KETERLIBATAN semua peringkat pengurusan sama ada ketua pegawai eksekutif, pengurus besar atau ahli lembaga pengarah adalah penting bagi membantu mewujudkan sebuah organisasi berintegriti dalam menjalankan perniagaan dan bersikap telus dalam proses membuat keputusan. Selari dengan ini, kepimpinan organisasi komersial hendaklah mempunyai komitmen yang tinggi bagi melaksanakan program pematuhan antirasuah bagi mencapai tatacara mencukupi.
Peruntukan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Pindaan 2018) yang berkuat kuasa 1 Jun 2020 bertujuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang adil, bersih dan bebas rasuah; menggalakkan organisasi komersial melaksanakan usaha pencegahan rasuah dalam organisasi; serta mempromosikan tadbir urus baik dan pematuhan undang-undang pencegahan rasuah.
Pada dasarnya di bawah Seksyen 17A, organisasi komersial perlu bertanggungjawab dan boleh dikenakan hukuman jika pekerja atau pihak bersekutu dengannya terlibat dalam jenayah rasuah. Pembelaan yang boleh digunakan sekiranya dipertuduh di bawah Seksyen 17A adalah pembuktian ‘tatacara mencukupi.’
Namun, persoalan yang sering dibincangkan dalam kalangan kepimpinan sesebuah organisasi komersial adalah sejauh mana tatacara mencukupi benar-benar dikira ‘mencukupi’ bagi membuktikan kepada pihak berkaitan bahawa mereka telah melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya dan mematuhi tatacara tersebut?
Sehubungan itu, rujukan boleh dibuat ke atas Garis Panduan Tatacara Mencukupi yang dikeluarkan oleh kerajaan selaras dengan subseksyen (5) Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang menggariskan lima prinsip utama boleh dijadikan asas rujukan oleh organisasi komersial untuk melaksanakan apa-apa polisi, prosedur dan langkah kawalan bersesuaian.
Dalam melaksanakan tatacara mencukupi, organisasi komersial boleh mempertimbangkan penggunaan audit luar. Contohnya, audit MS ISO 37001 bagi mendapatkan kepastian bahawa operasi organisasi mematuhi dasar dan prosedur berkaitan antirasuah. Antara langkah penilaian yang boleh dilaksanakan adalah pensijilan ISO 37001: 2016
Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa merupakan satu sistem kawalan dalaman sesebuah organisasi secara sukarela bagi mengesan, mencegah, mengendalikan, menguatkuasakan, menilai serta menambah baik langkah pengurusan antirasuah secara berkesan.
MODUL KURSUS
Sehubungan itu, lembaga pengarah bagi sesebuah organisasi komersial harus menunjukkan komitmen terhadap ABMS yang telah dibangunkan dengan:
Meluluskan polisi antirasuah organisasi;
Memastikan strategi dan polisi antirasuah adalah selari;
Menerima dan mengkaji maklumat pada selang waktu yang dirancang mengenai pengoperasian sistem pengurusan antirasuah;
Memerlukan penugasan sumber yang mencukupi dan sesuai untuk program pematuhan; dan
Menjalankan pengawasan yang wajar terhadap sistem pengurusan antirasuah organisasi.
Dalam memastikan sistem pengurusan antirasuah dilaksanakan dengan terancang dan berkesan, kepimpinan sesebuah organisasi haruslah juga memastikan fungsi pematuhan antirasuah dikendalikan oleh individu (seperti pegawai atau unit integriti dan governans) yang memiliki kompetensi, status, kewibawaan dan kebebasan sesuai.
Sesungguhnya, pelbagai inisiatif di peringkat kerajaan telah dilaksanakan untuk menggalakkan aktiviti perniagaan dijalankan dengan berintegriti, tanpa rasuah dan mempromosi amalan tadbir urus baik. Antaranya menerusi usaha Institut Integriti Malaysia (IIM) membangunkan Manual Latihan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dan Tatacara Mencukupi pada 24 Jun lalu.
Manual ini bertujuan membantu organisasi komersial termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang mempunyai sumber terhad untuk memahami keperluan terhadap Seksyen 17A Akta SPRM 2009 bagi membendung gejala rasuah.
IIM juga membangunkan dan akan melancarkan modul kursus Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) pada 14 September ini mengikut standard antarabangsa yang diamalkan oleh sektor swasta. Modul kursus CISM merupakan projek kerjasama antara IIM bersama SPRM, Transparency International Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Bursa Malaysia Berhad. Ia memberi penekanan kepada tujuh inisiatif iaitu kepimpinan, kod etika, polisi mengenai pencegahan rasuah, pengurusan risiko rasuah, latihan dan komunikasi, penilaian prestasi dan pelaporan pencegahan rasuah.
Kesemua pendekatan baharu yang diperkenalkan ini adalah komitmen padu dan semangat berpasukan yang tinggi agensi awam dan swasta untuk berganding bahu dengan IIM bagi mencapai aspirasi negara menerusi usaha sama berterusan dan secara kolektif di antara semua pihak dalam merealisasikan pencapaian matlamat Pelan Antirasuah Nasional (NACP).
Komitmen ini juga merupakan pendekatan dan penambahbaikan baharu IIM dalam usaha memperkasakan lagi landskap ekosistem integriti negara. – UTUSAN
DATUK Wan Suraya Wan Mohd. Radzi ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM).