Kes Siti Nuramira: Pendekatan terbaik - Utusan Malaysia

Kes Siti Nuramira: Pendekatan terbaik

ABDUL HAMID MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 4 Jun 2022, jam 6.00 petang, bertempat di Restoran Crack House Comedy Club, 24 Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Brickfields, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang mengaku bahawa dia adalah seorang Muslim, sewaktu membuat persembahan di atas pentas mengatakan bahawa  dia menghafal 15 juzuk al-Quran, kemudian membuka tudung dan menanggalkan baju kurungnya, diikuti oleh tepuk sorak hadirin di kelab komedi tersebut. Perbuatan itu tular di media soial.

Pada 13 Julai 2022, Siti Nuramira di tuduh di Mahkamah Sesyen Jalan Duta mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan (KK).

Dia mengaku tidak bersalah dan dibenarkan jaminan RM20,000.00 dengan syarat dia perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dia juga dilarang membuat kenyataan perjalanan kes di media sosial dan cetak.

Dilaporkan bahawa Siti Nuramira akan dituduh esoknya di Makamah Tinggi Syariah mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (AKJS (WP) 1997).

Untuk memudahkan rujukan apabila saya membincang peruntukan dua seksyen ini kelak, saya memperturunkannya di sini.

Seksyen 298A KK memperuntukkan:

“298A. (1) Sesiapa sahaja melalui perkataan, sama ada secara lisan atau bertulis, atau dengan tanda-tanda, atau melalui representasi yang boleh dilihat, atau dengan apa-apa perbuatan, aktiviti atau kelakuan, atau dengan menganjurkan, mempromosi atau mengatur, atau membantu dalam mengatur, mempromosi atau mengatur, apa-apa aktiviti, atau sebaliknya dalam apa-apa cara lain—

 (a) menyebabkan, atau cubaan untuk menyebabkan, atau berkemungkinan menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat; atau

 (b) ….,

 atas alasan agama, antara orang atau kumpulan orang yang menganut agama yang sama atau berbeza, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada lima tahun.

 (2) Seksyen 173A dan 294 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) tidaklah terpakai berkenaan dengan kesalahan di bawah subseksyen (1).”

Seksyen seksyen 7 AKJS (WP) 1997 memperuntukkan:

“7. Mana-mana orang yang secara lisan atau secara bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau dengan apa-apa cara lain-

 (a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina;(b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau

 (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Tiba esoknya, Ketua Pendakwa Syar’ie membuat kenyataan bahawa beliau telah membuat keputusan untuk tidak menuduh Siti Nuamira di Mahkamah Tinggi Syar’iah untuk mengelak pendakwaan berganda memandangkan dia telah pun dituduh di Mahkamah Sesyen. Selain dari itu, hukuman mengikut seksyen 298A KK adalah lebih berat.

Mari kita meneliti peruntukan kedua-dua  seksyen ini.

Pertama, seksyen 298A KK adalah lebih umum dan lebih luas liputannya daripada seksyen 7 AKJS (WP) 1997. Fokusnya, secara ringkas, adalah kepada menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama, antara orang atau kumpulan. Ia tidak terhad kepada mana-mana agama atau penganut mana-mana agama. Sebaliknya, seksyen 7 AKJS (WP) 1997 tertumpu kepada menghina agama Islam. Kesalahan itu hanya terpakai kepada orang Islam kerana Akta itu hanya terpakai kepada orang Islam dan Mahkamah Syariah yang membicarakannya hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam.

Kedua, di bawah seksyen 298A KK, hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun itu adalah wajib. Malah, perintah mengikat jamin untuk berkelakuan baik menurut seksyen 173A dan 294 Kanun Tatacara Jenayah sebagai ganti hukuman penjara itu pun tidak boleh dilakukan. Begitu keras sekali hukuman bagi kesalahan itu.

Sebaliknya, mengikut seksyen 7 AKJS (WP) 1997, seseorang  pesalah itu hanya boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Alasan untuk tidak menuduh Siti Nuramira di Mahkamah Syariah kerana mengelak pendakwaan berganda adalah betul. Tidak seseorang boleh dituduh dan dihukum dua kali, walaupun di bawah undang-undang dan mahkamah yang berlainan atas perbuatan yang sama. Saya percaya di bawah sistem perundangan mana pun adalah serupa.

Seksyen 298A KK adalah undang-undang Persekutuan yang terpakai kepada semua orang, Islam atau bukan Islam. Jika perbuatan itu ditujukan kepada agama selain daripada Islam pun, ia terpakai juga.

Tentu sekali, kedua-dua orang pendakwa itu melihat kes itu dari kacamata pendakwa, untuk mendapat hukuman yang paling berat. Tetapi, adakah itu pendekatan terbaik dalam kes ini. Kita patut beri perhatian kepada latar belakang Siti Nuramira dan keadaan di sekelilingnya yang membawanya kepada peristiwa ini.

Kita mendapat maklumat bahawa Siti Nuramira belajar Tingkatan 1 di Sekolah Tahfiz Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak (2008) manakala Tingkatan 2 dan 3 di Sekolah Tahfiz, Padang Menora, Seberang Perai, Pulau Pinang. (2009 dan 2010). Dalam tempoh tiga tahun itu dia menghafal 15 juzuk Al-Quran iaitu juzuk satu hingga 14 dan juzuk 30.

Tidak diketahui apa terjadi kepadanya selepas 2010, bilakah dia berkenalan dengan V Alexander Navin dan seterusnya.

Saya percaya, apa yang dilakukan oleh Siti Nuramira itu bukanlah tindakannya sendiri semata-mata, malah dia dipengaruhi dan diperalatkan. Saya percaya dia mendapati penghidupan di ma’had tahfiz itu terlalu menekan perasaan dan serba kekurangan dan, pada umur itu, dia ingin membesar seperti remaja lain, sama ada dengan keluarga sendiri di rumah atau bersama rakan-rakan di asrama seperti asrama sekolah kerajaan yang mempunyai kelengkapan dan peralatan untuk pembangunan rohani, jasmani dan sosial. Apakah kelengkapan dan peralatan yang boleh disediakan oleh ma’had tahfiz di Padang Rengas dan Padang Menora, yang mengharapkan derma orang ramai dan tidak diketahui ke mana wang itu dibelanjakan?

Dalam keadaan itu, tidak menghairankan jika dia memberontak. Akibatnya, dia dimarahi dan dihukum menyebabkan dia lari dan menjadi mangsa kumpulan yang memang mencari perempuan Melayu yang bermasalah untuk didekati, dipengaruhi, diperangkap dan diperalatkan. Mereka berlagak simpati, kasihan, menolong sambil membawa mereka untuk berhibur di kelab-kelab malam berakhir dengan hubungan sex.

Sampai di peringkat itu, si-mangsa sudah terperangkap. Dia merasakan bahawa masyarakat asalnya sudah menolaknya dan hanya menunggu peluang untuk menghukumnya. Pada masa itu, dia amat mudah mengikut kehendak mereka: menukar agama dan berkahwin dengan kekasihnya itu seperti Lina Joy. Siti Nuramira, nampaknya belum sampai ke peringkat itu. Mereka mendapat satu idea: mempergunakannya untuk memperlekehkan agama Islam sambil mempromosi perniagaan mereka.

Saya tidak percaya Siti Nuramira pergi sendiri ke kelab itu untuk membuat persembahan itu. Tidak dibawa ke situ, dia tidak akan tahu pun kelab itu dan kelab seperti itu ada, apatah lagi untuk membuat persembahan di situ. Nampaknya, tuan punya kelab tersebut adalah juga seorang pemuda India sebaya dengan teman lelaki Siti Nuramira. Tidakkah berkemungkinan terdapat pakatan di antara mereka untuk menggunakan Siti Nuramira untuk tujuan mempromosi kelab itu? (Sekarang pun ia telah di ketahui di seluruh Malaysia, terima kasih kepada Siti Nuamira.) Tidakkah ada kemungkinan Siti Nuramira diajar dan dilatih apa yang hendak dilakonnya itu?

Semua ini menunjukkan bahawa Siti Nuramira berkemungkinan adalah kesan sistem ma’had tahfiz dan menjadi mangsa kumpulan anti-Islam itu.

Jika demikian, maka pendekatan terbaik mengenainya ialah memujuknya supaya bertaubat, memaafkannya dan menerimanya kembali ke dalam masyarakat Islam. Dia hendaklah  bersetuju memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarat Islam di Malaysia.

Jika dia bersetuju dengan syarat-syarat itu, Pendakwa Raya bolehlah memberhentikan pendakwaan. Saya fikir adalah bersesuaian dengan penyelesaian taubat-maaf itu jika pendakwaan tidak diteruskan. Pertama, ada tolak ansur di kedua pihak. Kedua, jika pertuduhan diteruskan, dia tidak boleh menyertai penyelesaian ini kerana ia bererti dia mengaku melakukan kesalahan itu. Ketiga, jika perbicaraan diteruskan dan dia didapati tidak bersalah, itu akan memberi kemenangan moral kepadanya dan penyokong-penyokongnya. Untuk apa dia hendak menyertai penyelesaian ini? Sebaliknya, jika dia didapati bersalah dan dihukum penjara paling kurang dua tahun, untuk apa dia hendak menyertai penyelesaian ini lagi?

Setelah pertuduhan di Mahkamah Sesyen tidak diteruskan, bolehkah dia dituduh pula di Mahkamah Tinggi Syariah di bawah seksyen 7 AKJS (WP) 1997? Saya fikir  pandangan yang lebih selamat ialah “Tidak”.

Sebabnya, apabila Pendakwa Raya tidak meneruskan pendakwaan mengikut seksyen 354 KTJ, seksyen itu menghendaki perbicaraan itu ditangh dan tertuduh dilepaskan dan “pelepasan sedemikian tidaklah terjumlah kepada pembebasan melainkan mahkamah mengarahkan sedemikian.” Tetapi, seperti yang berlaku dalam kes Lim Guan Eng, mahkamah memerintahkan pelepasan itu terjumlah sebagai pembebasan.

