HARI demi hari persoalan tentang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjadi lebih mendesak. Timbul pelbagai dakwaan serta tohmahan itu dan ini sehingga soal seharian yang lebih mutlak tidak mendapat penumpuan sepenuhnya.
Keluhan masyarakat menjadi lebih nyaring dan syahdu. Ia melibatkan seluruh rakyat jelata, terutama yang tidak bernasib baik, terkesan akibat pandemik yang terus-menerus menular dalam kalangan mereka.
Seperti kesan kesihatan yang bergelar long Covid (Covid berpanjangan) – yakni sisa-sisa jangkitan yang masih dirasai buat jangka masa panjang, begitu jugalah keadaan persekitaran luaran termasuk teknoekonomi serta sosiopolitik. Suasana luaran tidak akan beralih kepada keadaan seperti sediakala dalam jangka masa tersingkat.
Ia akan mengambil masa yang lama. Berapa lama? Masih belum ada jawapan yang pasti dan jelas sebagaimana serangan long Covid bagi manusia. Semua jangkaan belaka. Lantas penderitaan juga turut berpanjangan walaupun tidak seteruk diserang penyakit. Tetapi tetap menggusarkan khususnya dari segi emosi dan mental.
Maksudnya, pemantauan rapi diperlukan dan ini sudah tentu memerlukan kerahan dana, alatan serta keringat yang banyak dari segenap lapisan masyarakat, bukan pihak-pihak tertentu sahaja. Dalam semangat Keluarga Malaysia, mereka yang berwajib semestinya turun padang bagi menunaikan kewajipan serta amanah yang dipikul.
Tiada pilihan, terutama wakil-wakil rakyat dan para politikus yang memilih untuk berbakti kepada rakyat seluhur hati. Kali ini ia merentas parti serta fahaman politik serta ideologi asalkan pada asasnya ikhlas membela masa hadapan rakyat tanpa memilih bulu dan rupa.
Ringkasnya, kesejahteraan rakyat didahulukan daripada kepentingan diri apalagi kelompok yang sempit. Yakni, tiada agenda lain lebih penting selagi masalah rakyat belum selesai sebaik mungkin. Cabaran lebih getir adalah dari segi kewangan ketika kedudukan ringgit agak lemah berbanding masa-masa sebelum ini.
Ini membuat rakyat lebih sangsi dengan omongan bertalu-talu tentang PRU15 yang akan mengalirkan perbelanjaan begitu banyak daripada keperluan harian mereka. Jelas oleh demikian, PRU15 merupakan satu-satunya projek yang tidak dapat tidak membawa kesan langsung yang mengkhuatirkan kepada rakyat teramai.
Tidak syak lagi, hanya mereka yang mempunyai kepentingan tersendiri tergamak memberi sokongan membuta tuli dengan harapan matlamat sendiri tercapai berselindung di belakang pelbagai dakyah mengadakan PRU15. Ini kenyataan sebenarnya. Belum lagi mengambil kira aral yang mungkin melintang seperti yang acap disebut-sebut.
Yakni kemungkinan besar cuaca akan memburukkan lagi kehidupan rakyat terkebawah terutamanya. Sebagai contoh, banjir dan bah yang sering membawa pelbagai kemelut, termasuk kehilangan nyawa yang tidak berdosa pada penghujung tahun lazimnya.
RAKUS
Tambahan, kebelakangan ini banjir dan bah menjadi lebih kerap dan kencang umpama tahun lalu apabila ribuan pelajar mengambil peranan sukarela membantu mereka yang teraniaya.
Diasak pula dengan Covid-19, menjadikan keadaan lebih terdedah kepada ancaman nyawa. Kepada yang terlibat dan turun padang seluhur hati, kesan seperti ini sudah tentu menusuk jiwa. Satu pengalaman yang tidak mahu diulangi lagi terutama sekali apabila dapat dielakkan jika berhemat.
Tetapi bagi mereka yang tidak merasai atau tidak peka akan mudah lupa apabila turut mendesak mengadakan PRU15 baik semasa guruh petir sekalipun. Ternyata cukup tidak berhati perut. Natijahnya, kelompok seperti ini sekali gus gagal mempamerkan sifat kepemimpinan yang terbaik atau bertimbang rasa sepenuhnya.
Mereka sedia membelakangi nasib rakyat yang sepatutnya menerima pembelaan 100 peratus. Mereka mengharapkan pagar, malangnya pagar makan padi! Pendek kata, rakyat sudah mula membuat penilaian mereka sendiri tentang jenis tampuk kepemimpinan yang diamalkan oleh kelompok bersifat rakus dan tamak. Apabila tersepit, rakyat dijadikan bahan percaturan, kalau tidak kuda tunggangan mereka masing-masing.
Inilah perhitungan sebenarnya yang terselindung di belakang segala hujah cetek lagi dangkal supaya diawalkan PRU15. Tempoh 65 tahun merdeka yang menyaksikan 14 PRU nampaknya kali ini usaha memilih sebuah kerajaan menjadi lebih rumit dan samar-samar.
Masih tidak menampakkan kematangan serentak keberanian bersuara agar ketelusan serta amalan beretika menjadi suluhan obor masa hadapan bagi membina bangsa bermaruah dan negara berdaulat.
Jadi, mungkinkah PRU15 menjadi penentu kepada segala-gala ini? Apakah kelainan yang bakal dibawa akibat daripada serangan Covid-19 yang tersirat hikmahnya dalam mendedahkan segala rupa kepincangan serta kelemahan yang tersorok selama ini?
Ataupun masihkah ada tidak tersentuh langsung daripada musibah yang menimpa? Walaupun mengundang musibah lebih ngeri lagi dahsyat sebelum tersedar kepura-puraan yang memualkan.
Dalam sebuah buku berkaitan rasuah baru-baru ini, istilah yang lebih keras – kemunafikan – juga digunakan. Pendek kata, atas dasar ini sahaja, tiada sebab mengapa PRU15 perlu dipercepat tatkala rakyat masih banyak memerlukan budi bicara yang halus, adil lagi saksama sekiranya Wawasan Kemakmuran Bersama ingin dijiwai oleh warganegara Malaysia di mana sahaja. Jika tidak, cerita buruk lama akan berulang kembali.
Pastinya PRU15 tidak akan membawa apa-apa perubahan besar atau anjakan paradigma seperti diisyaratkan oleh pandemik dengan cukup jelas kepada mereka yang peka akan nasib rakyat. Berwaspada! – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











