Hukuman penyebar api perkauman - Utusan Malaysia

Hukuman penyebar api perkauman

Akta dana politik perlu dibentang segera di Parlimen bagi memastikan integriti parti-parti politik dapat dipertingkatkan. - UJTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setelah tamat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan semasa menunggu keputusan pembentukan kerajaan masih terdapat banyak pernyataan, perlakuan dan penerbitan di media sosial seperti di TikTok, Facebook dan Twitter yang menyentuh sensitiviti agama serta kaum yang cuba menimbulkan kebencian terhadap individu, kaum dan agama tertentu.
Ramai yang menyangka dan tidak sedar bahawa sekatan-sekatan sebagaimana yang terdapat dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 masih boleh digunakan walaupun calon yang bertanding dalam pilihan raya itu sudah menang.
Peruntukan undang-undang mengenai kesalahan dalam pilihan raya ini masih boleh digunakan walaupun selepas pilihan raya umum berakhir dan pada masa sama, ada beberapa lagi peruntukan undang-undang yang boleh mendakwa pihak yang gemar memainkan isu perkauman dan agama ini.
Di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 ada menyatakan peruntukan berikut: 4a. (1) Mana-mana orang yang sebelum, semasa atau selepas pilihan raya, dengan sendiri atau melalui orang lain bagi pihaknya, melakukan perbuatan atau membuat apa-apa pernyataan dengan tujuan mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara kaum atau daripada golongan yang sama atau berlainan untuk mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi, apabila disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Melalui peruntukan ini adalah jelas kesalahan mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan boleh dilakukan pada sebelum, semasa dan selepas sesuatu pilihan raya.
Bukan itu saja undang-undang yang ada, terdapat juga peruntukan di bawah Akta hasutan 1948 seperti berikut: Kesalahan 4. (1) iaitu mana-mana orang yang:
melakukan atau cuba melakukan atau berkomplot untuk melakukan perbuatan berkecenderungan menghasut atau jika dilakukan berkecenderungan menghasut;
menyebut apa-apa perkataan menghasut; dengan mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau mengeluarkan semula penerbitan menghasut; atau mengimport penerbitan menghasut dan apabila disabitkan tentang semua perbuatan ini bagi kesalahan kali pertama boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Perlu diingatkan selain Akta Pilihan Raya 1954, penghasut yang suka bermain dengan sentimen perkauman ini juga boleh didakwa di Seksyen 3 Akta Hasutan yang menyatakan tentang perbuatan yang cenderung menghasut iaitu termasuk:
bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Raja atau Kerajaan;
bagi membangkitkan rakyat terhdap mana-mana Raja atau penduduk mana-mana wilayah yang diperintah oleh mana-mana kerajaan supaya cuba mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara selain cara sah, apa-apa jua yang wujud menurut undang-undang di dalam wilayah Raja itu atau wilayah yang diperintah Kerajaan itu;
bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran di Malaysia atau di mana-mana negeri;
bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia dalam kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong atau rakyat, Raja mana-mana negeri atau dalam kalangan penduduk Malaysia.
bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; atau
bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.
Kedua-dua undang-undang di atas secara amnya boleh digunakan bagi mengekang perbuatan mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan pada sebelum, semasa dan lepas pilihan raya.
Undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia juga boleh digunakan bagi membanteras perbuatan menyebarkan kebencian serta menghasut rakyat ini. Antaranya;
Seseorang yang – (a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau atau perkhidmatan aplikasi secara sedar, membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan (ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelek sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; atau
Dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik atau memberikan apa-apa komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada mana-mana orang.
Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen ini boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan.
Tiada kebebasan bersuara tanpa had boleh dibenarkan oleh undang-undang kerana jika dibenarkan akan menjadikan Malaysia yang mempunyai pelbagai etnik dan bangsa serta agama ini huru-hara, lebih-lebih lagi ia digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat bagi kepentingan peribadi pihak tertentu.
Demi kemakmuran dan ketenteraman awam maka haruslah kita berhati-hati dalam menyuarakan pendapat dengan batas-batas ditentukan undang-undang. Tiada ruang bebas untuk meniupkan api perkauman dan menghina agama lain. Adalah lebih baik membina negara dengan kekuatan pelbagai kaum ini daripada memusnahkannya dengan sekelip mata.

Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal
undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya