Berjiwa besar demi pendidikan negara - Utusan Malaysia

Berjiwa besar demi pendidikan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK pernah berlaku di dalam sejarah pendidikan negara satu peristiwa yang mana seluruh rakyat bangun menyuarakan pandangan mereka membantah tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) sebagaimana yang berlaku pada minggu lalu, dalam kes Cikgu Fadli Salleh.
Malah ketika bantahan pelaksanaan PPSMI, bantahan sekolah vernakular atau isu pemansuhan UPSR dan PMR pun masyarakat terbahagi kepada dua kumpulan, ada yang menerima dan ada membantah. Tetapi bagi isu Cikgu Fadli, seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan aliran politik menyuarakan pandangan membantah tindakan KPM.
Menarik bila diteliti bagaimana seluruh rakyat memberi respons kerana mereka merasakan sistem pendidikan negara seharusnya berlaku adil pada guru tersebut. Sebagaimana kita semua maklum, kes cikgu Fadli telah selesai dengan baik apabila pihak KPM memutuskan beliau dibebaskan daripada sebarang dakwaan salah laku. Beberapa perkara boleh dijadikan pengajaran daripada peristiwa ini sebagai pedoman kita pada masa hadapan.
Pertama, kita harus memahami keadaan sistem pendidikan negara kita sekarang masih terlalu berpusat (centralised) sehingga menyebabkan tidak wujudnya hubungan harmoni, saling lengkap-melengkapi dari segi penyampaian idea antara pihak pengurusan pendidikan dan pihak pelaksanaan pendidikan.
Amalan yang terlalu berpusat ini sebenarnya telah dilazimkan dalam sistem pendidikan negara sejak era penjajahan. Jika kita meneliti bahan-bahan bacaan berkaitan bagaimana penjajah British menguruskan sistem pendidikan negara kita, penjajah sangat cenderung melakukan pengurusan pendidikan secara autokratik dari atas ke bawah tanpa mengambil kira pandangan orang bawah. Malah di dalam keadaan yang lebih ekstrem, penjajah melihat pandangan dan kritikan dari pihak pelaksana pendidikan sebagai cubaan membangkang, menghasut, memboikot dan membenci pentadbiran penjajah.
Apabila kita merdeka, salah satu perkara yang harus kita sedari adalah kita sudah menjadi satu keluarga Malaysia yang saling memerlukan. Bagi sektor pendidikan, pihak pengurusan dan pihak pelaksana adalah satu keluarga besar yang mengendalikan sistem pendidikan negara.
Di bahu pihak pengurusan dan pelaksana, mereka diberikan amanah untuk menjayakan sistem pendidikan negara. Oleh itu, untuk memajukan sistem pendidikan negara pada masa kini dan masa depan seluruh agensi sektor pendidikan perlu melakukan anjakan cara fikir untuk membina pasukan pendidikan yang saling bergandingan dalam memberi pandangan untuk memastikan sistem pendidikan negara menjadi lebih baik.
Pengajaran yang kedua yang kita boleh ambil adalah menginsafi sebenarnya rakyat melihat bahawa pendidikan adalah sektor yang sangat penting dan dekat di hati mereka. Walaupun mungkin ada pandangan mengatakan rakyat semakin tidak ambil kisah dengan pendidikan negara dan menyerahkan seluruhnya kepada KPM, hakikatnya apa yang berlaku dalam kes ini jelas seluruh rakyat mengambil berat dan memberikan perhatian kepada pelaksanaan pendidikan yang adil dan menyokong mana-mana pihak yang berusaha untuk memajukan pendidikan negara walaupun ada ketikanya tindakan itu seperti mencabar kelaziman pelaksanaan pendidikan yang diwarisi daripada penjajah.
Pengajaran ketiga yang boleh kita petik dari peristiwa ini adalah undang-undang dan peraturan pendidikan yang diamalkan haruslah konsisten stabil dan dilihat adil oleh masyarakat. Apakah dengan hanya memberikan pandangan dan teguran secara terbuka itu adalah sesuatu tindakan salah, buruk dan cuba untuk menjatuhkan reputasi agensi atau kementerian terbabit?
Misalnya, adakah mengkritik berkaitan beg sekolah berat adalah sesuatu yang mencemarkan? Sedangkan isu ini lama dibincangkan dan diketahui umum. Malah pihak KPM telah pun mengakui isu ini dan mengambil usaha seperti menyediakan lokar dan juga menyusun semula jadual waktu persekolahan untuk memastikan beg menjadi lebih ringan. Begitu juga dengan isu silibus yang didakwa sebagai terlalu padat dan tinggi. Pihak KPM sendiri telah membuat pengakuan bahawa silibus akan dirombak dan bersedia mengambil input-input yang diberikan oleh guru-guru, pakar-pakar pendidikan dan juga ibu bapa.
Jadi apa yang cuba disampaikan oleh pelaksana pendidikan khususnya dalam kalangan guru sebenarnya adalah input-input yang sangat berguna kepada KPM di dalam memastikan isu-isu pendidikan dapat ditangani segera dan anak-anak akan mendapat pendidikan yang terbaik dan berkualiti.
Hikmah di sebalik peristiwa ini adalah seluruh rakyat kembali memberi perhatian kepada peri pentingnya keadilan pendidikan dilaksanakan di dalam negara kita. Semoga keprihatinan yang diberikan oleh masyarakat kepada sistem pendidikan negara akan berterusan dan secara aktif dapat memberikan sumbangan kepada pencapaian pendidikan yang lebih baik pada masa depan.
Sudah tiba masanya untuk negara kita mengamalkan nyahpusat atau desentralisasi pendidikan yang akan memberi lebih banyak kuasa autonomi kepada pihak sekolah untuk melaksanakan amalan pendidikan yang selari dan sesuai dengan keperluan setempat.
Apa yang berlaku kepada kes Cikgu Fadli adalah satu peristiwa yang memberi kesan tersendiri kepada pendidikan negara.  Semoga lebih ramai Cikgu Fadli yang akan lahir di negara ini dan terus memberi sokongan pandangan kepada usaha KPM menjadikan sistem pendidikan negara sebagai antara terbaik di dunia.
Mengambil contoh negara-negara maju, hasil pengurusan tertinggi pendidikan negara mereka sedia bekerjasama dengan baik dengan kesatuan guru-guru, ibu bapa, pihak industri dan juga masyarakat umum, sistem pendidikan negara mereka menjadi lebih baik, berkualiti dan inklusif.  Kita juga mempunyai impian dan harapan yang sama untuk memartabatkan sistem pendidikan negara. Semuanya bermula dengan hati yang lebih terbuka dan berjiwa besar.

Dr. Anuar Ahmad ialah Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.