Hormati batas kuasa kerajaan sementara - Utusan Malaysia

Hormati batas kuasa kerajaan sementara

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) wajar diberikan ruang secukupnya untuk menguatkuasakan konsep kerajaan sementara ini bagi kebaikan rakyat keseluruhannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAIK sahaja Parlimen dibubar, maka kerajaan yang mentadbir negara bertukar kepada status kerajaan sementara atau caretaker government. Situasi ini berlaku kerana Perdana Menteri dilantik melalui mandat yang diberikan melalui kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Apabila anggota Dewan Rakyat tidak lagi wujud akibat pembubaran Parlimen, maka kedudukan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak lagi sama dengan keadaan biasa.

Sewaktu kerajaan sementara, anggota Kabinet tidak tertakluk kepada pertanggungjawaban Dewan Rakyat, maka, kuasa mereka perlu dihadkan. Anda mungkin masih tertanya-tanya apa maksud sebenar kerajaan sementara?

Apa pula bezanya kerajaan sementara dengan kerajaan yang sedia ada sekarang? Secara umumnya pelaksanaan kerajaan sementara tidak melibatkan perubahan organisasi, tetapi ia melibatkan perubahan fungsi.

Dalam tempoh ini, kerajaan hanya menjalankan tugas-tugas asasi seperti menjaga keamanan dan menguatkuasakan undang-undang, serta memantau pelaksanaan tugas harian jentera kerajaan sehinggalah pilihan raya umum (PRU) dapat berjalan dengan jayanya.

Oleh itu, kerajaan sementara tidak boleh mengemukakan dasar baharu, membuat pelantikan ke jawatan penting dan membuat perjanjian yang besar dengan pihak luar.

Sebenarnya konsep kerajaan sementara ini terbina di atas tiga prinsip iaitu: (a) konsep amalan pertanggungjawaban dalam sistem demokrasi berparlimen seperti yang dijelaskan di atas; (b) keperluan untuk melaksanakan pilihan raya yang adil di mana semua parti mempunyai peluang dan ruang yang seimbang; (c) prinsip amalan berkerajaan yang telus, amanah dan bersih dari salah guna harta, tenaga dan sumber milik awam untuk kempen politik.

Ketiga-tiga prinsip ini amat penting dalam sebuah negara demokrasi. Tanpa amalan kerajaan sementara, berlakulah pencabulan demokrasi, pilihan raya yang berat sebelah dan penyelewengan sumber awam.

Oleh yang demikian, kerajaan sementara perlu memastikan pemisahan antara entiti kerajaan dengan parti politik. Jentera kerajaan di semua peringkat tidak boleh terlibat dalam kempen politik kepartian.

Penjawat awam tidak boleh diarahkan untuk menguruskan program yang boleh ditafsirkan sebagai bertujuan untuk meraih sokongan politik dalam tempoh ini. Malah, premis milik kerajaan serta media kerajaan hanya boleh digunakan jika semua parti mendapat peluang untuk memanfaatkannya secara adil.

Ini bermakna pemimpin kerajaan, baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri-negeri hanya boleh berkempen atas kapasiti parti bukannya atas jawatan kerajaan.

Program-program kerajaan di semua peringkat perlu dikurangkan setakat yang boleh bagi mengelakkan salah guna jentera atau program kerajaan untuk mendapat pengaruh politik.

Prinsip ini berdiri di atas logik bahawa program dan sumber kerajaan adalah milik awam dan ia tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan persendirian, iaitu calon-calon pilihan raya.

BERTULIS

Kaedah ini sebenarnya dapat dilaksanakan dengan jayanya di negara-negara demokrasi berparlimen lain. Kebanyakannya dikuatkuasakan secara konvensyen atau amalan biasa tanpa diikat dengan peraturan bertulis.

Namun, ada juga negara yang mengemukakan garis panduan bertulis bagi memudahkan pelaksanaannya. Kerajaan Australia dan New Zealand contohnya mengeluarkan dokumen rasmi bagi menguatkuasakan amalannya secara terperinci. Panduan ini amat sesuai untuk menjadi rujukan bagi pengamalannya di Malaysia.

Kerajaan Bangladesh pula menetapkan secara rasmi penubuhan kerajaan sementara di dalam Perlembagaannya. Menurut amalan di negara itu, apabila Parlimen dibubarkan kerajaan yang sedia ada turut terbubar dan satu kerajaan sementara ditubuhkan di bawah pentadbiran Majlis Penasihat Khas yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara.

Ini bermakna pelaksanaan kerajaan sementara di Bangladesh bukan sahaja melibatkan perubahan fungsi kerajaan, bahkan ia melibatkan perubahan organisasi.

Demikianlah betapa terkedepannya negara-negara lain dalam usaha untuk memastikan pilihan raya berjalan tanpa salah guna kuasa oleh parti pemerintah.

Rakyat perlu yakin bahawa konsep ini sama sekali tidak menyebabkan negara tidak stabil. Jentera kerajaan akan terus berjalan seperti biasa tanpa sekatan.

Bahkan rakyat akan lebih selesa dan beruntung kerana hak mereka tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi ahli-ahli politik. Bahkan orang ramai sepatutnya mengambil langkah proaktif dengan memantau perjalanan kempen dan melaporkan salah guna harta kerajaan (sebenarnya harta rakyat) dalam kempen pilihan raya nanti.

Situasi politik semasa memberikan harapan yang cerah agar konsep ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik berbanding musim PRU yang lalu. Selain itu, diharap pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar diberikan ruang yang secukupnya untuk menguatkuasakan konsep kerajaan sementara ini bagi kebaikan rakyat keseluruhannya.

Peneraju pentadbiran agensi kerajaan setiap peringkat pula perlu mengambil pendirian tegas agar jentera dan aset kerajaan tidak disalahgunakan untuk kepentingan kempen pilihan raya. Program dan aktiviti anjuran kerajaan pula perlu dibuat atas keperluan rakyat, bukannya untuk manfaat pemimpin atau parti politik.

Pihak penganjur perlu mengutamakan pemimpin dari kalangan pentadbiran awam dan mengelakkan jemputan dari kalangan tokoh politik bagi program-program kerajaan.

PRU15 ini adalah peluang yang sangat baik untuk membina budaya politik yang lebih sihat dengan melaksanakan sebaik-baiknya konsep kerajaan sementara.

Tentunya kita mahu menyaksikan demokrasi di Malaysia ini terus subur dengan menjanjikan persaingan adil dalam suasana yang harmoni dan damai. – UTUSAN

DR. Muhammad Fathi Yusof ialah Profesor Madya di Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UTMKL).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×