SEMPENA Hari Pelarian Sedunia baru-baru ini, kami ingin meraikan 182,960 individu yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini. Saban tahun, komuniti pelarian di Malaysia berdepan persepsi buruk masyarakat tempatan. Tanggal 20 Jun setiap tahun diiktiraf sebagai Hari Pelarian Sedunia untuk meraikan golongan pelarian di seluruh dunia. Ini adalah satu penghormatan di atas keberanian mereka meninggalkan kampung halaman bagi menyelamatkan diri daripada konflik dan penindasan berterusan.
Hari Pelarian Sedunia berhasrat membuka mata dunia tentang nasib malang yang dihadapi oleh komuniti ini. Ia juga bagi memugar rasa tanggungjawab untuk melindungi hak-hak asasi mereka seperti pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan kebebasan untuk bergerak.
Meskipun UNHCR dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan bergiat aktif dalam memperjuangkan hak perlindungan komuniti pelarian, kedatangan mereka masih tidak diiktiraf oleh Malaysia sekali gus menafikan hak-hak asasi yang sewajarnya diterima. Isu ini berakar umbi daripada kekeliruan antara golongan pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta ketidakselarasan dasar kerajaan terhadap komuniti pelarian di negara ini.
PRODUKTIF
Melabelkan pelarian sebagai PATI menyebabkan mereka terhalang daripada menikmati perlindungan selayaknya dan terdedah kepada risiko keselamatan yang serius setiap hari. Sudah tiba masanya untuk kerajaan mengiktiraf keberanian pelarian di negara ini dan mula menerima kedatangan mereka dengan aman. Kita mesti bergerak ke arah masyarakat yang lebih inklusif dengan meraikan kisah, sejarah, budaya, bahasa dan kehidupan golongan pelarian.
Menerima, melindungi dan memperkasakan pelarian adalah formula menang-menang buat pelarian dan negara ini sendiri. Dengan memberikan mereka hak untuk bekerja, kesihatan dan pendidikan, pelarian mampu berintegrasi ke dalam sektor buruh dan berpotensi menjadi anggota masyarakat produktif, sekali gus menyelesaikan permasalahan sosial seperti yang dikhuatiri berlaku dalam kalangan pelarian. Lebih penting, penerimaan komuniti pelarian untuk menumpang teduh di negara ini adalah satu usaha mulia kerana kita melindungi hak terpenting dan paling berharga, iaitu hak untuk hidup.
Melangkah ke hadapan, kerajaan perlu komited dalam membangunkan strategi membina masyarakat yang lebih inklusif dan harmoni di samping meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang isu pelarian di negara ini.
Membutakan mata terhadap keperluan komuniti pelarian adalah pelanggaran hak asasi manusia. Mereka berhak menerima layanan yang baik dan bermaruah selayaknya seperti manusia biasa. Malaysia yang terkenal dengan keharmonian dan amalan budi pekerti seharusnya menyantuni komuniti pelarian dan membantu mereka dalam membina kehidupan lebih baik. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis penyelidikan & advokasi di Bait Al Amanah.










