112 undi. Memang memeningkan apabila kita terpaksa menghadapi keadaan tidak menentu. Hal ini tambah bercelaru apabila tiba-tiba ada pihak mengumumkan mereka sudah mempunyai sokongan majoriti, tetapi sekejap lagi pihak lain pula mendakwa telah mendapat nombor mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Bagi yang baru mengenali dunia politik, situasi seperti ini tidak pernah mereka bayangkan. Ramai mempersoalkan mengapakah kali ini begitu sukar untuk melantik seorang Perdana Menteri sehingga begitu banyak karenah yang perlu ditempuhi?
Lantas ada pula yang membuat pelbagai andaian dan spekulasi. Sebenarnya, inilah kenyataan yang perlu kita hadapi dalam sebuah sistem demokrasi seperti di Malaysia. Pihak yang menang hanya akan dapat membentuk kerajaan sekiranya mereka berjaya mendapat majoriti mudah. Jika tidak, Parlimen akan tergantung. Rakyat yang mengangkat sistem demokrasi, maka rakyat mesti menerima segala aturannya dengan hati yang terbuka.
Konsep asas demokrasi ialah suara rakyat atau mungkin lebih tepat, suara yang lebih kuat. Pilihan majoriti akan menjadi pilihan yang diguna pakai buat semua rakyat walaupun pilihan mereka berbeza. Malah, sekiranya 50.01% rakyat membuat pilihan yang kurang tepat, maka kesemua 49.99% yang lain tidak boleh membantah kerana suara 50.01% itulah yang dikira sebagai suara seluruh rakyat. Inilah realiti sebenar sistem demokrasi sedangkan secara teorinya demokrasi menjanjikan suara rakyat didengari.
Jadi, mengapakah sebelum ini kita tidak pernah menghadapi situasi Parlimen tergantung? Dahulu politik negara lebih berkonsepkan dwiparti – sama ada blok kerajaan ataupun blok pembangkang, itu sahaja pilihan utama pengundi. Hasilnya, amat mudah bagi salah satu gabungan parti menang dengan majoriti mudah.
Namun, keadaan berbeza setelah pilihan kita semakin bertambah dengan wujudnya banyak parti baharu. Akibatnya, rakyat seolah-olah mabuk dengan pilihan dan undi pun berpecah kepada parti-parti berlainan.
Inilah situasi politik Malaysia pada hari ini. Empat gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) gagal mendapat majoriti mudah dalam PRU15. Maka, mereka perlu berpakat untuk membentuk gabungan baharu yang mempunyai kerusi mencukupi bagi membentuk sebuah kerajaan baharu.
Masalahnya, bukan mudah untuk mencari kata sepakat kerana masing-masing harus mempertahankan kedudukan parti mereka. Amat mudah bagi kita melafazkan slogan seia sekata, sehati sejiwa, namun sukar bagi seluruh rakyat untuk merealisasikannya.

Saya sering mendengar golongan yang mengagung-agungkan demokrasi seolah-olah ia suatu sistem yang tiada celanya. Ironinya, golongan inilah yang berang apabila demokrasi jugalah yang mengabaikan suara mereka. Kita mesti faham, hidup mesti ada kompromi. Jangan bersikap kebudak-budakan dan mendesak segala keinginan kita dituruti.
Benar, kita mempunyai hak bersuara. Tetapi kita juga harus faham bahawa kita hidup dalam satu masyarakat yang majmuk. Ada masanya, kita tidak mendapat semua yang kita inginkan atas sebab keperluan dan kepentingan kolektif.
Sebagai rakyat, kita mesti mendahulukan negara. Jangan kerana impian yang tidak tercapai, kita sanggup menggadaikan keamanan dan kesejahteraan negara bangsa. Kita semua telah membuat pilihan, namun bukan semua daripada kita akan berada dalam golongan majoriti, atau mungkin tidak wujud langsung sebarang majoriti seperti hari ini.
Oleh itu kita harus mengetepikan keinginan diri demi satu tujuan yang lebih besar. Jangan kerana terlalu mahukan sesuatu secara khusus, kita menolak semua pilihan lain semata-mata kerana kemahuan kita itu tidak dipenuhi dengan sempurna. Kita mesti terbuka untuk menerima sedikit kekurangan berbanding kemudaratan yang lebih besar.
Kita tidak boleh taasub dengan pilihan kita sahaja. Realitinya, apabila seluruh rakyat jumhur diminta membuat pilihan, bukan setiap daripada kita benar-benar menimbang segala faktor sebelum memangkah.
Ada yang terpukau dengan janji manis atau tertipu dengan propaganda tidak benar. Ada pilihan yang dilihat buruk pada pandangan kasar, namun sebenarnya ia membawa lebih banyak manfaat berbanding kemudaratan hasil pilihan yang lain. Namun, ia ditolak kerana pengundi lebih tertarik kepada kilauan kaca berbanding permata yang belum digilap.
Kita jarang mempertikaikan mengapa tiada pilihan dalam mengikuti hukum asas alam, maka berusahalah menerima hal ini sebegitu. Kita bukan tahu segala-galanya. Ramai daripada kita mengukur sesuatu atas dasar zahirnya sahaja. Ada masa kita harus bersabar dan membenarkan mereka yang lebih arif dalam kalangan kita untuk mengaturkan apa yang lebih baik untuk kita semua.
Dalam keadaan semasa, pemimpin politik harus berhenti berpolitik dan belajar berganding bahu demi kepentingan rakyat. PRU sudah berlaku, kita tidak boleh mengubah keputusannya melainkan jika kita mengundi semula. Justeru, tunaikanlah janji kepada pengundi. Rakyat sudah rimas melihat para pemimpin berebut kuasa serta bertelingkah sesama mereka. Cukup-cukuplah berpolitik, rakyat sudah cukup menderita akibat krisis politik yang tidak berkesudahan. Apa gunanya sekadar menang sorak, namun kampung tergadai? Semoga negara kita sentiasa dirahmati Allah.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










