Dana politik pacu peratus mengundi - Utusan Malaysia

Dana politik pacu peratus mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARIPADA 222 kerusi Parlimen dalam pemilihan peringkat cabang PKR dari 13 hingga 22 Mei lalu, dipercayai kurang 10 peratus cabang berjaya memastikan kira-kira 1,000 orang keluar mengundi.

Cabang-cabang PKR itu antaranya Kota Raja, Sungai Buloh, Hulu Selangor, Puchong dan Kapar. PKR khabarnya ada lebih sejuta ahli, namun mana perginya mereka ini. Bukankah sedang ‘gegak-gempita’ bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dikatakan akan berlaku Oktober atau November ini?

Di Pandan, Rafizi Ramli sendiri hanya meraih 534 undi untuk menang jawatan ketua cabang di situ. Dengan sistem satu anggota satu undi, amat rendah ahli keluar mengundi? Mengapa?

Inilah dilema dihadapi parti-parti politik iaitu isu bagaimana untuk memobilisasikan atau mengajak/kerah orang keluar mengundi. Kalau pemilihan parti sendiri pun tidak ada keterujaan ahli berbuat demikian, bagaimana pula agaknya semasa PRU kelak.

Itu baru soal ajak mereka keluar, belum lagi ada jaminan pengundi pilih parti kita atau PKR sendiri. Tak pandai nak jaga rumah sendiri, bagaimana mahu mengawasi rumah jiran ketika berlaku kejadian tidak diingini?

Moralnya, setiap calon pilihan raya yang mewakili parti masing-masing perlu ada kekuatan kewangan. Usah fikir sentimen semasa PRU 2018 akan berulang. PRU 2022 kali ini berbeza kerana rakyat baru dua tahun pulih dari ancaman Covid-19.

Semasa PRU14 belum muncul pandemik seperti ini. Ekonomi waktu itu tidak seteruk sekarang. Untuk keluar mengundi, seorang itu perlukan suatu kekuatan berbuat demikian. Mengapa pula saya mahu keluar mengundi, apa lagi untuk memilih parti anda?

SEWA BAS

Yang paling utama difikirkan parti bertanding khususnya calon adalah bagaimana hendak cari dana untuk bawa lebih ramai pengundi keluar – sepanjang hari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Contohnya di kawasan bandar seperti penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR) di flat-flat yang kurang mampu.

Katakanlah kita ambil 10 peratus daripada keseluruhan pengundi di kawasan Parlimen Kota Raja di Selangor. Kerusi ini mempunyai 200,470 pengundi setakat Jun tahun ini. Katakanlah di waktu pengundian, sekurang-kurangnya 50 hingga 150 bas diperlukan seorang calon untuk bawa pengundi. Jadi, tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) x 150 bas.

Di hari biasa yang bukan pilihan raya, sewa sebuah bas mungkin mencecah RM800 sehari. Tetapi pada hari puncak seperti pilihan raya, kadar sewa sebuah bas boleh mencecah RM2,000 sehari. Justeru, 3 (DUN) x 150 (bas) x RM2,000 = RM900,000. Dan agaknya berapa peruntukan diperlukan oleh seorang calon DUN atau Parlimen?

Mencari dana politik sebenarnya bukan soal politik semata-mata. Tetapi soal bagaimana upayanya parti untuk membawa orang keluar mengundi. Kalau laungan reformasi! yang didakwa masih mampu jadi daya tarikan orang untuk keluar mengundi, tetapi bukankah Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah lama keluar penjara dan memperoleh pengampunannya?

Parti politik tidak boleh menggunakan modal lama, bahkan harus berpijak di bumi nyata. Ini bukan pasal reformasi sebaliknya soal polisi parti.

Di Hulu Selangor yang luasnya sesaiz Melaka, penduduknya masih ada yang ‘hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Ada juga penduduk yang berjimat-jimat menggunakan lilin kerana tiada bekalan elektrik di rumah.

Tidak ada paip air, masih mandi di sungai. Padahal kita sudah di tahun 2022. Kalau mahu gunakan duit sendiri untuk bersusah-susah beratur panjang di pusat-pusat pengundian, mahukah mereka?

PENGUNDI SEBENAR

Seperti peluncur ombak yang menunggu hampir satu dekad untuk menikmati ombak setinggi 30 meter, maka kita jangan fikir ombak gergasi itu akan muncul setiap hari.

Dan buat apa tumpukan kempen pilihan raya di pasar malam atau bazar yang sudah tentu di situ sudah ada khalayak semula jadinya antara 500 hingga 1,000 orang. Mengapa tidak cari pengundi sebenar? Jangan tipu diri sendiri.

Berdepan PRU15 paling getir dalam sejarah pilihan raya moden Malaysia, rakyat kali ini dipercayai mahu melihat hanya saingan dua (gabungan) parti utama sepertimana di Amerika Syarikat – Republikan dan Demokrat. Yakni, dua gabungan parti yang benar-benar kompetitif serta seimbang untuk dinilai kira-kira 16 juta pengundi.

Dan kali ini gelanggangnya tidak sekadar isu berkempen bantai ‘si polan si polan’ atau bantai LCS, tetapi isu-isu berkait rapat kepentingan rakyat, soal ‘perut dan ekonomi’. Ingatkah lagi bagaimana Pakatan Harapan sendiri berdepan kekangan dengan komitmen untuk melunaskan janji-janji manifestonya.

Sempatkah akta pendanaan politik (pembiayaan dana politik) yang bakal dibentangkan bulan depan, dioperasikan dalam kempen PRU15?

Dengan sasaran diluluskan dalam tempoh tiga minggu selepas dibentangkan, antaranya menerusi penyaluran dana Persekutuan kepada parti-parti politik, kata pak menteri undang-undangnya “tak akan ada lagi longgokan wang tunai di bilik bawah tanah atau terowong”, semua pihak kini teruja untuk tunggu dan lihat penguatkuasaan aktanya.

Dan barangkali kempen dua minggu PRU15 nanti paling sesak dalam sejarah tanah air, apalagi di hari pengundian. Nama pun pilihan RAYA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN