BANJIR besar yang berlaku tahun lalu amat mengejutkan dan masih lagi segar dalam ingatan kita. Pelbagai portal berita sudah mula menyiarkan amaran bahaya monsun (angin bermusim) yang menurut ramai pakar bakal membawa kesan besar dan hampir sama dengan tahun lalu akibat fenomena La Nina yang masih aktif sejak dua tahun kebelakangan ini.
Sejak 15 tahun lalu, fenomena monsun sering membawa impak luar jangka yang memberi kesan hampir menyeluruh ke seluruh negara. Walaupun kebiasaannya hanya dirujuk kepada negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, kini sifir berkenaan telah berubah.
Masa bermula monsun sering tidak menentu yang menjadikan ramalan sukar dibuat dengan tepat. Kawasan yang menerima jumlah hujan besar juga sering berubah.
Berita berkaitan:
Statistik fenomena banjir diakibatkan oleh monsun timur laut mengingatkan kita kepada senarai panjang fenomena luar jangka yang melanda negara sebelum ini.
Banjir di Pulau Pinang (2017), Dungun dan Kemaman (2015), Kuala Krai dan Kota Bharu (2014), Kuantan (2013), Kangar (2011) dan Batu Pahat (2007) seperti memberitahu ada sesuatu yang tidak kena dengan iklim dan cuaca sedang kita alami.
Apa yang berlaku di Lembah Klang pada 2021 sebenarnya satu amaran iklim yang perlu diambil serius oleh semua pihak. Karakteristik hujan pada musim ini sudah banyak berubah dari segi pola, intensiti serta kawasan taburannya. Sekurang-kurangnya ada petanda positif dari aspek kesedaran masyarakat.
Persepsi umum sudah mula berubah apabila kesannya saban tahun semakin ekstrem terutama impak banjir yang melanda masyarakat melangkaui paras normal biasa dialami. Data meteorologi menunjukkan perubahan ketara berlaku kepada jumlah hujan yang semakin tinggi tetapi turun dalam tempoh masa singkat.
Apa yang berlaku, bumi tidak mampu menampung jumlah air yang banyak pada satu-satu masa, lalu menyebabkan banjir dalam kadar amat membimbangkan. Pembangunan dan penebangan hutan yang meluas menambahkan lagi impak banjir di sesuatu kawasan.
Kejadian sebegini bukan sahaja berlaku di negara kita tetapi ia adalah fenomena global. Laporan terkini daripada Panel Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IPCC) menunjukkan kadar kejadian hujan ekstrem telah meningkat di serata dunia. Laporan yang merumuskan hasil kajian ribuan saintis di seluruh dunia menunjukkan peningkatan ini berkait rapat dengan fenomena pemanasan global.
Kajian tersebut juga mendapati kawasan taburan hujan pada masa ini sudah banyak berubah. Ini menyebabkan kawasan yang tidak pernah mengalami banjir sebelum ini mula menghadapinya.
Tidak hairanlah saban tahun negeri-negeri yang mengalami fenomena banjir berubah-ubah. Cabaran terbesar kini adalah untuk membuat ramalan kerana perubahan cuaca yang sedang kita alami belum pernah lagi berlaku sebelumnya.
PERSEDIAAN
Setiap tahun bermula November, cuaca sejuk dari daratan tanah besar Asia dibawa ke arah utara Laut China Selatan yang kemudiannya menolak udara lembap ini ke arah selatan.
Udara lembap dan awan tebal lalu tiba di kawasan kita dan negeri pantai timur adalah barisan paling hadapan menerima hujan tersebut. Proses atmosfera ini biasanya terbentuk antara November hingga Mac.
Hujan lebat dan cuaca mendung berterusan ini biasa hadir dalam beberapa gelombang berbeza. Lebih membimbangkan berdasarkan pengalaman sebelum ini, setiap gelombang ini boleh membawa hujan lebat yang panjang.
Setiap tahun, senario pelbagai. Intensiti hujan, kawasan terjejas dan jumlah gelombang melanda sentiasa berbeza dari tahun ke tahun membuatkan ramalan dan pemahaman monsun menjadi sangat sukar.
Paling membimbangkan, fenomena siklon tropika semakin kerap berlaku di pinggiran perairan kita. Walaupun tidak melanda negara secara terus, kesan ekor daripada siklon ini sering memberi impak kepada kawasan pesisir pantai timur.
Contoh terdekat adalah Siklon Pabuk pada 2019 melanda semasa monsun dan membawa ribut siklon telah mengakibatkan cuaca ekstrem dan hakisan pantai yang amat buruk banyak mengakibatkan kerosakan prasarana dan membahayakan penduduk pesisir pantai.
Sesuatu yang positif berlaku sejak kejadian banjir tahun lalu. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) kini bergerak lebih aktif memberi advokasi kepada rakyat. Setiap amaran yang dikeluarkan dilaksanakan dengan lebih meluas melalui pelbagai platform informasi dan media sosial.
Perkongsian maklumat ini dalam kalangan warganet meluaskan lagi capaian maklumat. Antara amaran yang dikeluarkan adalah ribut petir, hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora serta siklon tropika. Cuma persediaan dan tindakan kita masih lagi kabur.
Ini sebenarnya mengangkat kesedaran awam terhadap bahaya cuaca ekstrem. Dengan maklumat dan sistem ramalan yang semakin baik dan mudah diakses, monsun kali ini sepatutnya menjadi ujian kepada kita untuk bagaimana maklumat ini mampu membantu mengurangkan kesan terutama kepada rakyat. Setidak-tidaknya dengan ramalan, keyakinan umum akan lebih tinggi sekiranya pihak berwajib mengambil tindakan lebih bijak.
Sehubungan itu, sama ada kerajaan mahupun orang awam disaran sentiasa bersiap siaga mengikut arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk kebarangkalian kejadian banjir dan diminta untuk lebih peka dengan sebarang perubahan cuaca.
Kesediaan kerajaan untuk mengambil serius petanda-petanda awal ini penting kerana sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dirancang sekitar musim monsun ini, ia bakal menjadi cabaran terbesar kepada rakyat.
Sama ada hari esok atau 50 tahun lagi, kita berhadapan dengan pelbagai ketidakpastian tentang cuaca dan iklim. Yang pasti, fenomena monsun yang bakal dihadapi sebulan sahaja lagi bakal menjanjikan sesuatu yang sukar untuk diramal. Yang penting, kita perlu bersedia. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir ialah Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).











