Bahasa terbukti penyatu perbezaan

Bahasa terbukti penyatu perbezaan

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-77, di New York, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMI mulakan dengan serangkap pantun yang merupakan tamsilan leluhur kita yang bijaksana dalam mengungkapkan bahasa sebagai alat atau perlambangan diri yang cukup besar.

Apa dijual apa dibeli,
Mari sukat gantang Ali,
Bahasa tak boleh dijual beli,
Dari hidup sampai mati.

Maka tidak hairanlah jika pantun satu daripada hasil keintelektualan tinggi bahasa Melayu yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Melayu Tidak Ketara pada 17 Disember 2020 di Paris.

Bahasa Melayu menjadi lingua franca sejak abad ke-15 lagi dan begitu menyerlah sejak era Kesultanan Melayu Melaka. Berdasarkan kajian etnosains yang dirintis Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain, bahasa Melayu telah menelusuri evolusinya sebelum benar-benar mantap dan diangkat sebagai bahasa komunikasi rantau ini. Pada abad ketujuh Masihi lagi menurutnya, bahasa Melayu berkembang pesat dengan tulisan yang dicipta etnik ini, iaitu pallava dan kawi. Menerusi ilmu etnosains, ditemukan butiran sains dan matematik yang juga merintis kepada ilmu matematik dunia menerusi bahasa Melayu.

Bahasa Melayu ialah bahasa komunikasi yang digunakan oleh pedagang yang datang dari pelbagai negara. Kedudukannya dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkannya mesti digunakan untuk maksud rasmi.

Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu dengan penuh karisma di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-77. Selepas 65 tahun Persekutuan Tanah Melayu diterima sebagai anggota PBB pada 17 September 1957, bahasa Melayu dimartabatkan di ibu pejabat badan tertinggi dunia itu di New York. Sejarah tercatat pada pukul 5 petang waktu tempatan apabila buat julung kali ucapan Perdana Menteri disampaikan dalam bahasa Melayu.

Kami membawa pembaca kepada kenangan yang tidak akan terluput apabila buat pertama kalinya selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957, September tahun tersebut, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang ketika itu adalah duta pertama Malaysia ke AS dan PBB menyampaikan ucapannya dengan berbaju Melayu lengkap berkeris.

CITRA NEGARA

Menyerlahkan pengukuhan jati diri bangsa ke pentas antarabangsa amatlah satu keterujaan yang tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata dan bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dianggap remeh. Apatah lagi pemimpin nombor satu negara telah memberikan keyakinan di pentas prestij ini. Jelaslah peribahasa Melayu menyebut, hendak seribu daya dan jika tidak mahu, kita memang sentiasa ada dalih untuk mengatakan tidak melakukannya, iaitu berucap dalam bahasa kebangsaan di pentas antarabangsa.

Berdiri sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama menyampaikan mesej kepada dunia dalam bahasa kebangsaan, Ismail Sabri membuktikan bahawa intelektual bangsa yang mengucapkan bahasa kebangsaan negaranya ini setaraf dengan bangsa-bangsa hebat lainnya dan sudah tentu buah fikiran yang disampaikan oleh beliau yang telah diterjemahkan oleh badan dunia itu akan dapat difahami dan dihayati oleh 193 negara dan dua negara sebagai anggota pemerhati.

Bahasa yang diucapkan melambangkan citra negara bangsa Malaysia di pentas dunia. Pengalaman Malaysia dalam mentadbir manusia dengan pelbagai latar sejarah dan memiliki kepelbagaian rumpun etnik, sewajarnya dunia memberikan perhatian kepada gagasan Malaysia bagi memperkukuh keamanan rantau dunia serta mengharmonikan perpaduan global.

Memang Malaysia memiliki caranya. Tidak kenal maka tidak cinta. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang memperkukuhkan perpaduan negara, kita kukuhkan perpaduan global juga.

Pada hari ini, Malaysia mendapat pengiktirafan dunia atas kejayaan mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk. Di Malaysia, bahasa Melayu ialah alat perhubungan antara rakyat dan mencerminkan jati diri. Bahasa sudah dibuktikan sebagai faktor penyatu yang boleh dipertanggungjawabkan untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum.

Perkembangan bahasa kebangsaan sangat amat penting untuk kemakmuran negara.

Dalam masyarakat majmuk di Malaysia, perpaduan dan persefahaman perlu dipupuk agar setiap kaum bersedia dan berupaya memahami elemen penting budaya kaum lain. Melalui sejarah, maka semangat patriotisme dapat dilahirkan.

Menurut Tajul Ariffin Nordin (Perspektif Falsafah dan Pendidikan di Malaysia), nilai bahasa Melayu yang mencapai taraf sebagai satu bahasa dalam masyarakat majmuk, selain merupakan bahasa ilmu dan pengetahuan perlu mempunyai dua ciri penting, iaitu keintelektualan dan kesempurnaan nilai bahasa Melayu. Aspek keintelektualan mestilah mempunyai keupayaan menyampaikan hujah dan buah fikiran menerusi komunikasi perpaduan secara berkesan. Menurutnya, pencapaian taraf keintelektualan dalam nilai bahasa Melayu akan menjadi lebih nyata apabila digunakan sebagai bahasa ilmiah dalam komunikasi demi menggerakkan perpaduan. Dunia semakin berkembang dan masyarakat semakin maju dan berpengetahuan dengan interaksi hubungan kesantunan berbahasa antara masyarakat pelbagai kaum terus dipertahankan dengan nilai jati diri menyatukan Keluarga Malaysia. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia; Felow Kluster Wanita & Masyarakat, Majlis Profesor Negara. Manakala RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN