PRU15: Apa dalam fikiran Ismail Sabri?

PRU15: Apa dalam fikiran Ismail Sabri?

TIMBUL persoalan, apakah Ismail Sabri Yaakob mewakili majoriti ahli Parlimen pada ketika ini dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen? – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELBAGAI spekulasi dan andaian tentang tarikh pembubaran Dewan Rakyat semakin menghujani minda rakyat dalam kelangsungan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Sehingga kini, kerajaan semasa didakwa sebagai kerajaan yang bukan dipilih melalui mandat rakyat. Maka adalah perlu dan sewajarnya untuk diadakan PRU15 dengan kadar segera agar dapat mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan mengikut pilihan dan cita rasa mereka.

Sehubungan ini, kita perlu faham bahawa pembubaran Parlimen adalah bergantung kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, seperti ternyata dalam Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Dalam perkara ini, dilihat UMNO menggesa Perdana Menteri, merangkap Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(2)(b) bagi menasihati Seri Paduka agar membubarkan Parlimen supaya PRU15 dapat diadakan dalam jangka masa terdekat (sebelum November ini).

Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas pula menggesa Perdana Menteri supaya tidak tunduk kepada tekanan UMNO untuk membubar Parlimen pada tahun ini. Sekiranya Parlimen tetap dibubarkan tahun ini juga, maka kepimpinan PH serta Bersatu dan Pas yang mentadbir beberapa negeri seperti Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu telah bersuara bahawa mereka tidak akan membubarkan serentak Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran mereka.

Dalam pada itu, kajian pendapat awam secara rambang dan dalam media sosial menunjukkan sebahagian besar rakyat, iaitu hampir 75 peratus berpendapat, waktu ini bukanlah sesuai untuk mengadakan PRU kerana negara dijangka menghadapi musim tengkujuh yang akan menjejaskan peratusan keluar mengundi.

Justeru, ada pihak menzahirkan pendapat Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara yang memegang kuasa mutlak untuk pembubaran Parlimen bersandarkan Perkara 55, perlu mengambil kira suara majoriti ahli Parlimen dalam mempertimbangkan permintaan terhadap isu pembubaran Dewan Rakyat pada tahun ini.

Persoalannya, apakah Perdana Menteri semasa mewakili majoriti ahli Parlimen pada ketika ini dalam menasihati Seri Paduka untuk membubarkan Parlimen? Mengikut satu perkiraan kasar, Dewan Rakyat kini dilaporkan terdiri daripada 42 ahli yang memihak pada Barisan Nasional (BN), 91 ahli mewakili PH dan 46 mewakili Perikatan Nasional (PN). Jadi, majoriti ahli Dewan Rakyat kira-kira 65 peratus berpendapat Dewan Rakyat sewajarnya dibubarkan pada tahun hadapan.

PELAYAR CHINA

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim menzahirkan perasaan dukacita dan terkilan kerana ada setengah ahli politik yang seharusnya menyahut dan berganding bahu dengan Perdana Menteri dalam memartabatkan bahasa Melayu, didapati lebih ghairah menekan Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen. Beliau menggesa rakyat secara amnya dan orang Melayu secara khususnya perlu mengimbau sejarah ekspedisi dua tokoh pelayar China, seperti I-Ching dan Cheng Ho yang pernah belayar ke Nusantara pada zaman dahulu.

Menurut catatan I-Ching, beliau pernah singgah ke Fu-Shih (Srivijaya),Mo-Lo-Yue (Melayu), Ka Cha (Kedah) pada 671 Masihi. Cheng Ho pula melawat Melaka lima kali pada abad ke-14 (1405-1433 Masihi). Mereka belayar dengan tujuan menyebar budaya dan keagungan China.

Sehubungan ini, Rais Yatim menggesa rakyat agar memperluaskan minda dan menerapkan semangat kedua-dua pelayar tersebut untuk bukan sahaja mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi malah mengembangkan bahasa Melayu ke seluruh dunia. Malah, beliau menyarankan rakyat menyahut dan menyokong Ismail Sabri yang banyak mengambil berat dan daya usaha memartabatkan bahasa Melayu di dalam dan luar negara.

Jadi, Rais Yatim menyaran agar rakyat mengambil iktibar daripada langkah Perdana Menteri dalam hal pemartabatan bahasa Melayu, dan bukannya asyik dan ghairah mengejar kuasa politik semata-mata.

Dalam pada itu, memandangkan hampir 300 juta orang di seluruh dunia menggunakan bahasa Melayu, malah merupakan bahasa ketujuh terbesar dan terpenting dalam dunia, maka ahli politik sekarang mahupun masa hadapan perlu menghayati dan menggunakan serta memartabatkan bahasa Melayu ke persada dunia.

Tidak dapat dinafikan ledakan teknologi maklumat yang melahirkan fenomena Google telah menimbulkan proses osmosis budaya asing dalam kalangan rakyat terutama anak muda Malaysia. Justeru, kerajaan serta ahli politik perlu mengambil langkah-langkah untuk mengukuhkan jati diri serta menerapkan kemahuan politik dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan rakyat.

Menurut Rais Yatim, sementara keghairahan terhadap mengejar kuasa politik boleh memecahbelahkan rakyat berbilang bangsa dan keturunan malah etnik, bahasa dan budaya mampu menyatupadukan mereka.-UTUSAN

Datuk M. Periasamy ialah penganalisis sosial dan politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×