UNTUK sesebuah negara berevolusi dan berkembang, kestabilan politik adalah pembolehubah yang sangat penting. Ia adalah keperluan utama untuk pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menggerakkan pencapaian sesebuah negara.
Politik atau kestabilan sesebuah kerajaan akan menyumbang kepada keyakinan yang akan membawa kepada kewujudan persekitaran ekonomi mampan. Tanpa kestabilan pembangunan lestari tidak dapat dilaksanakan. Ekonomi akan terbantut. Negara akan ketinggalan dan rakyat akan terkesan.
Ini adalah antara hasil dapatan daripada kajian yang dilakukan oleh Madalina Radu dari Pusat Pengajian Perniagaan, Universiti Bucharest. Ia telah dibentangkan di Persidangan Ekonomi dan Kewangan Ketiga di Rome pada 2015. Kajian oleh Radu itu berdasarkan kepada krisis ekonomi di Romania yang membawa kepada kebankrapan negara itu.
Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi mampan ditentukan oleh pelbagai pembolehubah ekonomi yang dipengaruhi oleh petunjuk kestabilan politik.
Katanya, persekitaran politik yang stabil membantu dalam membina laluan yang koheren dan berterusan untuk pembangunan negara.
Selain itu katanya, kebanyakan penyelidik juga menyimpulkan terdapat sekurang-kurangnya dua aliran yang akan memberi kesan ke atas pertumbuhan ekonomi jika suasana politik tidak stabil.
Yang pertama, ia akan mengganggu aktiviti pasaran dan hubungan dengan tenaga buruh yang mana ia akan menjejaskan produktiviti. Kedua, pelaburan akan merosot sepanjang tempoh yang dikategorikan sebagai tidak stabil itu.
Kita di Malaysia boleh dikatakan bertuah kerana sepanjang tempoh suasana yang disifatkan sebagai tidak stabil pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kesan terhadap ekonomi boleh dikatakan minimum.
Malah kesan daripada ketidakstabilan akibat bertukar-tukar kerajaan dan perdana menteri itu terhadap ekonomi sukar untuk ditentukan kerana sepanjang tempoh itu negara turut berdepan dengan pandemik Covid-19.
Apa pun hal yang berkaitan dengan kestabilan politik ini tidak boleh diambil mudah. Jenaka-jenaka bahawa Malaysia bertuah dapat tiga perdana menteri dengan hanya sekali pilihan raya boleh mengundang padah kerana ekonomi kita masih lagi bergantung kepada pelaburan dari luar. Maka, apa juga bentuk ketidakstabilan tidak boleh dipandang remeh.
Pakar-pakar melihatnya sebagai masalah serius yang membahayakan prestasi ekonomi. Ketidakstabilan politik berkemungkinan memendekkan ufuk pembuat dasar yang membawa kepada dasar makroekonomi jangka pendek yang tidak optimum. Ia juga boleh membawa kepada pertukaran dasar yang kerap hingga mewujudkan ketidaktentuan yang menjejaskan prestasi makroekonomi.
Di Malaysia ketidaktentuan politik ekoran pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PH) setelah 22 bulan, kemudiannya 18 bulan selepas itu beralih lagi sedikit sebanyak mengganggu prestasi ekonomi.
Ia diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19 yang mana sebaik sahaja ekonomi kembali dibuka kadar inflasi melonjak. Harga barang-barang keperluan asas meningkat hingga memaksa kerajaan campur tangan secara langsung untuk menstabilkannya.
Melalui polisi-polisi yang dilaksanakan sama ada popular atau tidak popular termasuk kira-kira RM80 bilion dalam bentuk subsidi, inflasi dapat dikawal dan harga barang telah distabilkan.
Keberkesanan dasar-dasar yang dilaksanakan itu boleh dilihat kepada pertumbuhan ekonomi negara pada suku kedua tahun ini iaitu sebanyak 8.9 peratus. Ia jauh lebih tinggi daripada negara-negara di rantau ini termasuk beberapa negara kuasa ekonomi.
Inflasi Malaysia walaupun meningkat tetapi tidak seteruk negara lain termasuk United Kingdom yang mencatatkan inflasi antara tertinggi dalam tempoh 40 tahun iaitu 10.1 peratus pada Julai. Amerika Syarikat pula, kadar inflasi mereka pada Julai adalah 8.5 peratus
Ini adalah rahmat yang terselindung untuk kita pertahankan supaya pertumbuhan ekonomi negara kekal pada kadar sekarang agar kita dapat keluar daripada kemelut ini lebih awal.
Ketika ini kita tidak mampu ugut-mengugut untuk menjatuhkan atau menukar kerajaan kerana kesannya adalah kepada negara dan rakyat keseluruhan.
Kepada mereka yang bercita-cita untuk menjadi menteri atau perdana menteri bersabarlah untuk beberapa bulan lagi kerana mandat yang ada sekarang akan berakhir awal tahun depan. Selepas itu biarlah rakyat buat keputusan siapa yang mereka akan pilih sebagai kerajaan. Dan apabila rakyat sudah pilih, maka hormatilah keputusan itu untuk tempoh lima tahun lagi.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meraikan ulang tahun pertamanya sebagai Perdana Menteri hari ini memerlukan sokongan setiap orang dalam kerajaan terutama dalam memastikan momentum pertumbuhan yang dinikmati sekarang dapat diteruskan untuk suku seterusnya.
Dalam tempoh setahun ini suasana politik kelihatan tenang dengan pembangkang yang diketuai PKR telah mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) untuk menyokong kerajaan hingga ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Walaupun ada cubaan-cubaan mencampakkan batu di air yang tenang, namun setakat ini, kestabilan politik seperti menuju kepada pemulihan untuk memboleh tumpuan diberikan sepenuhnya kepada usaha membaiki ekonomi.
Hal yang berkaitan kos sara hidup, pengangguran, mewujudkan peluang pekerjaan untuk graduan dan mendepani cabaran ekonomi lain lebih mendesak ketika ini ini berbanding menukar kerajaan. Isu rakyat lebih penting daripada mencapai agenda peribadi atau memenuhkan tembolok sendiri.
Ambil iktibar daripada fenomena ketidakstabilan politik di beberapa negara lain yang menyebabkan ekonomi mereka runtuh. Yang terbaharu adalah Sri Lanka hingga rakyatnya tidak ada makanan dan terputus sumber bekalan asas.
Kajian yang dilakukan di 113 negara sejak 1950 menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jauh lebih rendah di negara-negara yang persekitaran politiknya tidak sihat.
Kesimpulannya, kestabilan yang ada sekarang perlu dikekalkan. Serahkan kepada rakyat pada PRU15 untuk menentukan siapa yang bakal membentuk kerajaan selepas ini.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.








