Perlu undang-undang khas bendung hina Islam

Perlu undang-undang khas bendung hina Islam

MESKIPUN telah mencapai ketamadunan yang tinggi, Islam dan umatnya terus berdepan dengan isu penghinaan. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK Islam disebarkan oleh Nabi Muhammad, baginda berdepan pelbagai penghinaan, perlecehan dan persendaan oleh musyrikin Mekah, termasuk Yahudi dan Nasrani. Permusuhan dan penghinaan terhadap Islam bermula sebaik sahaja seruan pertama kali Nabi Muhammad berdiri di atas Bukit Safa untuk memberitahu kaumnya bahawa baginda adalah utusan Allah dan pembawa peringatan tentang azab yang amat pedih.

Pemimpin musyrikin Mekah pimpinan Abu Lahab telah memperlekehkan baginda dan membuat proklamasi untuk menentang Rasulullah dan agama yang dibawanya. Proklamasi Bukit Safa ini menjadi titik tolak kepada permulaan permusuhan terhadap Islam dan Rasulullah SAW.

Isu penghinaan (istihza) ini disebut dalam beberapa ayat al-Quran seperti surah al-An’amm ayat 10: “Dan demi sesungguhnya telah diperolok-olokkan beberapa orang rasul sebelum kamu (Nabi Muhammad), lalu orang-orang yang mengejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.”

Begitu juga dunia hari ini yang dikatakan telah mencapai ketamadunan tinggi, Islam dan umatnya terus berdepan isu penghinaan. Ia begitu berleluasa melalui media cetak dan media sosial.

Antaranya, penghinaan terhadap Nabi Muhammad dalam majalah Jyllands-Posten di Denmark (2005) dan diulang penerbitannya di beberapa media di Eropah.

Begitu juga video parodi bertajuk Innocence of Muslims (2012) berdurasi 20 minit yang dihasilkan oleh Sam Bassile, seorang warga Amerika Syarikat berbangsa Yahudi yang memuatkan mesej menghina Nabi Muhammad sebagai seorang kasanova tidak bermoral sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Pada 2015, umat Islam sekali lagi dihina apabila majalah Charlie di Perancis memaparkan karikatur Nabi Muhammad berunsur penghinaan. Tanpa mempedulikan bantahan umat Islam seluruh dunia, penerbitan karikatur ini terus diulang atas nama kebebasan bersuara.

Kes-kes penghinaan terhadap Islam juga banyak berlaku di Malaysia yang bermasyarakat majmuk. Perbuatan menghina, memperpersenda dan memperolok-olokkan Islam dan umatnya menjadi semakin parah dan membarah terutama melalui media sosial.

Pada 19 Mac 2019, dilaporkan dalam media bahawa Unit Pemantauan lsu Hina Agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima laporan penghinaan agama Islam lebih 10,000 aduan. Unit terbabit juga melaporkan terdapat 431 aduan berkaitan penghinaan terhadap Islam di media sosial sehingga 30 Jun 2020 dan mengenal pasti 83 pautan menghina Islam.

Terbaru, isu video tular wanita yang didakwa mempersenda dan menghina kesucian Islam sudah dalam tindakan pihak berkuasa. Seorang pengasas kelab komedi kontroversi di ibu negara turut disiasat berhubung penularan dua klip video memaparkan individu tersebut membuat persembahan lawak berunsur penghinaan agama dan kaum.

Jelas sekali angka aduan diterima membuktikan betapa parahnya isu ini dan boleh menjadi ‘bom jangka’ kepada konflik agama dan kaum di negara ini. Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan seperti tidak dihormati oleh golongan yang menghina dan memprovokasi Islam.

Sayugia diingat bahawa isu penghinaan terhadap agama (al-istihza’ bi al-din) yang keterlaluan boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian masyarakat bersifat majmuk ini. Kita patut bimbang penghinaan yang semakin parah dan membarah di media sosial membabitkan perbuatan mengeji, mencela, mencemar dan memburuk-burukkan ajaran Islam, Nabi Muhammad dan Allah SWT boleh mengundang konflik keagamaan dan kaum yang parah.

Penghinaan terhadap Islam meliputi aspek akidah, Allah SWT, Nabi Muhammad, umat Islam, al-Quran dan syariat Islam termasuk undang-undang Islam. Kebanyakan penghinaan di media sosial bermotif memprovokasi dan menyakitkan hati umat Islam serta merendah-rendah dan menjatuhkan kemulian dan martabat agama tersebut. Ia seolah-olah mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Dari sudut perundangan, tiada peruntukan dalam perlembagaan yang secara jelas menyentuh kesalahan penghinaan terhadap agama Islam. Undang-undang yang dirujuk bagi kes penghinaan agama adalah peruntukan berkait dengan Akta Penyalahgunaan Media dan akta berkait keselamatan dan kesejahteraan sosial.

Dalam konteks ini, peruntukan seperti Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 digunapakai untuk kes-kes berkaitan penghinaan agama yang dianggap kesalahan membabitkan kepentingan awam dan keselamatan negara. Ini bermakna siasatan boleh dilakukan atas alasan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Sekiranya kes dirujuk kepada undang-undang syariah (untuk orang Islam), maka enakmen khusus berkaitan kesalahan menghina Islam adalah mengikut enakmen undang-undang syariah negeri yang dilihat mempunyai banyak lompang dan kelemahan. Justeru, saya melihat adalah penting negara yang bermasyarakat majmuk ini dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya perlu mempunyai undang-undang khusus berkaitan penghinaan terhadap agama.

Undang-undang khusus ini penting bagi memastikan negara tidak dilanda konflik keagamaan dan pekauman yang serius. Pendekatan dialog sahaja tidak mencukupi dan tidak begitu berkesan kerana golongan pelampau yang membenci Islam dan umatnya mesti ditangani dengan undang-undang lebih tegas atau keras. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis bebas sosiopolitik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN