Kini rakyat sedang menanti detik ketibaan Pilihan raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana penggal Parlimen ke-14 berbaki setahun lagi. Uniknya selepas PRU-14, negara telah melalui tiga fasa pemerintahan.
Pakatan Harapan (PH) dianggap pilihan terbaik pengganti Barisan Nasional (BN), tetapi bertahan 22 bulan sahaja sebelum Perikatan Nasional (PN) muncul menjadi formula politik baharu selepas itu. Dalam baki penggal Parlimen ke-14 ini, apakah hala tuju dan strategi yang disusun atur oleh PN? Adakah selepas PRU-15, riwayat hidup PN hanya menjadi catatan sejarah politik untuk dikaji oleh generasi baharu pada masa hadapan?
Sebagai pemerhati dan penganalisis politik, saya sudah tentunya ingin mengetahui dengan lebih mendalam dan secara dekat hala tuju PN untuk menghadapi PRU-15.
Sebaik ditubuhkan serentak dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, formula politik PN itu saya sifatkan sebagai pakatan politik yang rapuh. Jika tidak, mengapa Muhyiddin perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri? Sudah diketahui umum mengapa situasi itu berlaku. Puncanya sebab ada menteri Kabinet meletakkan jawatan dan menarik sokongan terhadap beliau.
Peristiwa itu adalah petanda UMNO begitu berani menunjukkan taringnya dalam PN walaupun pembentukan PN itu sebenarnya memberi kembali nyawa kepada UMNO.
Ibaratnya membawa masuk UMNO ke dalam PN seperti melepaskan anjing tersepit yang kemudiannya menggigit orang yang membantunya. Tidak berhenti di situ, bahkan suara ahli dan pemimpin UMNO begitu lantang mendesak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen.
Jadi, apakah strategi dan hala tuju PN untuk menghadapi PRU-15? UMNO semestinya sudah jelas tidak mahu bersama Bersatu untuk PRU-15. Bagaimanakah pendirian UMNO terhadap Pas? Adakah masih mahu meneruskan kerjasama yang telah dimeterai dalam pembentukan Muafakat Nasional? Namun, Pas juga tidak begitu senang dengan perangai UMNO.
Semua itu jelas terbukti dalam Pilihan Raya DUN Melaka dan Johor apabila UMNO bertanding sendiri tanpa PN dan mencapai keputusan yang sangat baik manakala Pas dan Bersatu pula tidak menunjukkan prestasi bagus dalam kedua-dua pilihan raya itu.
Jadi, adakah Bersatu dan Pas serta sekutu politik dari Sabah dan Sarawak berhasrat meneruskan perjuangan atas nama PN dalam PRU-15?
Kini sudah tiba masanya bagi PN khususnya Bersatu dan Pas menentukan hala tuju politik mereka untuk PRU-15. PN itu perlu dikekalkan oleh kedua-dua parti ini dan mesti merangka strategi politik yang sistematik dan berkesan. Seharusnya kerjasama dan konsensus politik dalam PN bersama komponen dari Sabah dan Sarawak wujud jika ingin mengekalkan kuasa.
Sebagai pakatan politik baharu, PN hendaklah ada doktrin politik dalam perjuangannya. Jika sebelum ini Pas dengan doktrin perjuangan Islamnya, maka dalam PN juga mesti ada doktrin jelas khususnya Pas dan Bersatu untuk meyakinkan pengundi terhadap perjuangan mereka.
Dalam keadaan rakyat hidup dibebani dengan harga barangan semakin tinggi dan inflasi serta kemeseletan ekonomi, maka ruang dan peluang ini perlu digarap sepenuhnya oleh PN membentuk doktrin politik yang dapat membela nasib dan masa hadapan rakyat khususnya generasi muda.
Kedua, hubungan dengan NGO berteraskan politik perlu diadakan, di samping membentuk NGO baharu yang pro-PN. Di Malaysia, sokongan NGO banyak memberi kelebihan kepada parti politik.
Justeru, PN tidak boleh mengabaikan perkara ini jika ingin mengekalkan kuasa dalam PRU-15. Kerjasama dengan NGO boleh dilakukan melalui pelbagai aktiviti atau program bagi mengeratkan hubungan kerana setiap NGO mempunyai ahlinya tersendiri yang mungkin bukan ahli bagi mana-mana parti politik.
Strategi berfokus kepada lokaliti perlu ditekankan. Masa untuk menghadapi PRU-15 sangat singkat. Pemimpin PN khususnya dalam Kabinet dan memegang jawatan dalam mana-mana agensi tidak boleh terlalu leka di kerusi masing-masing. Jangan selesa duduk di Putrajaya misalnya, tetapi sudah tiba masa membuka langkah menerokai setiap pelosok kawasan yang hendak ditandingi dalam PRU-15. Biarlah rakyat di peringkat akar umbi mengetahui dan mengenali siapa pemimpin PN yang bakal bertanding nanti.
PN juga perlu menyediakan bala tentera yang boleh berperang pada bila-bila masa. Mesti ada tentera elit dan tentera berani mati atau kamikaze. Tentera elit itu bergerak di sebalik tabir dengan merangka propaganda dan strategi bagi mematikan langkah musuh. Sementera, tentera berani mati diletakkan di hadapan bagi menghadapi serangan musuh dari pelbagai sudut kerana kumpulan ini begitu setia dan ekstrem dengan partinya.
Gunakan media massa secara optimum. Selain bala tentera tersusun, PN perlu ada jentera yang mahir memanfaatkan kelebihan media. Media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, Twitter, TikTok dan Youtube adalah media perang baharu untuk mempengaruhi rakyat.
Setakat yang saya perhatikan, PN tidak mengoptimumkan penggunaan semua media massa ini kecuali pemimpin tertentu. Segala maklumat berkenaan strategi, kempen, aktiviti dan kerja sosial atau kemasyarakatan dapat dikongsikan kepada umum melalui media sosial, maka PN dapat dikenali dengan lebih dekat oleh rakyat dari semasa ke semasa menjelang PRU-15. Melalui media massa PN juga boleh mempromosi pemimpin yang bakal dicalonkan dalam PRU-15.
Segalanya terletak di tangan pemimpin untuk menentukan hala tuju PN dan merangka strategi politik yang boleh memberi kelebihan kepada PN andai PRU-15 itu mahu ditakluki.
PENULIS ialah Perunding Kanan MB Global Political Analsis and Academic Consultancy.