PADA 23 Mei 2008, apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda memberikan penghakimannya berhubung pertikaian wilayah negara kita dan Singapura, ramai rakyat Malaysia khususnya di Johor berasa kecewa kerana Batu Puteh telah tewas kepada republik itu.
Penghakiman itu amat menyakitkan kerana dakwaan yang dibuat oleh Singapura sejak pertikaian muncul pada 1980 telah menunjukkan keangkuhan republik tersebut dalam menjalinkan hubungan dengan Malaysia dan ketidakpekaan terhadap perasan rakyat negara ini. Mana tidaknya, Batu Puteh terletak hanya 7.7 batu nautika atau 14 kilometer (km) dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor berbanding 25.5 batu nautika (44 km) dari Singapura.
Penemuan tiga dokumen di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017 memberikan nafas baharu kepada rakyat kerana ‘fakta baharu’ ini mendorong Malaysia memohon semakan semula keputusan ICJ berhubung Batu Puteh pada 2 Februari 2017 di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Dokumen-dokumen ini termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari 1960-an yang memperakukan bahawa Batu Puteh tidak menjadi sebahagian daripada wilayah berdaulat Singapura dalam tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, berdasarkan kepada carian di sumber terbuka, telah disahkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan pada 11 Jun 2018. Secara kebetulan, keputusan ini dibuat semasa Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah diarahkan untuk mengambil cuti tidak berekod selama 30 hari bermula 14 Mei hingga 14 Jun 2018. Justeru, semasa kerumpangan itu, Malaysia kehilangan kedaulatan terhadap Batu Puteh buat selama-lamanya.
Kedaulatan Singapura terhadap Batu Puteh tidak boleh dicabar melalui apa jua cara kerana berdasarkan Artikel 61(5) statut ICJ yang memperuntukkan bahawa “No application for revision may be made after the lapse of ten years from the date of the judgment.”
Oleh itu, dakwaan kemungkinan kecuaian dan kekhilafan telah diterbitkan, menurut kenyataan akhbar yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober lalu berdasarkan penemuan oleh Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Hal ini kerana tindakan tersebut telah menyebabkan Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman ICJ pada 2018.
Persoalan yang timbul, mengapa keputusan yang memberi impak besar ke atas dasar juga melibatkan kedaulatan negara dilaksanakan dengan terburu-buru dan tanpa mendapatkan pandangan dan nasihat lanjut daripada Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Peguam Negara dan kesemua pemegang taruh termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertahanan dan kerajaan negeri Johor? Sebagai anak jati Johor, saya amat kecewa dengan keputusan ini dan mempersoalkan mengapa Malaysia melepaskan hak wilayahnya dengan begitu mudah?
Saya bersetuju dengan cadangan pasukan petugas khas agar tindakan hendaklah diambil terhadap individu terlibat, walaupun komuniti antarabangsa mungkin akan mempunyai persepsi dan pandangan bahawa Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang tidak konsisten dan tidak berpendirian dalam isu ini kerana tindakan membawa dan menarik balik permohonan ini.
Saya juga menggesa kerajaan menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk menjadikan laporan pasukan petugas khas sebagai umum kerana ini adalah soal kedaulatan Johor. Rakyat Johor berhak untuk mengetahui mengapa kerajaan PH pada ketika perkara ini berlaku, bertindak sedemikian. Pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan hendaklah dibawa ke muka pengadilan. Malaysia hendaklah memastikan hak sebagai sebuah negara berdaulat yang disokong dengan komitmen kerajaan sepenuhnya untuk mempertahankan kedaulatannya tanpa kompromi harus didukung dan dikekalkan.
Memandangkan ramai orang awam masih tidak faham tentang perkara ini, saya memperjelaskan secara ringkas d sini:
Di manakah Batu Puteh?
Batu Puteh ialah sebuah batu tunggul kira-kira 7.7 batu nautika (14 km), selatan Tanjung Penyusup, Johor dan 25 batu nautika (44 km) timur Singapura.
Batu Puteh milik siapa?
Batu Puteh kini menjadi milik Singapura. Ini adalah lanjutan kepada pertikaian yang dibawa oleh Malaysia dan Singapura ke ICJ pada 2003. Pada 2008, ICJ memutuskan bahawa Batu Puteh adalah milik Singapura.
Adakah ini bermakna Batu Puteh adalah sebahagian daripada Singapura walaupun ia lebih dekat dengan Malaysia (kawasan Parlimen kita)?
Ya.
Apakah implikasi penghakiman ICJ bahawa Batu Puteh adalah milik Singapura?
Implikasi domestik yang paling ketara di sini ialah Batu Puteh adalah sebahagian daripada Singapura. Di luar Malaysia, implikasi undang-undang ialah Singapura akan dapat menuntut laut wilayah di sekitar Batu Puteh yang diperuntukkan undang-undang antarabangsa sehingga 12 batu nautika. Kedua-dua pihak telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Malaysia-Singapore Joint Technical Committee (MSJTC) untuk menentukan sempadan maritim yang kini masih dalam rundingan.
Sebagai sebahagian daripada Singapura, ia juga terletak di bawah kawasan ahli Parlimen yang dikenali sebagai East Coast Group Representation. Sekiranya Batu Puteh milik Malaysia, pastinya ia adalah sebahagian kawasanParlimen Pengerang.
Batu Puteh jauh lebih dekat dengan kita. Adakah kita mengambil tindakan selanjutnya untuk membetulkan penghakiman ICJ 2008?
Ya, kita pernah cuba. Kerajaan BN sebelum ini cuba mendapatkan semakan penghakiman ICJ pada 2017 selepas penemuan fakta baharu. Perbicaraan telah ditetapkan pada Julai 2018, tetapi kerajaan PH sebelum ini memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding.
Mengapa kerajaan PH tidak meneruskan prosiding?
Ia masih menjadi misteri kepada kita. Semua menteri mereka nampaknya mengalami ‘amnesia selektif’ (hilang ingatan terpilih) mengenai perkara tersebut.
Adakah ini akan menjejaskan kehidupan kita?
Jika anda seorang nelayan di Pengerang, ya. Ini kerana kawasan penangkapan ikan yang telah hilang kepada pembangunan besar kilang penapisan minyak dan gas Petronas RAPID. Tentera Laut Republik Singapura kini kelihatan mengawal kawasan itu memandangkan kedaulatan Batu Puteh adalah milik Singapura. Memandangkan ia kini sebahagian daripada Singapura, komuniti nelayan tidak lagi boleh menangkap ikan di sekitar kawasan itu.
Adakah terdapat sebarang implikasi keselamatan?
Batu Puteh hari ini mempunyai rumah api, helipad, loji penyahgaraman dan lebih penting lagi stesen penyiaran semula tentera. Perkara ini seolah-olah mencadangkan bahawa Singapura berhasrat untuk menubuhkan Batu Puteh sebagai pos kota kara (outpost) dengan tujuan ketenteraan. Batu Puteh terletak di pintu masuk timur Selat Singapura. Implikasi keselamatan di sini mempunyai potensi yang sangat besar.
Media baru-baru ini melaporkan bahawa Singapura telah memulakan kerja penambakan di sekitar Batu Puteh. Apakah yang sebenarnya berlaku?
Singapura pada Julai 2021 mengumumkan hasratnya untuk memulakan penambakan 0.5 batu nautika (kurang 1 km) selatan Batu Puteh. Penambakan ini diperuntukkan sekitar tujuh hektar, atau kira-kira 10 padang bola, kononnya bagi menyediakan kemudahan berlabuh untuk kapal. Semua ini dilakukan apabila MSJTC masih belum memuktamadkan persempadanan maritim antara Malaysia dan Singapura yang saya katakan adalah tidak patut berlaku.
Dalam gambaran yang lebih besar, apakah kesannya kepada kita sebagai Bangsa Johor?
Jika anda menjumpai berita-berita lain yang telah dilaporkan, kerja-kerja penambakan ini akan dijalankan oleh Housing and Development Board (HDB), Singapura. Jika biasa dengan Singapura, anda pasti tahu bahawa HDB ditugaskan untuk membina rumah dan perbandaran.
Sekarang, bayangkan Singapura mempunyai penempatan atau sebuah bandar di depan pintu kita. Ini sememangnya satu penghinaan kepada Bangsa Johor.
Bukankah sudah terlambat untuk apa-apa tindakan diambil terhadap individu terbabit?
Ia bergantung kepada penemuan pasukan petugas khas yang masih belum didedahkan kepada umum. Ini juga merupakan sebab mengapa penemuan itu perlu didedahkan kepada umum. Sudah tentu ada kemungkinan bahawa sekiranya kesalahan boleh dikaitkan dengan mana-mana individu, deklarasi bahawa individu-individu terbabit cuai dan khilaf boleh dipohon sebagai jalan penyelesaian.
Siapa yang bertanggungjawab?
Oleh kerana penarikan balik permohonan semakan kepada ICJ berlaku pada Jun 2018, mungkin semua menteri Kabinet di bawah kerajaan PH ketika itu, atas dasar tanggungjawab Kabinet bersama.
Apa asas untuk mereka disaman?
Di bawah tort misfeasans sebagai penjawat awam.
Apakah tort misfeasancs dan bolehkah ia dibawa ke atas kerajaan PH?
Misfeasans adalah salah satu daripada tiga liabiliti pegawai awam yang terdapat dalam common law. Misfeasans bermaksud perbuatan tidak wajar terhadap sesuatu perbuatan yang mungkin dilakukan oleh ejen secara sah atau dengan kata lain, ia adalah melaksanakan kewajipannya terhadap prinsipalnya dengan cara yang melanggar hak dan keistimewaan orang ketiga.
Siapa boleh saman?
Tindakan undang-undang di bawah tort misfeasans boleh diambil terhadap kerajaan PH oleh mereka yang mempunyai locus standi iaitu rakyat Johor dan/atau kerajaan negeri Johor. Terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada mereka telah melakukan kecuaian dan kesilapan kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan tafsiran kes Batu Puteh.
Apa prospek kejayaan menyaman atas tort misfeasans?
Mohd. Hatta Sanuri telah menyaman kerajaan PH sebelum ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tort misfeasans pada Mei 2021. Malangnya, mahkamah pada Julai 2022 telah membatalkan saman itu atas alasan subjek dalam tuntutan saman tidak boleh diadili oleh mahkamah kerana melibatkan dasar luar negara. Mahkamah juga memutuskan Mohd. Hatta tidak mempunyai locus standi.
Setelah mahkamah membuat keputusan sedemikian dan jalan di ICJ telah ditutup, ini meletakkan kita dalam situasi Catch-22, kerana nampaknya terdapat kekurangan jalan perundangan yang boleh diteruskan untuk membawa kes ini.
Pasukan Petugas Khas Batu Puteh telah membentangkan laporannya kepada jemaah menteri. Apa yang boleh dilakukan seterusnya?
Kerana kita kini berada dalam situasi Catch-22, kerajaan harus memulakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melalui Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 untuk menyiasat secara bebas kehilangan Batu Puteh dan menyimpulkan peristiwa yang berlaku antara Malaysia dan Singapura sejak 1979.
RCI akan lebih efektif kerana akta tersebut memberikannya kuasa yang luas untuk memanggil saksi dan dokumen. Sebarang kegagalan berbuat demikian akan membenarkan RCI mengeluarkan waran tangkap untuk memaksa kehadiran. Ini akan membolehkan pihak terbabit terutama dari kerajaan PH menjelaskan mengapa mereka menarik balik permohonan itu walaupun terdapat bukti baharu yang memihak kepada tuntutan kedaulatan Malaysia ke atas Batu Puteh. Mereka yang sanggup berkompromi terhadap kedaulatan negara mesti bertanggungjawab dan penemuan RCI perlu didedahkan kepada umum. – UTUSAN
DATUK Seri Azalina Othman Said ialah Pengerusi Biro Undang-Undang Barisan Nasional (BN) dan bekas Ahli Parlimen Pengerang.










