Ahli politik kelompok paling dibenci - Utusan Malaysia

Ahli politik kelompok paling dibenci

AMAT mustahak ahli politik untuk tidak mempolitikkan sistem perundangan negara dengan menyerang badan kehakiman semata-mata bagi tujuan politik mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTANYAAN seorang ahli politik kanan tentang sebab golongan politikus di negara ini tidak disukai orang ramai, menimbulkan lebih banyak soalan untuk mereka daripada diberikan jawapan oleh rakyat.

Ia memperlihat betapa jahilnya ahli politik berkenaan dan golongannya itu atau itulah sifat umum ahli politik yang sememangnya tidak tahu malu untuk berpura-pura, termasuklah tentang perkara yang sudah terang lagi bersuluh.

Tidak dapat dinafikan, kini ahli politik kita bukan sahaja kelompok paling dibenci, mereka juga ikut dikeji habis-habisan. Ini kerana secara umumnya mereka didapati tidak lagi menjalankan tugas utama sebagai pembela nasib rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya, mereka hanya mementingkan diri sendiri selain parti politik mereka. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila kerenah jijik mereka terbongkar dengan sendirinya akibat kerakusan yang tidak tersembunyi lagi atau terhidu kerana sudah terlalu busuk sehingga tidak mampu disorokkan baunya lagi.

Dalil atas pelbagai strategi politik yang mahu dihalalkan itu, antaranya jajaran baharu dengan kesanggupan menjilat ludah sendiri, selain segala macam natijah sebenarnya adalah dalih politik semata-mata untuk keuntungan mereka sahaja.

Kepentingan rakyat jika ada hanya bersifat kebetulan semata-mata atau dirancang secara licik agar dalil, dalih ini kelihatan amat cakna rakyat sifatnya.

Dalam pada itu, dalil-dalil ini sering pula diperakui sebagai langkah positif oleh penganalisis politik yang memang berpihak kepada ahli politik ini.

Dengan ini, ia memberikan galakan kepada ahli politik terbabit untuk terus-terusan melakukan perkara jijik sebagai penyamaran kepada strategi kejayaan yang kononnya baik untuk rakyat, justeru kepada negara.

Seperkara lain ialah ahli politik tidak sepatutnya menyerang sistem kehakiman negara apabila keputusan mahkamah tidak memihak kepada parti mereka dalam kes yang dihadapi.

Sebaliknya, sementara menunggu pengakhirannya yang muktamad setelah melalui segala proses yang ada, mereka hendaklah menerimanya dengan penuh kehormatan diri, yakni bersedia menerimanya pada masa ini dengan tenang untuk dicabar secara perundangan sehingga proses terakhirnya.

Ini penting sekali agar sistem perundangan negara dan sama pentingnya sistem politik kita bukan sahaja terus-terusan berada dalam keadaan utuh, tetapi juga tidak sesekali menjejaskan citra negara, baik dari dalam negara sendiri dan lebih penting lagi dari luar negara.

Oleh itu, amat mustahak bagi ahli politik untuk tidak mempolitikkan sistem perundangan negara dengan menyerang badan kehakiman semata-mata bagi tujuan politik mereka.

SEMPIT

Sehubungan ini, mereka hendaklah segera berhenti daripada melanggani politik sempit, iaitu kegiatan yang berkisar hanya pada diri sendiri, parti atau gabungan politik mereka dan kerajaan yang dibarisi ahli politik dan parti atau gabungan politik tertentu.

Politik sempit ini hanya akan mewujudkan suasana mementingkan diri sendiri dan sisi politik dangkal yang menjadi paksi kepada banyak perkara dilakukan.

Sebaliknya mereka hendaklah memberi tumpuan bersungguh-sungguh kepada politik yang tidak lagi ditakrifkan secara sempit itu. Dalam hal ini, ia boleh merupakan kegiatan yang mahu memastikan sistem sosial negara selalu menitikberatkan cara terbaik untuk terus menyatupadukan rakyat.

Ini sudah tentu jauh lebih baik daripada percaturan politik perkauman yang diamalkan ahli politik yang sempit pendekatan mereka. Sebetulnya, kita sebagai rakyat waras hendaklah memulakan gerakan untuk mengutuk keras, selain tidak lagi akan memilih ahli politik yang beraliran politik sempit.

Sebaliknya, kita hendaklah memilih ahli politik yang selalu mementingkan kebajikan rakyat dan kemakmuran negara dalam perjuangan mereka. Untuk ini, kita bukan sahaja hendaklah mengutuk keras, tetapi juga mengambil tindakan terhadap ahli politik rakus yang gemar mengangkat isu perkauman, selain yang berkepentingan politik sempit.

Dalam pada ini, ahli politik yang bukan sahaja kelihatan, tetapi memang betul-betul mementingkan diri sendiri selain parti atau gabungan politik mereka pada setiap kesempatan yang ada, hendaklah dipastikan rakyat bahawa mereka ini tiada tempat lagi dalam politik negara setelah berlaku pemilihan nanti.

Walaupun bukan semua ahli politik rakus, tetapi kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. Namun, bagi yang gemar melompat parti yang tidak dapat dinafikan adalah perangai buruk dan yang mengkhianati parti dan gabungan politik mereka yang terang-terangan adalah penjahat, mereka ini selain amat tidak bermaruah lagi, sebenarnya sudah tiada apa-apa jua integriti walau sekelumit pun pada mereka untuk terus disokong rakyat lagi.

Negara kini berada dalam kancah kehancuran. Ia sebenarnya kerana kerenah ahli politik yang mengamalkan politik sempit sahaja, yang telah menyebabkan keadaan sangat tidak stabilnya politik negara untuk sudah sekian lama.

Ia yang mempunyai dampak besar dari segi ekonomi, khususnya pelaburan asing secara langsung yang amat rendah kini, hendaklah dihentikan dengan penyingkiran kesemua ahli politik rakus ini yang sebenarnya antinasional sekali sifat politik mereka. Kehadiran mereka lagi selepas ini akan pasti menjahanamkan Malaysia dalam waktu singkat sahaja.

Apabila ini berlaku, ia adalah kesalahan besar kita yang terus mahu memilih mereka. Oleh itu, pastikan mereka ini bukan lagi sebahagian daripada arena politik negara untuk tujuan pemulihan cepat lagi mangkus (mujarab). – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×