Rakam sejarah bahasa dengan tinta emas

Rakam sejarah bahasa dengan tinta emas

ISMAIL Sabri Yaakob mengangkat martabat bahasa Melayu di UNGA, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH keramat 23 September 2022 menandai lembaran bersejarah bagi bahasa Melayu dan negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakam sejarah bahasa Melayu dengan tinta emas.

Untuk kali pertama sesudah 65 tahun negara merdeka dan menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bahasa Melayu digemakan oleh pemimpin tertinggi negara di PBB.

Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta seluruh warga kerjanya yang memegang amanah menjaga maruah dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan setinggi-tingginya kepada Ismail Sabri atas ketegasannya mengangkat bahasa negara di pentas dunia. Lebih-lebih lagi di Perhimpunan Agung PBB, forum tertinggi dunia. Semua pejuang bahasa dan rakyat turut memberikan penghargaan yang sama.

Stesen penyiaran milik kerajaan seperti RTM dan media-media lain di negara ini patut menyiarkan ucapan Perdana Menteri kita di PBB itu seluas-luasnya sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada langkah mulia dan terpuji beliau. Institusi pendidikan, baik sekolah mahupun institusi pengajian tinggi dan semua jabatan kerajaan perlu berbuat langkah sama agar semangat patriotisme yang ditampilkan oleh Perdana Menteri dihayati dan diteladani oleh semua warganegara.

Malah semua media patut menyediakan ruangan khas untuk membolehkan seluruh lapisan rakyat menyampaikan pernyataan tahniah dan penghargaan kepada Perdana Menteri sebagai adiwira negara.

Semua pemimpin lain di peringkat Persekutuan, negeri dan badan berkuasa awam wajib menyusuli langkah mulia Perdana Menteri dengan berucap dalam bahasa negara di semua majlis dan forum di negara ini dan peringkat antarabangsa. Jangan ada yang bersikap dingin dan tidak menyertai Perdana Menteri (apatah lagi bercanggah) dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Demikian juga semua penjawat awam, pemimpin institusi pengajian ilmu, pemimpin korporat dan semua pihak lain mesti menyokong pendirian dan langkah terpuji Perdana Menteri dan turut melaksanakannya.

Tidak ada alasan sesiapa pun di negara ini untuk meremehkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bidang lain.

Bahasa Melayu dipilih menjadi bahasa kebangsaan sebagai asas jati diri dan perpaduan rakyat berbilang kaum. Penggunaan dan pengajaran bahasa lain tidak dilarang dalam bidang di luar urusan rasmi.

Menurut Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan, tiga lapis pentadbiran negara wajib menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, iaitu Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

KESULTANAN MELAYU

Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi menjadi asas kecekapan dan keberkesanan jentera pentadbiran negara. Bayangkan kecelaruan yang berlaku jika lebih daripada satu bahasa digunakan dalam urusan pentadbiran negara? Sampai saatnya semua penjawat awam berusaha menggunakan bahasa Melayu semaksinumnya dalam pentadbiran negara. Tidak wajar lagi mesyuarat berlangsung dalam bahasa asing atau dalam bahasa yang bercampur-baur.

Dalam bidang pendidikan, penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa utama pengajian menjadi asas pendemokrasian pendidikan melalui penggunaan bahasa penghantar yang sama.

Tidak berlaku keadaan dua darjat dalam pemerolehan ilmu dan peluang kerjaya bagi anak didik. Dalam bidang lain seperti undang-undang, ekonomi dan di tempat awam, penggunaan bahasa Melayu mempunyai erti penting. Undang-undang yang diungkapkan dan dilaksanakan dalam bahasa Melayu mewakili pandangan sarwa dan budaya negara. Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi memberikan nilai tinggi kerana ekonomi menjadi asas kehidupan mana-mana bangsa.

Dalam hal Ini, wujudnya ratusan warkah dan perjanjian perdagangan dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi dalam zaman Kesultanan Melayu pada abad 15 hingga 19 Masihi membuktikan Melayu sebagai bahasa perdagangan sedunia. Pengembalian semula taraf itu mesti diusahakan.

Di peringkat antarabangsa, usaha DBP sejak 1980-an berjaya meningkatkan martabat bahasa dan pengajian Melayu di dunia. Terdapat lebih 100 institusi pengajian ilmu di Amerika Utara, Eropah, Asia Timur, Asia Tengah dan Oceania dan beberapa wilayah lain yang mempunyai pusat pengajian Melayu. Perkembangan pesat bahasa Melayu di China misalnya, membuktikan penerimaan negara luar kepada bahasa Melayu. Kini 13 universiti di negara itu menawarkan program ijazah bahasa Melayu selain kursus untuk bidang perniagaan dan kolej yang menawarkan program diploma bahasa Melayu selama tiga tahun.

Dengan adanya Program Diplomasi Budaya yang menjadi antara bahagian penting dalam Kerangka Dasar Luar Negara yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Disember lalu, usaha mengangkat bahasa Melayu di peringkat antarabangsa mempunyai laluan yang terbuka luas. Syaratnya ialah perancangan dan pelaksanaan yang tekal dan berterusan oleh semua pihak, baik Kementerian Luar Negeri, khususnya perwakilan diplomatik Malaysia sedunia dengan dukungan DBP, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan kementerian serta agensi berkaitan dengan hubungan antarabangsa. – UTUSAN

PROFESOR Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) dan Pengarah Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya