Cikgu kita ‘lemah’ nak selesai kes buli?

Cikgu kita ‘lemah’ nak selesai kes buli?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES buli melibatkan pelajar sekolah sehingga kini masih lagi tiada titik noktah. Walaupun banyak kes dilaporkan dan diambil tindakan, namun isu ini terus berulang sehingga membawa kepada kematian. Di mana salah dan silapnya?

Antara alasan sering dilontarkan adalah kesukaran berurusan dengan pihak sekolah. Apabila pihak sekolah enggan memberi kerjasama untuk berjumpa dengan ibu bapa atau penjaga, sudah pastinya tidak dapat menyelesaikan masalah. Jadi, timbullah provokasi, bertikam lidah dengan guru sehingga tular di media sosial.

Difahamkan ibu bapa atau penjaga perlu mengikut prosedur ‘sampah’ yang ditetapkan sekolah. Pastinya ibu bapa atau penjaga mahukan penyelesaian segera kerana masalah sosial ini sudah pasti tidak dapat dite­rima kerana tinda­kan membuli bukan sahaja menyakiti individu dari segi fizikal tetapi mengganggu mental atau emosi. Ini menyebabkan mangsa buli enggan ke sekolah yang akhirnya menjejaskan pembelajaran mereka.

Sebelum ini saya banyak membaca mengenai kes buli di sekolah dan tidak menyangka masalah sosial ini berlaku dalam kalangan orang terdekat. Siapa sangka di sebalik nama gah sekolah berprestasi tinggi (SBT) terletak di Jalan Kampung Pandan di ibu negara, rupa-rupanya tersembunyi kisah-kisah hitam sehingga seorang pelajar perempuan tingkatan satu berasa takut untuk ke sekolah.

Dia kerap ponteng dengan pelbagai alasan. Jika ke sekolah pun, dia tidak mahu keluar rehat makan di kantin. Lalu ibu saudaranya terpaksa ‘menyiasat.’ Rupa-rupanya dia dibuli dua pelajar perempuan tingkatan tiga. Bukan setakat meminta menyiapkan kerja sekolah mereka, malah mangsa turut ditampar, ditendang, dilontar kata-kata kesat, body shamming dan lebih teruk, dipaksa menelan pil berwarna putih yang tidak diketahui jenisnya. Nasib baik jugalah pelajar ini bijak menyembunyikan pil tersebut di bawah lidah sebelum dibuang ke dalam mangkuk tandas.

Namun, apa yang dikesalkan apabila pihak sekolah seolah-olah memandang ringan isu ini. Bayangkan, penjaga mahu berjumpa guru tetapi diberi alasan perlu menunggu pengetua yang hanya akan kembali bertugas seminggu kemudian selain perlu mengaturkan temu janji. Adakah ini bermakna pelajar ini perlu memonteng sekolah lagi seminggu sementara menunggu pengetua pulang dari tugas rasmi?

Tidak adakah guru lain yang boleh menggantikan tugas pengetua sepanjang ketiadaannya? Adakah seorang guru hanya berperanan sebagai pengajar tanpa perlu masuk campur hal berkaitan buli walaupun melibatkan pelajar kelasnya? Tidak ada sedikit pun rasa prihatin atau ambil berat apabila terdapatnya aduan sebegini. Mudahnya seorang guru lepas tangan atau lepas tanggungjawab.

Selepas berbincang dan terpaksa meninggikan sedikit suara, dapatlah penjaga tadi berjumpa dengan guru kelas dan guru penolong kanan 1. Tetapi agak menyedihkan apabila guru penolong kanan 1 mengatakan, “Saya tiada kesabaran yang tinggi, saya bukan (guru) kaunseling.” Ini menyebabkan pelajar yang juga mangsa buli tadi agak ketakutan untuk menceritakan perkara sebenar.

Dalam masa sama, saya difahamkan penyelaras tingkatan 1 sekolah berkenaan tidak membenarkan penjaga ‘menyerbu’ sekolah dengan alasan perlu ada kebenaran daripada pengetua memandangkan pihaknya tidak mengetahui kes ini. Sejak bila pula ada peraturan sebegini? Patutlah banyak kes buli melibatkan pelajar tidak diatasi dengan baik, sebaliknya didiamkan sehingga tiada penyelesaian tuntas.

MENTERI

Apa yang saya dapat lihat daripada situasi ini, pihak sekolah seolah-olah lepas tangan dengan cuba memberi alasan agar dapat lari daripada berjumpa ibu bapa atau penjaga. Bukankah semua sekolah sudah diarahkan oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin agar melaksanakan program kesedaran mengenai buli sejak minggu pertama sesi penggal persekolahan pada Januari lalu? Adakah program itu dengan nyata menghalang ibu bapa atau penjaga ke sekolah tanpa kebenaran pengetua sekiranya berlaku kes buli? Saya percaya tiada.

Saya sendiri mendengar audio antara penjaga, pelajar dan guru yang sempat dirakam dan jelas pelajar berkenaan dibuli sehingga memberi kesan kepada emosinya. Namun, agak tersinggung apabila seorang guru bertanya, “Jadi, apa solusi puan?” Di manakah peranan guru jika mereka sendiri tidak dapat mengatasi masalah atau mencadangkan penyelesaian membabitkan pelajar sekolah mereka?

Bila ditanya tentang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekolah, salah seorang guru menjawab, “Ada, tapi saya perlu bertanya kepada guru kaunseling sama ada di kawasan ‘kejadian’ ada atau tidak.” Ini pun tiada jawaban konkrit. Lemah!

Sekali lagi guru berkenaan bersikap lepas tangan apabila meminta mangsa mencari nama penuh kedua-dua pembuli agar pihak sekolah boleh mengambil tindakan selanjutnya. Bukankah sekolah menyimpan senarai nama pelajar, jadi apa salahnya buka semula fail berkenaan dan mencari serta senarai pendekkan nama-nama pelajar tingkatan tiga yang mempunyai nama sama? Kemudian panggil kesemua pelajar itu sebelum meminta mangsa membuat pengecaman. Sama seperti drama-drama yang kita tonton di televisyen apabila pihak polis meminta mangsa membuat pengecaman. Mustahil mangsa mahu bertanya kepada pembuli siapa nama penuh mereka hanya untuk memudahkan tugas guru.

Jika berterusan sebegini, bagaimana tradisi buli di sekolah dapat ditangani? Mahu meletakkan kesalahan kepada Kementerian Pendidikan adalah tidak wajar memandangkan guru merupakan individu paling ‘dekat’ untuk mengatasi masalah sosial ini dengan undang-undang yang ketat termasuk mengawal serta menjadi mata dan telinga pelajar.

Atas sebab-sebab inilah agaknya ramai ibu bapa ‘malas’ berurusan dengan pihak sekolah sebaliknya terus membuat laporan polis atau terus kepada kementerian untuk tindakan segera.

Bukan niat untuk membelakangkan pihak sekolah, tetapi tindakan perlahan akan menyebabkan masalah tidak diatasi malah menjadi-jadi kerana pihak sekolah dilihat seolah-olah ‘membenarkan’ perbuatan itu. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×