Wang tak dituntut ke Baitulmal? - Utusan Malaysia

Wang tak dituntut ke Baitulmal?

Selain bank, terdapat juga wang yang tidak dituntut daripada akaun pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. – MINGGUAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat pandangan agar wang tak dituntut yang wujud khusus dari akaun milik umat Islam diserahkan kepada institusi Baitulmal negeri-negeri selari dengan keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam kali ke-99 pada 2012 yang menetapkan wang tak dituntut perlu diberikan kepada Baitulmal.
Sungguhpun prinsip asalnya sesuatu wang yang tak dituntut perlu diserahkan kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut namun terdapat peruntukan di bawah Seksyen 18 Akta Wang Tak Dituntut 1965 (Pindaan 2002) untuk Menteri Kewangan memberikan pengecualian kepada keperluan tersebut sebagaimana yang diberikan kepada akaun pendeposit Tabung Haji sejak 1993.

Pemilik Tidak Sedar
Wang tak dituntut ditakrifkan di dalam Akta Wang Tak Dituntut sebagai wang yang antaranya tidak dikendalikan secara aktif dalam suatu tempoh waktu tertentu contohnya di dalam akaun simpanan atau caruman yang disimpan di dalam bank, takaful dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Dalam kata mudah, pemilik asal wang tersebut sama ada telah pun meninggal dunia tanpa diketahui ahli waris akan kewujudan wang itu atau pemilik wang sendiri tidak menyedari kewujudan akaun itu yang antaranya disebabkan jumlah wang pada sesuatu akaun yang pada pandangan mereka tidak signifikan dan tidak berbaloi untuk pergi berurusan dengan pihak institusi kewangan.
Sekali jenguk memanglah kelihatan jumlah dalam akaun-akaun yang mempunyai wang tak dituntut itu nilainya kecil tetapi apabila dikumpulkan dengan jumlah pendeposit sesebuah institusi kewangan yang ramai maka jumlah terakru tentunya menjadi besar.

Akaun Tidak Aktif
Bagi entiti syarikat pula, terdapat akaun simpanan syarikat yang dikategorikan sebagai tidak aktif dan berte­rusan menjadi wang tak dituntut dek kerana ketidakcekapan pengurusan pera­kaunan.
Oleh kerana soal pembahagian dan penurunan harta umat Islam itu dikawal secara khusus oleh undang-undang diri umat Islam seperti hibah, wasiat, amanah dan faraid maka terdapat kewajaran untuk wang tak dituntut yang berpunca daripada akaun patuh syariah milik umat Islam diuruskan oleh setiap institusi kewangan Islam sendiri sebagaimana yang dilakukan oleh Tabung Haji dan kemudiannya diserahkan kepada Baitulmal yang merupakan entiti sah yang ditubuhkan menurut enakmen setiap negeri.
Di Selangor, keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan diperkukuhkan oleh Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 7 Oktober 2013 yang menyatakan bahawa harta dan wang milik umat Islam di Selangor yang tak dituntut di mana-mana institusi hendaklah diserahkan kepada Baitulmal Selangor.
Menarik untuk dilihat Perkara 97(3) Perlembagaan Persekutuan turut mem­berikan ruang agar hasil yang diperoleh dari agama Islam seperti zakat fitrah dan hasil Baitulmal diuruskan dalam kumpulan wang sebagaimana ditetapkan undang-undang negeri yang mengawalnya.

Kaedah Mesra Pelanggan
Menyelusuri pandangan ini kita akan dapati telah bertepatan waktunya untuk setiap institusi kewangan Islam memperkenalkan aqad hibah atau hibah lil waqaf apabila akaun simpanan atau pelaburan dibuka bagi memastikan wang yang berada di dalam akaun tersebut dapat diuruskan dengan kaedah lebih mesra pelanggan berbanding akaun konvensional.
Antaranya dengan aqad pemberian khusus kepada penerima hibah yang dinyatakan atau pun boleh juga diwaqafkan kepada Majlis Agama Islam Negeri pada waktu yang dipersetujui dalam aqad tersebut.
Jika akaun itu tidak dikendalikan untuk suatu tempoh yang menjadikan ia dikategorikan sebagai wang tak dituntut, maka ia boleh terus diberikan kepada penerima hibah yang dinamakan atau Baitulmal yang dinamakan di dalam aqad semasa pembukaan akaun tersebut bagi tujuan maslahah umat Islam.
Selain mengatasi isu wang tak dituntut milik umat Islam, kaedah menyempurnakan aqad pemberian semasa pembukaan akaun ini akan dapat mengelakkan wang yang telah sempurna dihibahkan di dalam akaun tersebut dikategorikan sebagai harta pusaka yang perlu melalui proses pembahagian pusaka yang panjang.
Contohnya, jika seseorang pendeposit itu semasa pembukaan akaun di bank memasuki aqad hibah bagi menyatakan wang di dalam simpanan itu adalah dihibahkan kepada seorang anaknya, maka sewajarnya tiada lagi keperluan untuk akaun itu melalui proses pembahagian pusaka selepas kematian pemilik dan wang di dalam akaun itu boleh diberikan terus kepada penerima hibah.
Selain memberikan manfaat kepada Baitulmal dan Majlis Agama Islam Negeri, kaedah ini memberikan nilai tambah akan elemen menyuburkan amalan jariah oleh pendeposit akaun perbankan Islam berbanding akaun konvensional.
Sebagai alternatif jika pun peranan Pendaftar Wang Tak Dituntut masih perlu dikekalkan kerana kekangan perundangan sedia ada dalam menerima dan mengurus wang tak dituntut milik umat Islam, perlu ada peruntukan perundangan yang menetapkan selepas tamat tempoh 15 tahun dari tarikh wang diterima, maka ia perlu diserahkan kepada pihak Baitulmal dan tidak pula dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan.
Apa jua kekangan perundangan yang ada tidak seharusnya menjadi halangan kekal untuk Majlis Agama Islam Negeri merangka pelan untuk menguruskan wang tak dituntut milik umat Islam kerana sebagaimana bayaran zakat yang diwajibkan ke atas umat Islam diberikan rebat pengecualian cukai maka amatlah wajar harta umat Islam ini disalurkan kepada institusi khusus umat Islam selari dengan letak duduk Islam sebagai agama negara dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.

Datuk Ikbal Salam ialah Peguambela dan Peguamcara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya