Cultra 2022 sedia laluan uji mental, jadi acara runcation - Utusan Malaysia

Cultra 2022 sedia laluan uji mental, jadi acara runcation

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS dua tahun Cameron Highlands sepi tanpa kehadiran pelancong akibat Covid-19, kini kawasan tersebut diserbu dan sesak dengan kehadiran ramai pengunjung.
Kali ini pengunjung yang datang bukan bercuti semata-mata, sebaliknya mempunyai misi khas iaitu berlari menawan beberapa puncak dan kawasan tanah tinggi termasuk Gunung Berembun dan Gunung Perdah.
Saya antara peserta yang berjaya melengkapkan misi tersebut menerusi acara Cameron Ultra (Cultra) 2022 baru -baru ini dengan menyertai kategori 30 kilometer (km).
Sebenarnya ini kali pertama saya menyertai Cultra selepas ia memasuki edisi kelima dan saya sendiri tiada gambaran jelas keadaan laluan dan trek yang bakal dilalui.
Apa yang selalu diperkatakan banyak peserta sebelum ini adalah laluan di kawasan kebun teh yang pada fikiran saya akan menjadi trek dari mula sehinggalah tamat larian.
Malah saya sendiri tidak pernah datang ke Cameron Highlands semata-mata menyertai acara larian. Kalau ada pun hanya larian santai, sekadar mengeluarkan peluh di sekitar Tanah Rata.
Bagaimanapun, Cultra mempunyai tarikan dan kelas tersendiri menjadikan ia acara yang sememangnya dinanti-nantikan sama ada peserta tempatan mahupun luar negara.
Ada pelbagai faktor tarikan pada acara ini antaranya persekitaran, laluan trek yang mencabar, logistik, krew, dan segala aspek pertandingan dititik beratkan.
Bermula dari check point pertama sehingga ke garisan penamat, segala keperluan untuk peserta disediakan lengkap lebih-lebih lagi makanan dan minuman serta perubatan
Namun, peserta perlu menempuhi beberapa trek mencabar antaranya Robinson Trail menuju ke ladang teh BOH dan semua peserta 30 km perlu berpatah semula sebelum tiba ke garisan penamat.
Laluan ini menguji mental dan fizikal bagi mereka yang malas berlatih termasuklah saya kerana ia curam dan kedudukan bukit agak tinggi sebelum tiba di ladang teh BOH tersebut.
Walaupun ‘azab’, kepuasan menyertai Cultra 2022 tidak dapat disangkal.
Sebenarnya pada satu sudut lain, acara ini berjaya menunjukkan potensi Cameron Highlands sebagai destinasi runcation.
Saya pasti banyak yang bertanya apa itu Runcation? Ia merupakan gabungan perkataan Inggeris running dan vacation iaitu berlari dan bercuti dalam masa sama.
Pada saya konsep ini sangat sesuai untuk pelari yang sudah berkeluarga. Maknanya sebaik tamat larian dan memenuhi tuntutan hobi serta rutin kecergasan, anda boleh memenuhi masa bersama keluarga pula.
Saya sendiri berjaya menerokai banyak kawasan trek dan laluan yang tidak dapat dilihat pelancong lain dengan menyertai acara 30km, apatah lagi bagi peserta 50km atau 100km.
Anda tidak perlu menjadi pelari elit untuk menggunakan konsep runcation.
Malah saya rasa anda mungkin boleh lupakan sahaja hasrat untuk mencipta rekod masa terbaik dalam satu-satu pertandingan semasa runcation.
Apa yang diperlukan adalah masa dan sudah tentu wang belanja untuk bersama keluarga.
Oh! Ya satu lagi, disebabkan potensi yang ada pada Cameron Highlands sebagai destinasi runcation, saya rasa sudah tiba masanya kawasan flora dan fauna terus dijaga agar kekal terpelihara. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya