Ada berapa ‘nyawa’ seorang politikus? - Utusan Malaysia

Ada berapa ‘nyawa’ seorang politikus?

Ahli parti MUDA memegang batu nisan sebagai gimik bantahan tindakan mengadakan pilihan raya umum pada musim tengkujuh yang diadakan di ibu kota, baru-baru ini. – MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAK lama lagi, akan ada adegan bergotong-royong, mengunjungi rumah orang tua yang uzur dan susah, berjanji manis dan kembali cuba ‘membeli’ jiwa rakyat.
Yang tak pernah masuk bendang, akan singsing seluar turun ke bendang. Yang tak pernah potong rumput, akan potong rumput dan yang tak pernah cuci bangunan sekolah atau masjid, masa itu bukan main rajin, walaupun kekok.
Lima tahun dulu pun begitu. Tetapi itu sekali sajalah, selepas itu wajah orang yang menziarah dan buat kerja-kerja kampung serta pembersihan itu hanya nampak dalam televisyen, media sosial atau akhbar.
Petang Isnin lalu, belum habis saya menonton pengumuman pembubaran Parlimen di televisyen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, masuk mesej dalam aplikasi WhatsApp saya tentang pemberitahuan tarikh penamaan calon dan hari pengundiaan yang tidak tahu dari mana sumbernya.
Cepat betul ada pihak yang mengambil ‘kerja-kerja’ Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Walhal suruhanjaya tersebut hanya akan bermesyuarat untuk menentukan tarikh berkenaan, pada Khamis ini.
Itu baru bubar, belum masuk lagi fasa penamaan calon, tempoh berkempen dan mengundi. Semakin banyak lagilah maklumat dan berita tidak sahih bertebaran dalam media sosial. Ramai yang hendak tunjuk pandai, tahu semuanya dan mahu menjadi orang pertama mendapat maklumat.
Dalam pada itu, begitu pantas juga warganet buat kerja mengadakan beberapa undian online di Twitter. Siapa yang paling popular dalam undian menjadi Perdana Menteri (PM). Macam tak percaya pula pemimpin yang dikatakan susah sangat nak jadi PM itu mendapat undian paling tinggi.
Masih saya ingat semasa saya dan beberapa wartawan Mingguan Malaysia menemu bual beliau pada tahun lalu, saya bertanyakan kepadanya – Nampak macam susah nak jadi PM dengan halangan dan ‘permainan politik’ serta sekarang faktor usia pula tetapi beliau tetap optimis dan bersemangat dengan menjawab – “Bukan tak jadi … tapi belum lagi.”
Tetapi itulah, kita jangan tutup mata dengan apa-apa yang bermain dalam media sosial. Bacaan dan kemarahan orang ramai dalam media sosial, adalah petanda kepada kekalahan mana-mana parti.
Masih ingat lagi dalam PRU14, bagaimana pemimpin-pemimpin BN ketika itu menganggap ‘bising-bising’ di media sosial tidak bermakna rakyat tidak menyokong mereka. Ada ramai lagi bersama mereka yang ‘tak main’ Facebook atau Twitter dan akhirnya sindrom penafian itu larut sehingga memakan diri.
Pun begitu, tak ada maknanya jika hanya mengundi di Twitter tetapi pada hari pengundian sebenar, dia tidak pergi mengundi hanya heboh ‘berkicau’ di media sosial. Selepas itu, parti yang dia sokong tewas, dia bising-bising lagi di media sosial dalam tempoh lima tahun lagi. Begitulah seterusnya.
Dalam pada itu, kita juga tidak boleh menafikan bahawa permainan persepsi juga banyak membantu parti lawan. Biarpun penjelasan dan fakta telah diberikan, ada waktunya ia tidak dapat menandingi maklumat-maklumat tidak sahih.
