Kenali pemimpin merdeka jiwa raga - Utusan Malaysia

Kenali pemimpin merdeka jiwa raga

WALAUPUN penjajahan sudah lama terkubur dari negara ini, sedihnya kita terus dilemahkan oleh petualangan ala penjajah, musuh dalam selimut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM bahasa Inggeris, terdapat perbezaan antara istilah boss (bos) dan leader (pemimpin). Dengan kata lain, bos bukan setaraf dengan pemimpin! Rata-rata taraf seorang pemimpin dianggap lebih tinggi dan terhormat berbanding bos.

Misalnya, pemimpin sering dikaitkan dengan peranan menginspirasi, berpegang kepada matlamat yang lebih murni serta tinggi makamnya bukan yang agak remeh serta sempit sifatnya. Ini terkesan dalam perkataan bossy (suka mengarah) – yakni lebih mementingkan kedudukan dan kuasa daripada kebaikan dan kesejahteraan. Mengarah itu dan ini sekehendak sahaja.

Jika tidak pasti akan ada padahnya. Malah sesiapa sahaja boleh bersikap demikian dan menjadi bossy. Pemimpin juga ada yang bossy – bermaksud kepemimpinannya tidaklah seberapa untuk diteladani. Mirip seorang bos!

Oleh itu, seorang pemimpin yang jitu amat dihormati dan disegani ramai, baik setempat mahupun antarabangsa. Apatah lagi para pengikutnya berpegang kepada prinsip yang sama dan tidak mempunyai kepentingan diri serta mengambil kesempatan.

Dalam kalangan masyarakat jelata, rakyat lebih sering mengharapkan seorang pemimpin yang bukan sahaja berwibawa tetapi tulus ikhlas. Jujur dan sopan. Tidak bossy atau mendahului diri sendiri, dan tidak pula menggunakan khalayak untuk pencatuan kelompok atau memilih bulu!

Maka pemimpin menekankan hal-hal perubahan besar, bos hanya sekadar kecil-kecilan melainkan ia mendapat habuan untuk diri serta kelompoknya. Sedangkan pemimpin mendampingi rakyat dan menjiwai derita mereka, bos sekadar mendengar sahaja dan tidak terpanggil memberi bantuan sepenuh jiwa raga apalagi jika tiada laba melimpah kepadanya.

Pemimpin lazim turun padang untuk memahami dari dekat apa yang berlaku sebenarnya tanpa riuh-rendah melalui laporan media dan pelbagai lain, bos sebaliknya. Kadangkala diupah dan dikerah untuk mendapat lantunan media, walaupun palsu dan untuk tontonan sandiwara belaka.

Ini terbukti daripada pelbagai kajian yang menunjukkan perbezaan ketara antara bos dengan pemimpin. Antaranya, pertama, bos memaksa peraturan kepada yang lain, pemimpin mengamalkan dan memantaunya.

Kedua, bos mencari penyelesaian mudah dan popular, pemimpin untuk jangka panjang dan yang mencabar. Ketiga, bos mengarah kerja kepada yang lain, pemimpin bekerjasama dengan mereka.

Keempat, bos menganggap dirinya seorang ‘pakar’, pemimpin tidak begitu – rendah diri dan sedia belajar daripada sesiapa sahaja. Kelima, bos menyekat hubungan, pemimpin memberi ruang dan sedia berbincang.

Keenam, bos melangkah berasas nombor dan angka sebagai penunjuk utama, pemimpin berteraskan nilai dan prinsip yang kental. Ketujuh, bos kurang memupuk diri (kerana sudah hebat), pemimpin sentiasa membina masa hadapan serta masyarakatnya.

SOMBONG

Tidak syak lagi, oleh itu ramai para pengamal menggesa bahawa pemimpin perlu berpaut kepada nilai-nilai sejagat yang merangkumi semua tanpa mengira kaum dan suku, agama dan kepercayaan, apatah pilih kasih atau bersekongkol.

Mereka tidak rakus, tidak juga tamak haloba dan sombong. Maruah, jati diri, moral serta etika adalah garisan yang tidak akan direntasi baik dalam apa keadaan sekalipun.

Amanahnya jelas dan kuat. Maka, rasuah dan tumbuk rusuk tidak langsung menjadi amalan. Kalaupun berlaku, ia hanya kecil-kecilan untuk menyambung sara hidup umumnya. Bukan untuk berbangga dengan mahligai dan pungutan harta kekayaan yang tiada berkesudahan untuk menunjuk-nunjuk.

Halal haram tiada kisah asalkan dapat diperagakan kepada dunia dengan bongkak. Jiwa kosong tidak mengapa, asalkan saku dipenuhi apa sahaja yang muat.

Hal-hal ini boleh dan pernah menghantui para pemimpin, terutama apabila hilang pertimbangan kerana kelunturan nilai yang dipegang dan lupa daratan, bertindak umpama kaduk naik junjung.

Tidak lagi kenal rasa malu sebagai satu benteng penting untuk menyelamatkan maruah serta jati diri. Malangnya, kebelakangan ini bertambah ramai yang terjebak sedemikian rupa, menconteng arang di muka sendiri. Dan ibu bapa di mata dunia!

Rakyat sekadar menengok kecewa, bak harapkan pegar, pegar makan padi. Dalam menyambut konteks kemerdekaan ke-65, kesan tindakan sebegitu rupa adalah lebih teruk dari masa penjajahan.

Ini memandangkan pengkhianat tersebut dengan rela membunuh masa hadapan warga bangsa dan negaranya sendiri. Berbanding para penjajah yang juga merosakkan tetapi bukan kepada warga bangsanya – yang sebaliknya ‘terbela’ akibat rancangan penjajahan yang rapi dan menguntungkan masa hadapan mereka.

Dengan kata lain, walau penjajahan sudah lama terkubur atau disingkir dari negara ini, sedihnya, kita terus dilemahkan oleh petualangan ala penjajah, musuh dalam selimut. Gunting dalam lipatan. Apatah jika mereka dianggap pemimpin untuk membela nasib rakyat, tidak kira pada peringkat mana sekalipun.

Sebagai kesimpulan, perlu diingat bahawa bos bukannya istilah Melayu, atau rumpunnya. Jadi, maknanya agak asing pada budaya dan fahaman kita.

Pendek kata, istilah ini tiada tempat dalam masyarakat dan tidak perlu dikenakan kepada sesiapa pun. Melainkan kepada mereka yang tidak bertaraf pemimpin. Maka istilah bos tidak perlu dipertahankan. Apatah lagi disebar luas untuk kepentingan sempit golongan tertentu yang terdesak.

Kita wajar memerdekakan diri dan negara daripada kerenah bossy dan lebih menumpukan perhatian untuk memilih pemimpin dan kepemimpinan yang merdeka kerana kesucian hati nurani dan akal budinya. Salam merdeka! – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN