Perihal lif ‘tak halal’ - Utusan Malaysia

Perihal lif ‘tak halal’

MEMANG sentiasa ada unsur-unsur dalam dan luar negara yang bersedia mengambil kesempatan memperjuangkan ‘jihad Islamofobia’ dengan seluas mungkin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kebelakangan ini, masyarakat mengalami kejutan demi kejutan hasil daripada beberapa pendapat dan pengumuman am. Hasilnya menimbulkan lebih banyak tanda tanya dari pelbagai pihak dan sudut, walaupun kebanyakannya bukan perkara ‘baharu’ bagi masyarakat tempatan umumnya.

Pun begitu, matlamat asal yang murni tidak kesampaian. Malah, membawa kemelut minda dan emosi kepada pihak tersentuh, serta mencabar kedudukan masyarakat yang kini berhadapan bermacam cabaran hidup seharian khusus akibat Covid-19.

Masing-masing sebenarnya memerlukan kedamaian serta ketenteraman jiwa untuk mencari penyelesaian yang sesuai lagi sempurna bergantung kepada keadaan serta waktu. Namun, ia tidak semudah itu apabila ramai terkeliru dan ada sahaja pihak yang menangguk di air keruh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia menjadi lebih rumit apabila kepentingan diri dan politik dicampuradukkan secara sengaja atau tidak. Kadangkala institusi diraja terpaksa masuk campur untuk mereda dan memulihkan keadaan seperti sediakala.Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) semalam adalah antara contoh yang terbaik dalam hal ini.

Sungguhpun di luar tampak seolah-olah sudah mula selesai, pada hakikatnya tidak sedemikian. Masih ada pihak yang tidak berpuas hati, dan oleh demikian menimbulkan isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata terus.

Jika lihat dari kaca mata lebih luas melibatkan dunia sejagat seperti fahaman rahmatan lil alamin – rahmat ke atas seluruh alam – pelbagai lagi isu tercetus sekali gus mengundang pelbagai tafsiran rambang. Terutama sekali apabila menyinggung perasaan atau kepekaan kaum serta agama lain yang dahulunya terpelihara dengan baik lagi harmoni.

Kini seolah-olah terganggu-gugat, menjadi renggang atau pincang – bukan sangat kerana inti pati pokok yang terlibat tetapi lebih daripada cara ia diutarakan atau disiarkan kepada umum.Misalnya, kurang rujukan atau perbincangan dalam menangani hal-hal tidak diduga yang akan timbul.

Atau dari sudut masa dan ketika yang kurang sesuai memandangkan Malaysia bersifat majmuk dan pelbagai aspek silang budaya wajar dipertimbangkan dengan teliti terlebih dahulu.

Apatah lagi sentiasa ada unsur-unsur dalam dan luar negara sememang bersedia mengambil kesempatan memperjuangkan ‘jihad Islamofobia’ mereka seluas mungkin. Sedangkan tindakan yang berlangsung mempermudahkan lagi ini berlaku secara sambil lewa mendedahkan kelemahan sendiri.

Dalam hal ini, saya teringat satu tanggapan yang menyelar orang Islam dengan berkata, “Mereka tidak membaca, kalau membaca mereka tidak faham, kalau faham pun malas berfikir, kalau berfikir pun lesu bertindak, kalau pun bertindak tidak akan berkesan, dan kalau berkesan pun mereka akan memusuhi sesama sendiri.”

TOLOL

Sungguhpun semua ini tidak mencerminkan perwatakan seorang ‘khalifah’ anjuran Islam, malangnya perlu diakui bahawa tidak ada masa dan ketika yang tanggapan tersebut lebih tepat mewarnai kedudukan sekarang. Ramai yang cukup ‘cekap’ mempersenda agama baik di kelab hiburan, mahupun ditampuk kedudukan yang luas kuasa serta pengaruhnya.

Semua ini seakan-akan mengiakan tanggapan petikan di atas dan dengan jelas terserlah di mata dunia khususnya, mereka hanya menunggu akan bab-bab tolol seumpamanya untuk dilaungkan. Lambat-laun ini akan menjadi seperti cap mohor umat Islam akibat nila setitik dalam kalangan mereka. Terkini terpalit pula isu ‘lif tak halal’ di sebuah hotel, minggu lalu.

Catatan itu sendiri sudah mula membuka ruang pelbagai tafsiran yang bukan-bukan, lari jauh daripada dihasratkan. Yakni, lif untuk barangan tidak halal – yang cukup munasabah kepada ramai. Kerana sememangnya ada lif yang dikhaskan untuk itu dan ini!

Tiada hal sama sekali. Namun, buat kali ini dengan label bergambar yang diuar-uarkan oleh berita tersebut, satu lagi ketololan berkumandang. Maka ada yang bertanya, “Bagaimana dengan barangan tidak halal yang diangkut oleh lori dari satu tempat ke satu tempat.

Adakah digelar ‘lori tak halal’?” Lebih kecoh lagi apabila barang yang sama dibawa dalam bas atau kapal terbang oleh para penumpangnya! Mereka itu ‘penumpang tak halal’?

Semua ini terus memberi keyakinan akan ketepatan tanggapan ‘lesu bertindak’ akibat daripada ‘malas berfikir’ semasak-masaknya bagi isu sekecil itu sekalipun! Tambahan, isu sama pernah timbul hampir 10 tahun lalu sekitar 2013.

Masih belum diselesaikan lagi? Nak terwujudlah satu lagi peristiwa ‘memusuhi satu sama lain’ – hentaman bertalu-talu. Ini di samping pelbagai adegan tolol lalu berlarutan dan menjadi bahan tertawa seantero.

Segala kejahilan ini meletakkan Islam sebagai ‘mangsa’ tidak wajar. Ummahnya terus menanggung malu kerana gagal mengehadkan beberapa kerat yang tidak langsung ambil peduli.

Mereka tidak segan silu melakar watak yang menghambarkan di mata dunia. Kesimpulan, bersedialah dengan pelbagai lagi kejutan dan ketololan yang kian sebati dengan naluri insan sudah lama mati! – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×