Belajarlah daripada PRU14. Kemarahan orang ramai di media sosial diterjemahkan di kertas undi. Mana-mana parti politik pun tidak boleh mendakwa merekalah yang paling bagus dan mendapat banyak sokongan ketika ini. Seorang kawan menghantar kepada saya empat gambar yang dikatakan bakal menjadi PM selepas PRU15 jika parti politik mereka menang.
Soalnya kepada saya, tak ada muka lain lagi ke? Asyik pemimpin lama yang sama. Apa pilihan yang rakyat ada?
“Rakyat berkuasa untuk memilih. Bunyi memang seronok. Ada kuasa. Tapi kita tak ada pilihan. Tiga-tiga ini tak boleh pakai,” katanya.
Apa pun pendapat, keras atau kasar bahasa rakyat dalam menilai mana-mana pemimpin, ia adalah pengalaman silam bagaimana mereka dilayan apabila mandat telah diberikan.
Tapi pada saya dan juga kebanyakan orang pasti setuju bahawa, hendak memilih seorang PM bukan macam memilih ahli jawatankuasa kampung atau penduduk. Kenalah yang berwibawa, berintegriti, tidak terpalit dengan rasuah, mahir dalam semua bidang terutamanya ekonomi dan turut dihormati serta dikenali pemimpin dunia. Ini hal ayam pun terkial-kial nak selesaikan. Susahlah begitu.
Sudah tentunya hal-hal berkaitan kenaikan harga barang, kos sara hidup dan isu gaji paling rendah adalah isu yang memberi luka yang dalam kepada rakyat marhaen. Pada masa sama, tentunya isu-isu ini akan dibawa oleh dalam manifesto parti politik. Merekalah pejuang rakyat. Faham sangat kesusahan rakyat. Segala-galanya untuk rakyat.
Tetapi itulah, rakyat pun sudah ‘terkena’ dengan manifesto bukan janji dalam PRU14. Cakap tak serupa bikin, tindakan menteri-menteri yang tidak mencerminkan kebijaksanaan, akhirnya memberi imej yang buruk kepada parti politik itu.
Tentunya, rakyat tidak mahu terkena sekali lagi. Kalau pisang berbuah dua kali, ada juga buahnya boleh dimakan atau dijual tetapi ini sekadar modal air liur, janji kosong dan janji manis, tentu ramai yang sudah serik.
Dan kini pengundi muda berusia 18 tahun ke atas sudah boleh mengundi. Kalau yang masih leka, sebenarnya ada parti politik yang sudah mendekati pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi di seluruh negara sejak awal lagi atas tiket kerja-kerja amal dan sosial. Mereka ini tidak tunggu parlimen bubar baru mahu menjalankan gerakan mempengaruhi golongan muda. Mereka laju buat kerja, mengatur strategi yang bijak dengan memahami kehendak dan harapan orang muda. Orang muda ini, selalunya straightforward saja. Apa yang nampak serabut dan meragukan, mereka tak sokong.
Tetapi itulah, ada yang meremehkan gerakan seperti ini. PRU15 akan menyaksikan sebahagian besar daripada 21 juta pengundi ialah pengundi muda. Bersedialah dengan ‘buah tangan’ anak muda yang akan mencorak dimensi politik beberapa hari lagi.
Ada yang berkata, apa yang kita dapat kalau pergi mengundi? Siapa pun yang memerintah, kita tetap begini. Bergelut dengan kos sara hidup, anak ada ijazah tapi gaji RM1,500, ahli politik buat salah lambat masuk penjara, rakyat marhaen curi beras sekampit sekejap saja di penjara, macam-macam bil kena bayar bulan-bulan, nak hadap kerenah birokrasi perkhidmatan awam dan macam-macam lagi.
Hakikatnya, antara pengalaman, layanan dan persepsi, rakyat akhirnya yang menentukan nasib pemimpin dan parti politik. Rakyat yang memberi mereka nyawa untuk berkhidmat atau meneruskan pembohongan dan rakyat juga mengakhiri kerja politik mereka. Berapa ‘nyawa’ orang politik ada? Rakyat yang tentukan jumlahnya.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.