SEMBOYAN perang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah berbunyi. Diuar-uarkan hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara untuk mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.
Namun, sejauh mana kesahihan perkara itu setakat ini hanya berupa spekulasi selagi belum dimuktamadkan oleh Perdana Menteri. Difahamkan Seri Paduka berdua akan melakukan lawatan kerja ke luar negara mulai Isnin ini.
Khabarnya, tempoh ketiadaan baginda di tanah air selama dua minggu. Justeru, masa yang cukup genting ini antara hari ini hingga Ahad adalah empat hari amat ditunggu-tunggu berhubung pembubaran Parlimen.
Setakat petang semalam, Bajet 2023 masih diperakui akan dibentangkan esok. Juga, sejauh mana benarnya tarikh-tarikh berikutnya yang hinggap di telinga penulis iaitu 12 Oktober (bubar Parlimen), 29 Oktober (hari penamaan calon) dan 12 November (pengundian PRU15), ia akan tetap tinggal spekulasi selagi belum ada kenyataan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kepada UMNO, ini adalah masa untuk rapatkan saf. Ketepikan masalah peribadi dan kepentingan diri. Beri kepercayaan kepada pimpinan tertinggi untuk mengetuai PRU15 ini. Soal pemilihan calon/parti komponen yang bertanding, serahkan kepada lima pimpinan teratas atau Top 5. Ahli-ahli wajib ikut.
Realitinya, bukan UMNO tidak kuat pada PRU14. Yang tak kuatnya adalah MCA, Gerakan dan MIC – tiga parti komponen kanannya di Semenanjung. Bayangkan jika MCA menang separuh dari 37 kerusi Parlimen ditandinginya dalam PRU14 tempoh hari manakala Gerakan pun begitu jua. Malang sungguh, hasilnya hampas.
Daripada 37 kerusi, MCA cuma menang satu di Ayer Hitam, Johor dan Gerakan lagi teruk, dapat ‘telur’ sahaja dari 11 kerusi. MIC? Dua sahaja dari sembilan kerusi yang diredahnya. UMNO waktu itu meraih 54 dari 78 kerusi Parlimen. Bayangkan, jumlah 54 kerusi itu mengatasi mana-mana parti lain waima dari Pakatan Harapan (PH) pun (49 PKR, 42 DAP, 12 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan 11 Parti Amanah Negara).
Meskipun nasib tidak menyebelahi UMNO dalam PRU14, parti itu akur harus kembali segera memperbetulkan keadaan. Barangkali kerana terlalu lama berkuasa, UMNO alpa.
Sebagai perbandingan dengan Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun, terdapat banyak parti dominan di dunia ini telah kehilangan kuasa sebagai parti pemerintah. Misalnya, Kongres di India (1977), Nacionalista di Filipina (1986), Golkar di Indonesia (1998) dan Kuomintang (KMT) di Taiwan (2000).
Golkar setelah memerintah Indonesia selama 32 tahun secara de facto, akhirnya parti pemerintah itu gagal meneruskan hegemoninya sebagai parti dominan. Kejatuhan Golkar sering kali dikaitkan dengan amalan rasuah, kronisme, nepotisme dan mentadbir negara secara autoritarian. KMT juga gagal mengekalkan kehebatannya sebagai parti dominan apabila tewas dalam pilihan raya presiden 2000.
Walau sehebat mana pun sesebuah kerajaan, pilihan raya adalah penentu nyawanya sama ada berakhir atau kelangsungan untuk terus memimpin dan memerintah. Pertembungan akan menemukan soal percaturan dan soal mengira peti undi.
HARAM
Kembalinya UMNO hari ini kerana ahli-ahlinya sudah set-mind pada hari pertama selepas kekalahan besar menjadi pembangkang yang dinamik. Malah, menjadi check and balance yang kritis. Yang diperlukan UMNO ialah orang parti yang loyalist (pengikut setia), biarpun secara fakta sebilangannya sudah menyeberang.
Ahli-ahli UMNO menyedari perkara utama yang berjaya dihala tuju sebaik sahaja tumbang pada 2018 adalah parti keramat 76 tahun itu tidak diharamkan selepas memenuhi tuntutan bermesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian seluruh negara.
Kekuatan sesebuah parti bergantung kepada kesetiaan dalam perjuangan – yang tidak berbelah bahagi sama ada waktu senang waima pada waktu susah. Jangan lari waktu susah. Itu hanya menampakkan pegangan politik yang diperjuangkan sia-sia sahaja. Bahasa baiknya – bukan satu langkah terpuji.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah bersuara soal survival Muafakat Nasional (MN). Pas, kata beliau, bebas untuk menggunakan lambangnya sendiri jika parti itu memilih untuk bekerjasama dengan BN dan UMNO.
Isu kerjasama dengan Bersatu, ini bukan masanya untuk pemimpin-pemimpin tertentu dalam UMNO menambat hati musuh. Bukankah UMNO telah menerima penangan ‘tidak setia, penuh muslihat dan menikam persahabatan yang terjalin’?
Kepada Pengarah Pilihan Raya BN-UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, ini adalah masanya untuk melihat kematangan Datuk Seri mengemudi jentera perang. Askar-askar parti akan melihat tindak-tanduk Tok Mat nanti selaku sifatnya akan berjuang di medan paling hadapan.
Kepada kepimpinan 191 bahagian UMNO seluruh negara, masing-masing harus berlapang dada dan berjiwa besar soal pemilihan calon PRU15. Seandainya calon dipilih di luar kepimpinan bahagian pun, mereka harus akur dengan kriteria ‘WALI’ ditetapkan UMNO iaitu boleh menang, diterima dan disukai komuniti.
Demikian juga kriteria dan syarat sama harus diterima oleh tiga lagi parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). BN tidak memerlukan calon kabel tetapi calon perlulah ada ciri ‘WALI’ iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disukai).
Tidak kisah mana parti komponen yang bertanding. Tiada lagi kerusi tradisi untuk mana-mana parti komponen tetapi yang ada adalah calon bercirikan ‘WALI’. Kemenangan BN diutamakan.
Dengan komitmen Presiden UMNO mempersetujui pemilihan calon UMNO juga harus disepakati dalam kalangan lima kepimpinan teratas menandakan BN tidak memandang enteng cabaran dan tentangan yang bakal dihadapi daripada parti-parti pesaing. Pemilihan calon pasti ketat.
UMNO perlu perkuatkan jentera parti. Saf perjuangan mesti bergerak sederap. Segala mata, bukan sahaja orang politik waima rakyat Malaysia kini tertumpu kepada Ismail Sabri – kuasa dan senjata besar membubarkan Parlimen di tangan Perdana Menteri. – UTUSAN
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.











