DETIK paling bersejarah setakat ini dalam perkembangan moden bahasa Melayu ialah penggunaannya dalam penyampaian ucapan oleh Malaysia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-77. Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini walaupun kita sudah lama menjadi ahli PBB sejurus sahaja selepas mencapai kemerdekaan pada 1957.
Walaupun PBB menetapkan enam bahasa, iaitu bahasa Inggeris, Arab, Mandarin, Perancis, Russia dan Sepanyol sebagai bahasa rasmi, ia sama sekali tidak melarang penggunaan bahasa lain asalkan disediakan terjemahannya dalam salah satu bahasa rasminya itu. Dengan ini, sepatutnya kita sudah lama mula menggunakan bahasa Melayu di PBB. Apa-apa juga, ia tidak pernah terlambat apabila sudah disedari kekhilafannya untuk diambil tindakan sewajarnya.
Kejayaan bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa negara berkumandang di PBB untuk julung kalinya harus diraikan rakyat. Lebih mustahak daripada ini ialah komitmen untuk memastikannya terus-terusan akan digunakan oleh kepimpinan tertinggi kerajaan pada masa mendatang. Oleh itu, amat penting untuk ia tidak berupa sesuatu yang bersifat sekali ini sahaja. Justeru, perlu ada kesedaran malah keinsafan untuk diteruskan penggunaan bahasa negara kita dalam apa-apa jua majlis antarabangsa mulai sekarang.
Walaupun Malaysia tiada perundangan khusus seperti Indonesia yang mewajibkan pemerintahnya menggunakan bahasa negara setiap kali berucap dalam majlis antarabangsa, kita hendaklah mempunyai disiplin kendiri dalam hal ini atas dasar jati diri kebangsaan. Ia penting bukan sahaja untuk identiti nasional bagi kedaulatan negara, juga penting bagi identiti budaya warganegaranya.
Tindakan ini yang diperlihat kepimpinan tertinggi kerajaan hendaklah disambut baik kepimpinan lain di semua peringkat sama ada kebangsaan mahupun negeri, waima daerah. Oleh itu, amat menyedihkan apabila negeri yang dikenali sebagai benteng terakhir etnisiti Melayu bukan sahaja tidak cakna, malah cuai apabila bahasa Inggeris digunakan sebagai nama program untuk mendampingi rakyat jelata yang rata-ratanya tidak cekap pun dalam bahasa itu. Antaranya Save Kelantan dan Kedah Motor Fest. Kalaulah penguasaan bahasa Inggeris adalah matlamat utamanya, ia hendaklah dilakukan dengan cara lain yang tidak sesekali menggugat jati diri Melayu yang bukan sahaja tebal tetapi kuat tersemat di sanubari rakyat di dua negeri itu serta lain-lain.
PALESTIN
Penggunaan bahasa Melayu dalam majlis PBB itu untuk ikut melakar dasar urus tadbir dunia memperlihat penggunaannya pada tahap kuaternari, iaitu maqam penggunaan tertinggi pada sesebuah bahasa itu yang bermula daripada primer, diikuti sekunder dan tertiari. Pada tahap kuaternari ini, sesebuah bahasa yang terlibat itu digunakan untuk menggubal dasar, iaitu ranah penggunaan yang dianggap paling rumit kerana melibatkan bidang pemerintahan. Ini berbeza apabila dibandingkan dengan tahap tertiari yang mencakupi bidang pentadbiran dan pengurusan, apatah lagi tahap primer dan sekunder melibatkan penggunaan bahasa itu dalam komunikasi biasa sahaja.
Sehubungan tahap kuaternari ini, penggunaan bahasa Melayu di PBB yang menyentuh sistem kewangan antarabangsa, konflik sejagat, keadaan di Ukraine, suasana di wilayah Palestin yang diduduki, hidup bersama dalam budaya damai, situasi di Myanmar, pembaharuan PBB, tindakan iklim dan pembangunan mampan, walaupun disampaikan secara ringkas sahaja adalah penyediaan rapi lagi canggih untuk memperlihat kemampuan bahasa Melayu dalam laras governans.
Sebenarnya bahasa Melayu yang sudah lama berupa bahasa saintifik moden atau bahasa ilmu, mampu malah lebih daripada itu untuk mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak bagi sebarang bidang ilmu termasuklah mengurus tadbir dunia apatah lagi untuk Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah mesej urus tadbir sejagat itu berjaya disampaikan dengan begitu jelas dalam bahasa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya kejayaan ini antaranya disebabkan keintelektualan bahasa Melayu itu, iaitu unsur kecendekiaannya dimanfaatkan secara optimum untuk menyampaikan mesej yang diingini melalui kosa kata dan nahu yang sememangnya mangkus.
Begitu juga halnya dengan terjemahan ke dalam bahasa Inggeris kerana bahasa Melayu memang memilki kesempurnaan bahasa yang dicirikan ketepatan, kemantapan, keberkesanan, kepelbagaian, kelenturan selain keindahan. Dengan ini, ia bermakna bahasa Melayu berupaya disesuaikan dengan keadaan semasa dan juga kecenderungan penggunanya tanpa sesekali mengorbankan ciri dan sifat asalnya.
Oleh itu, yakinilah kemampuan bahasa Melayu untuk memajukan negara. Penggunaannya dalam majlis antarabangsa sebenarnya baik sekali untuk usaha kita memajukan negara. Ini kerana mesej jelas dalam bahasa Melayu itu pertama-tamanya sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris memperlihatkan ia adalah bahasa sarana budaya tinggi. Dalam hal ini, ia wadah yang bukan sahaja mampu mengungkapkan hal sulit lagi abstrak, ia juga berdaya menyampaikan gagasan kompleks lagi bernas seperti terdapat pada ucapan di PBB itu untuk ikut mencorakkan governans dunia.
Dengan ini, tidak ada sebarang sebab untuk dipertikai khususnya oleh rakyat sendiri tentang penggunaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara kita dalam memajukan negara ini seterusnya. Ini kerana bahasa Melayu adalah bahasa yang sudah terbina sifatnya setelah mula dikodifikasikan 66 tahun dahulu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan sebenarnya sudah lama menjadi bahasa tinggi untuk digunakan dalam segala kegiatan budaya tinggi kita. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.











