Bai’ah politik dan khemah besar - Utusan Malaysia

Bai’ah politik dan khemah besar

BN, PN atau PH, masing-masing tidak mempunyai kekuatan untuk membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO berjaya menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan Johor baru-baru ini, bukan petanda BN kembali diterima secara majoriti oleh pengundi kerana ia boleh diukur dari segi peratusan keluar mengundi. Kejayaan itu lebih kepada isyarat bahawa BN-UMNO boleh berjaya tanpa Perikatan Nasional (PN). Jadi, menjelang PRU-15 jelas BN tidak bersama dalam PN.
Jadi, apakah formula dan strategi politik terbaik bagi mencipta kemenangan dan berkuasa dalam PRU-15? Semua tiga komponen parti besar iaitu BN, PH dan PN sudah berkuasa sebelum dan selepas PRU-14. Kini fokus BN, PH dan PN untuk mendapat kuasa dalam PRU-15. Namun, ia perlu dibantu sekutu politik dari Sabah dan Sarawak. Ini kerana dipercayai tiada sebuah parti politik yang mampu mencapai majoriti kerusi secara bersendirian kecuali ada pakatan baharu dibentuk.
Justeru, timbullah idea membawa pendekatan khemah besar seperti yang disuarakan oleh PH bagi mengadakan rundingan bersama parti-parti politik sebagai strategi memenangi PRU-15. Khemah besar itu untuk siapa dan bersama siapa? PKR sudah tentu tidak mahu mengundang Pas manakala Pas awal-awal lagi menolak untuk tidak menyertai khemah besar itu kerana mereka turut menolak DAP dan Amanah. Bersatu juga tidak dapat menerima konsep khemah besar jika ada UMNO di dalamnya.
Namun, khemah besar atau apa sahaja strategi politik yang cuba diusahakan, matlamatnya adalah untuk mencapai kemenangan dan berkuasa dalam PRU-15. Justeru, sarjana politik Harold Lasswell pernah berkata, dalam politik adalah tentang siapa dapat apa dan bila dan bagaimana yang menjurus kepada persoalan tentang kuasa untuk memerintah. Jadi, timbullah idea membentuk khemah besar.
Tidak semua pemimpin dalam PH boleh menerima idea khemah besar itu kerana dibimbangi melencong dari fungsi PH dalam menyelesaikan masalah besar dihadapi rakyat selain melunturkan kepercayaan rakyat kepada parti itu. Namun, ada pihak yang secara terbuka menerima idea ini demi perpaduan dan konsensus politik bertujuan mencapai doktrin yang disebutkan oleh Harold Lasswell itu.
Bagi Bersatu, fokusnya untuk mengekalkan kerjasama politik melalui PN bagi menghadapi PRU-15. Dalam keadaan itu, ia banyak bergantung kepada Pas kerana UMNO turut berharap Pas boleh kekal dalam Maufakat Nasional (MN) yang dibentuk sebelum kerajaan PH jatuh.
Dalam situasi politik yang tidak menentu itu, adakah bai’ah politik itu perlu? Berkenaan bai’ah politik itu, ia cukup popular dalam sistem politik Pas terutama dalam usaha mengelak wakil rakyat melompat parti. Namun, kebimbangan wakil rakyat melompat parti tidak boleh berlaku selepas PRU-15 kerana Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti sudah diluluskan di Dewan Rakyat.
Apabila ada undang-undang anti lompat parti, maka tidak timbul lagi kewujudan kerajaan diperintah oleh parti yang tidak mendapat mandat daripada rakyat. Tidak lagi timbul kerajaan pintu belakang, bumbung bocor dan sebagainya. Dengan kata lain, tiada lagi watak atau aktor yang berperanan sebagai political kingmaker and kingbreaker yang mencorakkan politik Malaysia sebagaimana yang telah berlaku sebelum ini.
Saya menjangkakan idea khemah besar dan bai’ah politik jika tidak dibentuk sebelum PRU-15, maka kesulitan bakal dihadapi bagi membentuk kerajaan. Ini kerana tiada satu parti politik yang boleh mendapat kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan. Apabila keputusan PRU-15 diperoleh, maka usaha melobi untuk membentuk pakatan politik pasca PRU-15 bakal berlaku dan wujud tawar menawar dengan pelbagai janji, kedudukan, jawatan dan sebagainya.
Andai perkara ini berlaku, parti kecil yang memiliki kerusi di Parlimen dan DUN mendapat kelebihan. Sokongan yang diberikannya boleh menjadikan parti yang mempunyai kerusi yang besar berupaya menubuhkan kerajaan. Maka, usaha untuk melihat saiz Kabinet lebih kecil mungkin tidak menjadi kenyataan kerana semakin banyak parti yang bekerjasama bagi membentuk kerajaan, maka banyaklah jawatan menteri perlu diwujudkan. Hal ini berlaku sebagaimana yang disebutkan oleh Harold Lasswell untuk mendapatkan apa, bila dan bagaimana iaitu kuasa melalui pakatan politik secara khemah besar atau bai’ah politik.
Kini hakikatnya sama ada BN atau PN atau PH, masing-masing tidak mempunyai kekuatan. Begitu juga pakatan politik di Sabah dan Sarawak. Justeru, kumpulan pemikir, ahli strategis dan kumpulan gerak kerja parti politik perlu duduk semeja bagi merencana formula politik yang boleh membentuk kestabilan politik di negara ini.
Saya tidak mempertikai apa sahaja formula politik yang ada kini mahu pun yang bakal dibentuk, tetapi mengharapkan seiringan dengan kelulusan RUU Anti Lompat parti itu, semua parti politik boleh memberi fokus bagi mencari jalan membentuk kestabilan politik dan seterusnya membina semula sosio-ekonomi di Malaysia agar mampu bangkit dan memberi saingan kepada jiran serantau dan antarabangsa.
Tidak guna sekadar berkuasa, tetapi paras kemiskinan, inflasi, pengangguran dan lain-lain berkaitan sosio-ekonomi terus menghambat kemajuan dan pembangunan. Jadi, rakyat terus hampa dan merintih dalam kepayahan hidup.
Atas sebab itu, pembikinan politik stabil melalui apa sahaja formula yang direncanakan amat perlu kerana pengundi pasti memberi mandat kepada parti yang mereka percayai dapat membela nasib mereka, tetapi bukan sekadar janji kosong yang ditabur dalam manifesto pilihan raya.
Saya juga optimis jika tiada formula politik yang mampu dicipta lebih awal sebelum PRU-15, maka formula politik perpaduan yang menghimpun wakil-wakil rakyat dari pelbagai parti politik untuk bersatu bagi menubuhkan kerajaan andai tiada satu parti pun yang mendapat majoriti kerusi adalah jalan terbaik yang ada ketika itu.
Namun, adakah itu bertentangan dengan akta anti lompat parti yang bakal dikuatkuasakan? Jadi, pendekatan khemah besar dan bai’ah politik yang sudah dicanangkan itu perlu diteliti dan dihalusi dalam merangka rencana politik yang dinamik menjelang PRU-15.

Dr. Malike Brahim ialah Perunding Kanan MB Global Political Analysis and Academic Consultancy.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya