PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah selesai, tetapi ia membuka lebih banyak pekung di dada dan kepura-puraan dalam memulihara semula negara. Nah! Pelbagai kejutan tiba menampakkan masih ada yang belum belajar secukupnya daripada azab pandemik selama dua tahun lalu. Mungkin masih ada yang kurang mengambil iktibar daripada pengalaman begitu pahit sehingga sanggup mengulanginya sama ada secara sedar atau tidak.
Ramai setuju jangkitan pandemik meletakkan beberapa asas sebagai kenyataan amat jelas. Utama agar manusia sejagat hidup rukun damai satu sama lain tidak kira rupa bangsa, keturunan, warna kulit, kepercayaan, agama, tempat, kedudukan, pangkat, jantina dan pelbagai lagi, yakni panggilan rahmatan lil ‘alamin yang merangkumi semua. Begitu juga virus yang tidak kita nampak dengan mata kasar tanpa memilih mangsa jangkitannya.
Semua sama sahaja sehinggakan rakyat di negara maju turut menderita serta mencatat kadar kematian lebih tinggi seantero. Begitu juga halnya dalam mendisiplin diri sebelum mengendalikan hal ehwal keluarga dan masyarakat, apatah lagi negara serta dunia. Dengan kata lain, banyak kepemimpinan meleset apabila berhadapan cabaran pandemik kerana tidak bersedia dan alpa. Anehnya, ramai dalam kalangan mereka berasa angkuh kerana kedudukan semasa berbantukan jutaan ringgit untuk memerangi Covid-19.
Namun, Covid-19 masih berlarutan akibat pelbagai bentuk pengubahan virus seperti Omicron, XBB dan lain-lain yang mendatang tanpa diduga. Dilamun pula rasa riak, bongkak serta bermegah untuk menagih populariti supaya kekal berkuasa selama mungkin. Berapa ramai pihak yang tidak berdosa dijadikan mangsa, tidak dihiraukan.
Pastinya diri dan kelompok mendahului segala-galanya walaupun negara sedang terancam. Ringkasnya, gagal menginsafi pahit maung dilalui hari-hari sepanjang pandemik merombak kehidupan segenap lapisan. Oleh itu, ketidakpastian terus memuncak.
Kesimpulan yang hampir sama malangnya dapat diperhatikan ekoran kemelut PRU15 selepas keputusan pengiraan undi dilakukan. Sekali gus mengimbau semula pengalaman gerun pandemik selama ini. Yakni ketidakpastian sebelum PRU15 terus merasuk malah lebih teruk lagi.
Contohnya, Parlimen tergantung tanpa sebarang majoriti untuk menubuhkan kerajaan stabil. Puncanya juga hampir sama, bersendikan kerakusan dan keangkuhan pemimpin yang kurang pertimbangan sehingga memperpanjangkan kemelut hidup rakyat jelata. Titik tolaknya bermula dengan tekanan dan paksaan mempercepatkan PRU15 mahu atau tidak.
Walaupun rata-rata merasakan ini satu tindakan bakal menyusahkan lagi mereka dari beberapa segi termasuk faktor cuaca serta iklim yang sudah diumumkan oleh para pakar, selain pengalaman lazim tengkujuh di penghujung tahun.
Ini ternyata berlaku di beberapa tempat khususnya luar bandar yang terus merumitkan kehidupan untuk berurusan seharian. Hatta, ramai pula tertanya-tanya, mengapa tergesa-gesa sangat untuk PRU15 diadakan memandangkan masih berbaki masa anggaran setahun lagi? Satu sebab, kononnya Barisan Nasional (BN) boleh menang besar atas beberapa percaturan termasuk gelagat ‘Bossku’ yang banyak menarik perhatian ramai sama ada betul atau tidak.
Ini dijelmakan seolah-olah satu keyakinan yang rakyat menyokong penuh. Turut kedengaran, keangkuhan nada suara menolak kerjasama dengan pihak lain yang dimusuhi kerana terlalu taksub akan membolos kedudukan lawan.
Tetapi sebaliknya, sekali lagi berlaku salah percaturan. Kali ini prestasi BN dilaporkan paling buruk dalam sejarahnya, tidak kira di peringkat Persekutuan mahupun negeri.
BERCANGGAH
Bukan sahaja ini bercanggah dengan andaian awal yang BN akan berjaya dengan mudah, tetapi terpaksa sekatil dengan musuh ketatnya, seraya ‘menjilat’ semula kata-kata angkuh dihamburkan sebelum ini. Suatu kemunafikan terang-terangan membawa padah yang sarat sekali.
Apatah lagi muncul satu lagi sebab yang mungkin untuk menyelamatkan diri daripada tindakan tertentu angkara perbuatan tidak berprinsip termasuk rasuah dan sebagainya. Bahawa anggota BN ada terpalit dengan kegiatan sedemikian sejak PRU14 memburukkan lagi sangkaan yang terus menular.
Bahkan ada yang terpenjara berkaitan isu rasuah. Kini dikatakan ada lagi perseorangan yang akan menelusuri langkah serupa ke penjara. Jika inilah hakikatnya, maka PRU15 merupakan satu-satunya jalan keluar kepada yang terdesak andainya dapat menguasai tampuk kerajaan. Ada udang di sebalik batu rupanya dalam terburu-buru mengadakan PRU15. Hanya kesudahannya kecundang di luar jangkaan kerana niat yang keji. Lantas ramai pula bersuara agar pemimpin terlibat segera berundur diri secara terhormat dalam menebus keremehan pimpinannya.
Langkah ini lumrah dewasa pandemik apabila pemimpin pincang memimpin dengan bijak. Ada diberhentikan atau diusir supaya keselamatan awal lebih terkawal dengan berkesan. Serentak ini satu lagi pengajaran pandemik wajar diteladani dengan tuntas. Sudah tiba ketikanya jangan berlegah lagi, usah pula berpura-pura.
Rakyat sudah celik mata hati, mereka tidak berganjak lagi. Bak kata rakan seperjuangan, “Lebih baik tidak berkuasa daripada menggadai prinsip. Atau maruah!” – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










