Amat tidak kena ungkapan Yang di-Pertuan Agong mesti menghormati kehendak majoriti pengundi - Utusan Malaysia

Amat tidak kena ungkapan Yang di-Pertuan Agong mesti menghormati kehendak majoriti pengundi

Yang di-Pertuan Agong Agong mempunyai kuasa memilih Perdana Menteri walaupun tiada gabungan politik dominan atau mendapat majoriti mudah selepas keputusan PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEHARI dua ini ramai penganalisis politik yang membuat jangkaan bahawa tiada mana-mana parti yang akan mampu memenangi majoriti mudah 112 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ramalan paling popular di media sosial ialah kononnya Pakatan Harapan (PH) akan menjadi pemenang kerusi terbanyak, tetapi tidak melebihi 100 kerusi, manakala tempat kedua dan ketiga terbanyak masing-masingnya dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dan PH.

Termasuk mereka yang memberi pandangan mengenai apa yang berlaku jika wujudnya Parlimen tergantung (hung Parliament) ini ialah bekas Peguam Negara sewaktu PH memerintah, Tan Sri Tommy Thomas.

Dalam artikel beliau pada 15 November lalu, Tommy menyebut bahawa pemimpin gabungan parti-parti politik yang memenangi kerusi terbanyak dalam PRU15 mesti dilantik sebagai Perdana Menteri walaupun gabungannya tidak mendapat 112 kerusi.

Tommy juga mendakwa bahawa tiada sebab undang-undang atau politik mengapa apa yang dikatakan sebagai konvensyen atau amalan tradisi di negara-negara seperti United Kingdom, Kanada dan India ini tidak boleh dilaksanakan di Malaysia.

Katanya lagi, melantik mana-mana pemimpin dari gabungan lain selain daripada pemenang kerusi terbanyak dalam PRU 15 akan menjadi tindakan antidemokratik dan bercanggah dengan kehendak jutaan pengundi yang baru saja mengundi.

Tidak cukup dengan itu, Tommy juga mengingatkan Yang di-Pertuan Agong supaya tidak sama sekali terlibat, baik secara langsung atau secara tidak langsung, dalam proses tawar-menawar dan negosiasi yang berlaku selepas keputusan PRU15 diketahui.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong mesti menghormati kehendak majoriti pengundi, tidak boleh membawa pilihan peribadi Baginda di dalam pembuatan keputusan, dan perkara ini perlu diserahkan sepenuhnya kepada ahli-ahli politik untuk menguruskannya.

Seperti terkandung di dalam bukunya yang kontroversi, sekali lagi Tommy dilihat bersikap sedemikian dengan Yang di-Pertuan Agong dengan memberikan gambaran seolah-olah Baginda tidak tahu peranan Baginda selaku Raja Berperlembagaan.

Sedangkan hakikatnya bila kemelut politik berlaku, termasuk bila Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri di pertengahan penggal Parlimen, Yang di-Pertuan Agong bertindak bijaksana sebagai penyelesainya.

Apa yang disebut sebagai konvensyen atau amalan tradisi di negara-negara lain juga tidak dinyatakan dengan betul oleh Tommy kerana faktanya apa yang ada di dalam sistem Wesminster United Kingdom yang kita ikuti adalah berbeza daripada apa yang disebut.

Di United Kingdom, jika tiada gabungan yang menang majoriti, Perdana Menteri interim akan kekal menjadi Perdana Menteri sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk dan jika parti beliau mampu membentuk kerajaan beliaulah yang akan diberi peluang pertama berbuat demikian.

MAJORITI

Pemimpin gabungan-gabungan lain, walaupun mereka memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum, tidak akan diberi peluang untuk membentuk kerajaan sehinggalah Perdana Menteri interim gagal berbuat demikian setelah mencubanya dan meletakkan jawatan.

Salah faham yang besar jika dikatakan bahawa gabungan yang memenangi kerusi terbanyak akan secara automatik menjadi Perdana Menteri kerana parti yang memenangi kerusi kedua terbanyak boleh membentuk kerajaan jika ia mampu berpakat dengan gabungan lain.   

Kata kuncinya di sini ialah Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.

Sesebuah gabungan secara bersendirian mungkin sahaja mampu memenangi kerusi terbanyak, katakan 90 kerusi, berbanding dua gabungan lain yang masing-masingnya katakan memenangi 70 dan 40 kerusi, tetapi 90 kerusi itu bukanlah membentuk kepercayaan majoriti.

Jika 70 dan 40 kerusi itu berpakat, dan disertai pula oleh gabungan lain, dan ini mampu ditunjukkan oleh mereka kepada Yang di-Pertuan Agong maka sudah pastilah pemimpin yang dicalonkan oleh pakatan baharu ini akan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Sebab itulah amat tidak kena bila dikatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong mesti menghormati kehendak majoriti pengundi, tidak boleh membawa pilihan peribadi Baginda di dalam pembuatan keputusan dan mesti melantik pemenang kerusi terbanyak.

Jika pemenang kerusi terbanyak yang dilantik sebagai Perdana Menteri walaupun ia tidak mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat maka sudah pastilah akan berulang kembali episod-episod ketidakstabilan membabitkan undi tidak percaya di Parlimen dan sebagainya.

Sebab itulah maka peranan Yang di-Pertuan Agong di dalam pembentukan kerajaan baharu selepas PRU15 amat penting sekali, di mana proses tawar-menawar dan negosiasi yang berlaku itu hendaklah diadili dan ditentukan keputusannya oleh Baginda.

Ini tidaklah bermakna bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak menghormati kehendak majoriti pengundi atau membawa pilihan peribadi Baginda di dalam pembuatan keputusan, sebaliknya kerana menghormati kehendak majoriti pengundilah maka keputusan begini perlu dibuat.

90 kerusi daripada 222, atau 221 jika ditolak dengan kerusi Padang Serai yang ditangguhkan, itu bukanlah membentuk kepercayaan majoriti sebaliknya ia adalah minoriti, dan jika kerajaan minoriti dibenarkan dibentuk nescaya akan berpanjanganlah krisis politik negara.

Amat dikesali sekali bila seorang mantan Peguam Negara boleh memaksakan pilihan peribadi beliau ke atas pembuatan keputusan di dalam proses pembentukan kerajaan baharu selepas berakhirnya PRU15, apa lagi dengan menggunakan hujahan yang tidak tepat.

Sama-samalah kita menumpukan ketaatsetiaan dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sebagai payung rakyat untuk menyelesaikan urusan pembentukan kerajaan baharu jika tiada pemenang mutlak dalam PRU15 ini. – UTUSAN ONLINE

DR. Mohd. Noor Yazid ialah bekas Profesor Madya di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya