Harga minyak dunia dijangka cecah AS$110 setong

Perang Iran-Isreal: Harga minyak dunia dijangka cecah AS$110 setong dalam tiga bulan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak dunia mungkin meningkat antara AS$80 (RM340.51) hingga AS$85 (RM361.79) setong dalam masa sebulan dan AS$110 (RM468.27) untuk tempoh tiga bulan akan datang berikutan perang antara Iran dan Israel yang dijangka berlarutan, kata penganalisis.

Ketika berita ini tulis, minyak mentah Brent berada pada AS$77.24 (RM328.78) setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pula bernilai AS$75.67 (RM322.07) setong.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, harga minyak mentah Brent telah meningkat dari AS$66 (RM280.82) setong minggu lalu kepada kira-kira AS$77 (RM327.68) ketika ini.

Katanya, Iran juga telah memberi amaran bahawa negara itu boleh menutup Selat Hormuz, satu daripada transit minyak paling kritikal di dunia, sebagai tindakan balas terhadap penglibatan Amerika Syarikat (AS) dalam konflik tersebut.

Beliau, Selat Hormuz merupakan laluan yang penting kerana ia mengendalikan 20 peratus pengangkutan minyak dunia.

“Peningkatan harga minyak ini ada kebaikan dan keburukan kepada Malaysia. Kebaikannya adalah Petronas dapat meraih keuntungan dari harga minyak yang lebih tinggi, seterusnya dapat memberi hasil dan dividen yang lebih banyak kepada kerajaan.

“Bagi pihak lain pula, ini akan meningkatkan kos pengangkutan minyak yang lebih tinggi. Apabila kos minyak runcit tinggi, ia boleh membawa kepada kenaikan harga barang dalam pasaran.

“Harga RON97 dan diesel akan meningkat. Bagi RON95 pula, kerajaan sudah berjanji tidak akan menaikkan harga, tapi bagaimana pula apabila rasionalisasi subsidi bermula nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sektor logistik yang merupakan tulang belakang kepada perdagangan antarabangsa akan terkesan jika  dinamik perang Iran-Israel menjadi lebih serius.

Katanya, persoalan timbul sekiranya AS turut serta membantu Israel dan sama ada negara lain seperti Pakistan pula akan membantu Iran.

“Justeru, konflik ini berisiko untuk melibatkan pelbagai negara dan kuasa besar yang lain. Kita bimbang jika ia boleh melonjakkan harga minyak mentah dunia dan merencatkan sektor logistik yang merupakan tulang belakang kepada perdagangan antarabangsa,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada perang tersebut akan memberi impak kepada pasaran kewangan serantau termasuk Bursa Malaysia jika harga minyak mentah meningkat, beliau bersetuju dengan pendapat itu.

“Sememangnya akan ada impak. Namun sektor berkaitan minyak dan gas dilihat mendapat kesan positif,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN