MUNGKIN ramai yang tertanya-tanya, Kumaar mana pula ini? Nama seumpama ini agak lazim di Malaysia. Maka apabila dikatakan dia sebenarnya berada di Amerika Syarikat (AS), mungkin ramai terperanjat. Tetapi tidak sebegitu bagi mereka yang pernah menonton rakaman YouTube dikendali sendiri oleh Kumaar. Saluran YouTube tersebut mempunyai ramai pengikut tempatan yang meminatinya dan melihat gelagatnya bersama isteri serta dua orang anaknya.
Apa yang menarik, Kumaar sering berbahasa Melayu dalam siaran YouTube yang dirakamnya. Teristimewa apabila dia cuba membiasakan keluarganya dengan bahasa itu diperantauan.
Kumaar tidak berasa jemu-jemu dalam hal ini sehingga mendapat sambutan daripada isterinya yang agak berani mencuba-cuba walaupun kadangkala melakukan kesilapan melucukan.
Misalnya, perkataan ‘kepala’ dan ‘kelapa’ dicampur aduk. Ini menjadikan YouTube Kumaar bertambah digemari. Apatah lagi dengan cara agak selamba apabila berinteraksi dalam bahasa Melayu. Sekali gus pantas memperkenalkan bahasa kebangsaan kepada penggemar YouTube di seluruh dunia. Ini selaras dengan ura-ura kerajaan yang amat berminat menjadikan bahasa Melayu sebagai jambatan saluran diplomasi dan hubungan antarabangsa yang lebih meluas dan sistematik.
Walau ini diragui oleh sesetengah golongan, namun ia mempunyai hasrat serta niat murni dan meraih sokongan meluas. Dari segi pendidikan misalnya, tidak syak lagi ia matlamat berjiwa besar bagi menobatkan kepelbagaian bahasa seantero.
Atas dasar ini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terpanggil untuk membantu usaha tersebut. Dan langkah Kumaar sebagai seorang anak Malaysia berserta keluarganya merupakan pentas global terbaik untuk terus menguar-uarkan bahasa Melayu. Apabila dihubungi UIAM secara maya, Kumaar walaupun tidak berkenalan secara awal, menyambut tawaran untuk membantunya tanpa teragak-agak. Cukup tepat sekali sangkaan, Kumaar serta isterinya, Rachel sememangnya ingin mendalami bahasa Melayu walau jauh beribu batu. Melalui Pusat
Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti (CELPAD) UIAM, satu kerangka latihan mudah dipersetujui supaya Rachel dapat belajar dengan lebih sistemik, sejam seminggu sebagai permulaan.
Sungguhpun bagi CELPAD ini julung-julung kali berbuat demikian, yakni merintis jalan untuk masa hadapan kepada seorang yang tidak dikenali, namun ia satu langkah berani. Seolah-olah satu bentuk inovasi dalam melebarkan lagi penggunaan bahasa ibunda.
ULAM
Bagi Rachel pula, tidak syak lagi ia bak pucuk dicita, ulam mendatang. Ditambah pula sokongan padu daripada suaminya sejak awal lagi. Malah Kumaar pernah mengadakan hari-hari bahasa Melayu yakni hanya bahasa itu digalakkan di sekitar kediamannya.
Didukung dengan bantuan sukarela seorang guru berdedikasi CELPAD, pelayaran Rachel dalam lautan bahasa Melayu bermula dengan pelbagai pengalaman dan cabaran baharu. Inilah sebenarnya untung daripada pendidikan silang budaya berteraskan bahasa asal serta nilai setempat. Sudah tentu ia membawa cara dan gaya yang berbeza sama sekali.
Maksudnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi, ia mampu memperkayakan lagi pengetahuan di peringkat antarabangsa semua pihak terlibat.
Dalam konteks gandingan Kumaar-Rachel, kesannya mengeratkan hubungan dan menambah kefahaman kekeluargaan mereka yang berlatarkan budaya begitu amat berbeza.
Ini dapat dilihat dengan ketara apabila mereka kembali ke Malaysia baru-baru ini menziarahi keluarga Kumaar. Mereka sempat bertandang ke kampus UIAM di Gombak untuk menyatakan rasa terima kasih sambil mengenal dengan lebih dekat para pendidik CELPAD yang banyak membantu.
Ini adalah langkah bijak dan sopan yang sentiasa menjadi akar umbi budaya Melayu, orang berbudi kita berbahasa. Dalam ziarah itu, Rachel disampaikan sijil tamat kursus oleh CELPAD untuk mengiktiraf kegigihan lantas pencapaian yang diperoleh pada peringkat awal. Ia turut menguatkan lagi azamnya untuk terus menerokai bahasa Melayu ke peringkat lebih tinggi sekali gus budaya dan adat resam Melayu juga. Syabas!
Kumaar sendiri mengaku betapa dia ingin mengembangkan lagi penguasaan bahasa Melayu. Tetapi tidak ada banyak peluang bercakap bahasa Melayu memandangkan tidak ramai warga Malaysia di sekitar kediamannya di perantauan. Kini hal ini boleh berubah apabila Rachel sudah lebih fasih bertutur bahasa tersebut. Malah bercita-cita membawa dua budaya yang diketahuinya lebih dekat sebagai simbol kemesraan. Kumaar turut berhasrat memperkenalkan Malaysia kepada lebih ramai rakyat serta masyarakat Amerika Utara sepertimana Thailand, katanya. Mengapa tidak? Kerana bahasa Melayu mempunyai kecantikannya tersendiri selain begitu mudah dipelajari berbanding bahasa Inggeris atau bahasa Thailand, misalnya.
Sikap yang Kumaar tunjukkan sebagai anak watan di perantauan agak ganjil dan membanggakan. Malah ramai dalam kalangan kita di negara sendiri tidak langsung menjiwai apa yang Kumaar lakukan terhadap bahasa Melayu – bukan Bahasa Malaysia, ujarnya. Ini cukup mengujakan walau jarang-jarang berlaku. Apa yang jelas, Kumaar, anak watan sungguhpun nun dirantau amat wajar dicontohi dan disegani. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