Bagi kes Siti Nuramira ini, saya berpendapat kedua-duanya memberi kesan yang sama. Jika pelepasan itu tidak terjumlah kepada pembebasan, ertinya kes itu masih berada di Mahkamah Sesyen dan pertuduhan di Makhamah Tinggi Syariah tentu sekali tidak boleh dibuat pula. Jika pelepasan itu terjumlah sebagai pembebasan, maka ia dihalang pula oleh Perkara 7 (2) Perlembagaan yang memperuntukkan Seseorang  yang  telah  dibebaskan  daripada  sesuatu  kesalahan… tidak  boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama…”

 Sebenarnya, saya kurang yakin pertuduhan di bawah seksyen 298A KK akan dapat dibuktikan.Ini kerana seksyen itu menghendaki dibuktikan perbuatan itu menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama, antara orang atau kumpulan orang yang menganut agama yang sama atau berbeza.

Siti Nuramira adalah seorang Islam. Bagaimana perbuatannya itu boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat antara orang Islam atau kumpulan orang Islam dengan orang Islam atau  kumpulan orang Islam lain  ATAU antara orang Islam atau kumpulan orang Islam dengan orang bukan Islam atau  kumpulan orang bukan Islam lain? Orang Islam mungkin marah kepadanya tetepi itu tidak mencukupi bagi kesalahan itu. Ia mesti menyebabkan…ketidakharmonian…antara dua orang atau dua kumpulan, tidak kira kedua-duanya Islam atau tidak.

Jika Pendakwa Raya mempunyai idea untuk membuktikan ingredient itu, sama-samalah kita tunggu dan lihat apa kata mahkamah. Bagi saya, ini adalah satu alasan untuk membuat pendekatan taubat-maaf ini.

Kita boleh membuat pendekatan taubat-maaf ini kiranya dia menghentikan hubungan intimnya dengan V Alexander Navin dan membuang peguamnya.

Yang pentingnya dengan pendekatan ini ialah kita dapat menyelamat aqidahnya dan membawanya kembali ke dalam masyarakat Melayu/Islam. Jika dia hendak menipu kita pun tidak mengapa. Jika dia melakukannya sekali lagi, kita boleh membawanya ke muka pengadilan semula. Kali ini tiada maaf baginya lagi.

Kita tidak perlu takut dikritik. Alasan kita adalah lebih berasas daripada alasan Peguam Negara Pakatan Harapan tidak meneruskan pendakwaan terhadap penyokong-penyokong pemberontakan LTTE.

Teman lelaki Siti Nuramira, V Alexander Navin pula telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memuat naik hantaran jelik di media sosial dengan niat menyakitkan hati.

Bagi pertuduhan pertama, V Alexander Navin didakwa pada 5 Jun lalu memuat naik hantaran menyakitkan hati di akaun Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ dan di pautan Instagram dengan niat menyakitkan hati orang lain. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Perdana View Condominium, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya di aplikasi YouTube pada 16 Jun lalu di tempat yang sama dan melakukan kesalahan mengikut seksyen yang sama.

Hakim membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Biar apa pun pendekatan yang kita ambil mengenai Siti Nuramira, pertuduhan terhadap V Alexander Navin mesti diteruskan dan hukuman yang paling berat hendaklah dikenakan. Dialah dalang dalam kes ini yang bukan sahaja melibatkan kerosakan akhlak, kemunkinan murtad seorang wanita Islam malah boleh menyebabkan berulangnya peristiwa Natrah atau Mei 13 sekali lagi.

Kedua-dua mereka mendapat sokongan secara menyeluruh daripada orang bukan Islam di dalam dan di luar negara. Dalam beberapa hari, sumbangan untuk jaminan RM40,00.00 diterma dan dibayar, katanya datang dari seluruh dunia atas alasan menyokong kebebasan bersuara.

Soalan: Katakanlah seorang Islam membuat kenyataan menghina agama Kristian. Hindu, Buddha atau Sikh dan dituduh di mahkamah, adakah mereka akan megeluarkan sumbangan untuk membayar jaminannya? Saya tidak hairan jika ada pihak yang memohon menjadi pemerhati dalam perbicaraan itu untuk memastikan dia didapati bersalah dan dihukum seberat-beratnya. (NGO dan institusi Islam patut memohon untuk menjadi pemerhati dalam  kes Siti Nuramira dan V Alexander Navin ini.)

Saya katakan, alasan kebebasan bersuara itu digunakan kerana yang dihina itu adalah agama Islam. Ia adalah sebahagian daripada Islamophobia. Orang Islam perlu waspada, jangan naïve sepanjang masa. Pada masa yang sama, kita juga perlu melihat sama ada sistem ma’had tahfiz itu perlu dikawal dengan lebih ketat supaya ia tidak disalahgunakan dan pelajarnya tidak teraniaya. – UTUSAN

TUN Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN